Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

Tanpa Khilafah, Muslimah terus jadi mangsa sentimen anti-Islam di Barat

Gambar BM 090416Penindasan dan serangan terhadap umat Islam di Barat semakin menjadi-jadi setiap kali berlakunya letupan di tempat awam yang dikaitkan dengan Muslim sebagai pelakunya. Serangan bom di Brussels, Belgium baru-baru ini sekali lagi memburukkan keadaan. Tindakan daripada kelompok-kelompok pelampau serta sikap sesetengah media Barat yang mengapi-apikan sentimen tersebut, menunjukkan bagaimana sikap anti-Islam yang ada pada mereka.

Terdahulu, puak-puak pelampau nasionalis di Jerman telah bertindak mengapi-apikan kebencian terhadap umat Islam melalui tunjuk perasaan anjuran pertubuhan-pertubuhan seperti Pegida dan Parti Nasionalis ‘Alternative für Deutschland’ (AfD) berhaluan ekstrim-kanan (far-right) yang mengingatkan kita kepada Parti Pekerja Sosialis Nasional Jerman (NSDAP) pimpinan Adolf Hitler lama dahulu. Sentimen kebencian yang sama turut dibakar melalui kempen #StopIslam di media sosial yang mensasarkan Islam dan penganutnya secara pukul rata.

Lantaran api kebencian yang semakin marak, umat Islam di Barat sering kali menjadi mangsa dalam jenayah kebencian yang mensasarkan Muslimah tanpa peri kemanusiaan. Muslimah yang mentaati syariat dari sudut pemakaian dengan memakai tudung dan jilbab selalu terdedah kepada serangan bermotifkan kebencian ini.

Baru-baru ini seorang Muslimah di Molenbeek, Belgium telah dilanggar dengan sengaja berhampiran perhimpunan anti-Islam, tanpa ada belas kasihan sedikitpun oleh si pelaku. Jenayah langgar-lari yang tidak berperi kemanusiaan itu telah dirakam oleh saksi berdekatan, dan daripada rakaman video tersebut didapati pemandu berkenaan melanggar Muslimah tersebut sambil merakam perbuatan kejinya menggunakan telefon bimbitnya.

Wahai kaum Muslimin! Inilah kejahatan melampau golongan yang anti Islam terhadap saudara-saudara kita di Barat. Sampai bila kita harus berdiam diri membiarkan musibah sebegini berterusan menimpa saudara seakidah kita?

Mereka menjadi sasaran jenayah hanya semata-mata agama mereka adalah Islam. Mereka menjadi mangsa ekoran kebencian Barat yang menjadikan serangan pengganas sebagai alasan untuk menjustifikasikan kekejaman tersebut. Hanya kerana perbuatan sebahagian kecil daripada Muslim yang menggunakan nama agama untuk menjustifikasikan serangan keganasan mereka, seluruh umat Islam menjadi sasaran jenayah kebencian.

Sesungguhnya kitaran keganasan ini berlaku kerana umat Islam sudah ketiadaan pelindung mereka daripada penindasan musuhnya. Pemerintah Muslim yang ada langsung tidak mempedulikan umat ini, bahkan merekalah yang menjadi punca kepada sebahagian besar permasalahan yang menimpa umat.
Sejak runtuhnya Khilafah pada 1924, umat Islam terus-menerus menjadi mangsa kekejaman Barat di peringkat antarabangsa dan mangsa kekejaman pemerintah sendiri di peringkat tempatan. Hasil kekejaman inilah, lahirnya sebahagian kecil umat Islam yang nekad mengambil tindakan sendiri dengan cara yang menyalahi Islam sehingga yang lain menjadi mangsa.

Walaupun hakikatnya Barat jauh lebih mengganas daripada Muslim, kerana mereka melakukan keganasan dalam skala kenegaraan berbanding kelompok kecil pengganas Muslim yang tidak mewakili umat Islam keseluruhannya, namun yang menjadi tumpuan hanyalah keganasan yang dilakukan oleh kelompok kecil Muslimin tersebut. Sebenarnya hasil campur tangan Barat ke atas dunia Islam-lah dan diamnya pemerintah Muslim, yang telah mendorong kumpulan-kumpulan kecil Muslim untuk bertindak balas ke atas Barat.

Barat lalu menjadikan kelompok Muslim ini untuk membentuk pandangan umum (public opinion) yang anti-Islam. Maka dari sinilah kitaran keganasan terus berlarutan sehingga ke hari ini.

Sesungguhnya kitaran ini hanya akan berakhir apabila perisai yang suatu ketika dahulu melindungi umat Islam – Khilafah yang berdiri atas manhaj kenabian – kembali ke persada politik dunia. Kewujudan Khilafah yang mempunyai kekuatan super power ini bukan sahaja akan mengakhiri segala polisi ganas kuasa kuffar ke atas umat Islam (sekali gus menamatkan kitaran keganasan ini), bahkan berperanan menjadi ‘pencegah’ kepada kaum kuffar untuk melakukan sebarang penindasan ke atas umat Islam.

Khilafah juga akan melindungi umat Islam daripada sebarang bentuk penindasan di segenap penjuru dunia, sebagaimana Khalifah Mu’tasim yang bingkas bangun melakukan pembelaan terhadap seorang Muslimah yang ditindas oleh bangsa Rom suatu ketika dahulu.

[Lihat: http://www.dailymail.co.uk/news/article-3520777/Muslim-woman-mown-grinning-far-right-activist-stops-PICTURE-anti-Islam-rally-troubled-Brussels-district-Molenbeek.html]