Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

SN519 – Bitcoin – Halal Atau Haram?

Bil: SN519 – 17 RABI’UL AKHIR 1439 / 5 JANUARI 2018

SN519 - Bitcoin – Halal Atau Haram?

Bitcoin dikatakan sebagai sebuah mata wang digital (digital currency) yang dijana melalui aktiviti ‘perlombongan’ secara digital (digital mining). Nilai Bitcoin yang hampir mencecah USD$20,000 telah jatuh sebanyak 25% (charts.bitcoin.com) dalam masa empat hari.

Para pengamat ekonomi banyak yang mengatakan bahawa fenomena Bitcoin merupakan sebuah belon ekonomi (economic bubble) yang boleh meledak bila-bila masa. Kejatuhan nilai bitcoin secara mendadak baru-baru ini merupakan gambaran awal ledakan tersebut.

Mata wang yang absah disisi Islam mestilah memenuhi tiga syarat penting.

1) Ia adalah asas untuk menilai barangan dan perkhidmatan iaitu sebagai ukuran untuk harga dan upah.

2) Ia dikeluarkan oleh pihak berkuasa pusat yang bertanggungjawab mengeluarkan Dirham dan Dinar.

3) Ia mudah diakses dan digunapakai secara meluas di kalangan rakyat serta tidak eksklusif kepada sekumpulan orang sahaja.

Berdasarkan tiga syarat di atas, realiti Bitcoin tidak memenuhi syarat-syarat sebuah mata wang yang telah digaris pandu oleh Rasulullah SAW iaitu emas dan perak (Dirham dan Dinar) yang mempunyai nilai intrinsik.

Bitcoin bukan merupakan asas untuk menilai barangan dan perkhidmatan namun ia hanyalah alat pertukaran barangan dan perkhidmatan tertentu. Dari aspek sumbernya, Bitcoin tidak dikeluarkan oleh badan pusat yang dikenali sebaliknya Bitcoin terhasil daripada proses mining yang bersifat majhul (sumbernya tidak dikenalpasti). Penggunaannya pula tidak meluas dan tidak mudah diakses di kalangan rakyat secara umumnya sebaliknya eksklusif digunakan hanya di kalangan mereka yang mengiktiraf nilainya sahaja. Justeru, Bitcoin tidak boleh dianggap sebagai mata wang yang sah di sisi syarak.

Jika bitcoin tidak boleh berfungsi sebagai mata wang, maka tanggapan seterusnya yang paling wajar adalah bahawa ia tidak lebih dari sekadar sebuah ‘produk’ atau ‘aset’ digital. Lantas persoalan seterusnya ialah, adakah produk seperti ini sah untuk dijual beli secara syar’i? Bagi menjawab persoalan ini, aspek yang sangat penting untuk dikaji adalah sumber ‘produk’ tersebut.

Seperti yang telah disebutkan, Bitcoin dihasilkan daripada proses digital mining yang bersifat majhul. Sesiapa sahaja yang memiliki peralatan komputer dan perisian yang sesuai boleh ‘melombong‘ Bitcoin. Dengan kata lain, Bitcoin terjana daripada sumber yang tidak dikenalpasti secara spesifik kerana ia dihasilkan oleh sebuah komuniti ‘pelombong’ secara terpencar (decentralized).

Ini pastinya menimbulkan keraguan kerana wujud kemungkinan bahawa perlombongannya terkait dengan entiti-entiti kapitalis yang berniat jahat atau mempunyai pelbagai tujuan yang buruk seperti  perjudian, pengedaran dadah, pengubahan wang haram dan pengurusan jenayah terancang. Tambahan pula, Bitcoin terdedah kepada pelbagai penipuan dan spekulasi. Oleh sebab itu, memperdagangkan Bitcoin yang bersifat majhul ini tidak diperbolehkan oleh syarak.

Larangan ini termasuk dalam apa yang disebutkan sebagai transaksi gharar yang bermaksud sebuah transaksi yang melibatkan produk yang tidak dapat diperoleh kepastian daripadanya. Sebagai contoh, transaksi yang melibatkan penjualan ikan yang masih di dalam air atau menjual apa yang dibawa oleh binatang yang hamil dan sebagainya. Transaksi seperti ini dilarang kerana terdapat unsur gharar di dalamnya.

