Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

Wahai Datuk Seri, sila cermin parti sendiri dulu!

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyeru supaya rakyat negara ini menghindarkan amalan rasuah dan perpecahan yang satu ketika dahulu telah menyebabkan runtuhnya Empayar Islam. Beliau menyatakan demikian dalam penulisannya di blog peribadi beliau sempena sambutan Maal Hijrah 1439H yang dipetik agensi Bernama pada 22 September lalu. “Malaysia adalah rapuh kerana masyarakat yang berbilang kaum dan golongan tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan dan merosakkan perpaduan,” ujarnya dalam catatan tersebut.

Wahai Datuk Seri, janganlah hanya mengingatkan rakyat semata-mata, tanpa melihat kepada parti dan rakan-rakan politik anda yang memegang tampuk pemerintahan dan pentadbiran negara ini. Rakyat telah lama termuntah kerana setiap hari dihidangkan dengan kes rasuah yang melibatkan pemimpin dan ahli politik UMNO serta kakitangan kerajaan. Ini hanya yang dilaporkan, jika termasuk yang tidak dilaporkan, mungkin tinta selaut belum dapat mencatat kesemua kes tersebut.

Sudah lupakah Datuk Seri tentang kes-kes yang melibatkan pemimpin seperti Kasitah Gadam (Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi), Mustafa Salim bin Salim (ADUN Lenggeng, Negeri Sembilan), Dato’ Waad bin Mansor (EXCO Negeri Sembilan) dan lain-lain, termasuklah bekas Menteri Besar Selangor yang kini menjadi talian hayat Najib untuk merampas kembali Selangor. Orang buta dan kanak-kanak pun tahu tentang politik wang dalam UMNO, khususnya semasa pemilihan parti assabiyyah Melayu tersebut, yang sudah sebati dengan UMNO. Sesungguhnya UMNO dan rasuah berpisah tiada.

Jadi jika Salleh benar-benar ikhlas dalam mengingatkan rakyat untuk menghindari rasuah, maka lebih afdhal untuk Salleh mengingatkan rakan-rakan politiknya dalam UMNO, khususnya big boss beliau sendiri yang sekarang ini berhadapan dengan skandal terhangat di dunia. Janganlah kuman di seberang laut sahaja yang nampak, sedangkan gajah di depan mata tidak nampak, atau buat-buat tidak nampak! Nasihatilah mereka untuk menjauhi keharaman yang cukup berat ini kerana tiada kesudahan lain bagi si pemberi dan si penerima rasuah kecuali neraka, sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

عَنِ ابْنِ عَمْرَو رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اَلرَّاشِيْ وَ الْمُرْتَشِيَ فِيْ النَّارِ

Dari Abdullah bin Umar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda ‘Pemberi dan penerima rasuah tempatnya di neraka” [HR Thabrani]

Salleh juga perlu ingat, bahawa antara punca perpecahan rakyat adalah kerana politik demokrasi itu sendiri. Hanya kerana berebut kerusi dan undi, para pemimpin dan rakyat yang bergelumang dengan demokrasi menjadi seteru dan berpecah. Natijahnya memang buruk sebagaimana yang telah dan sedang kita saksikan di negara ini sejak dulu hingga kini, sampai ke tahap kafir mengkafir. Semuanya kerana undi dan berebut kekuasaan dalam pilihan raya demokrasi.

Dalam pada itu, parti-parti politik perkauman yang wujud dalam demokrasi juga memainkan peranan penting dalam memecahbelahkan masyarakat. Sentimen perkauman sering menjadi bahan untuk mengapi-apikan isu perkauman dalam masyarakat dari semasa ke semasa.

Jadi, Salleh perlu sedar bahawa sesungguhnya rasuah dan perpecahan itu berkembang subur dalam sistem demokrasi yang diamalkan dan dipertahankan oleh UMNO itu sendiri. Jangan hanya salahkan atau nasihatkan rakyat, cerminlah parti sendiri terlebih dahulu wahai Datuk Seri!

Sumber:

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1393770

https://sskeruak.blogspot.my/2017/09/when-malaysians-need-to-live-as-one.html