Transaksi gharar dilarang oleh Rasulullah SAW berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim di dalam Sahihnya, daripada Abu Hurairah RA bahawa dia berkata “Rasulullah SAW melarang jual beli hasah dan jual beli gharar”.

Maksud  jual beli hasah adalah apabila si penjual berkata kepada pembeli, ‘Saya akan menjual kepada anda apa sahaja yang ditunjukkan oleh lontaran batu ini, yang bermaksud, wujudnya elemen rawak di dalam jual beli. Dengan kata lain, objek yang dijual beli adalah tidak diketahui (majhul) dan ini dilarang sama sekali. Kedua-dua transaksi gharar dan hasah merupakan transaksi atas barangan yang majhul.

Kesimpulannya, Bitcoin tidak boleh diperlakukan sebagai sebuah mata wang kerana tidak menepati ciri yang ditetapkan syarak. Manakala, sekiranya dianggap sebagai sebuah aset, ia tidak boleh diniagakan kerana bersifat majhul dan gharar.

[Ringkasan dari soal-jawab Sheikh Ata Abu Al-Rashta, Amir Hizbut Tahrir].


KOLUM TSAQAFAH

Mata Wang Emas dan Perak

Emas (Dinar) dan Perak (Dirham) telah dikenali oleh orang Arab sebelum datangnya Islam melalui aktiviti perdagangan yang dilakukan oleh mereka dengan negara-negara sekitarnya. Setelah Islam datang, Rasulullah SAW melalui wahyu telah mengabsahkan pelbagai muamalat yang menggunakan dinar Romawi dan dirham Parsi. Rasulullah SAW telah mengakui standard timbangan yang wujud pada waktu itu dengan mengggunakan berat dinar dan dirham. 1 Dinar adalah bersamaan berat 4.25 gram emas manakala 1 dirham bersamaan 2.975 gram perak.  Rasulullah SAW bersabda,

“Takaran adalah takaran penduduk Madinah dan timbangan adalah timbangan penduduk Makkah”. [HR Abu Daud, an-Nasa’i, al-Baihaqi]

Dinar dan dirham telah dijadikan standard ukuran di dalam Islam berdasarkan ketetapan-ketetapan yang telah digariskan seperti berikut:

Pertama: Islam melarang praktik penimbunan harta (kanzul mal). Islam hanya mengkhususkan larangan penimbunan harta untuk emas dan perak. Larangan ini merujuk kepada fungsi emas dan perak sebagai wang atau alat tukar (medium of exchange). (Rujuk surah at-Taubah: 34).

Kedua: Islam mengaitkan emas dan perak dengan hukum hakam Islam lainnya. Contohnya Islam menentukan diyat dengan ukuran tertentu dalam bentuk emas. Islam juga mengenakan hukuman potong tangan terhadap pencurian dengan ukuran melebihi emas sebanyak ¼ dinar. Baginda bersabda,

“Tangan itu wajib dipotong, (jika mencuri) 1/4 dinar atau lebih”. [HR al-Bukhari]

Ketiga: Zakat wang yang ditentukan Allah SWT berkaitan dengan emas dan perak. Islam telah menentukan nishab zakat tersebut dengan emas dan perak. Nishab zakat emas adalah 20 mitsqal atau 20 dinar yang setara dengan 80 gram emas.

Selain sebagai sebuah tuntutan syarak, antara kebaikan penggunaan mata wang emas dan perak ialah negara umat Islam sudah tidak perlu terikat dengan sistem kewangan antarabangsa yang dikuasai barat. Mata wang emas dan perak juga tidak menyebabkan  dunia mengalami lambakan mata wang secara tiba-tiba sebagaimana amalan kuasa besar hari ini mencetak wang kertas mereka. Mata wang emas dan perak juga akan menjaga keseimbangan neraca pembayaran  antara negara yang melakukan transaksi ekonomi. Ini seterusnya akan mewujudkan fungsi kestabilan mata wang dan ekonomi.


KOLUM SEJARAH ISLAM

Sejarah Mata Wang Emas dan Perak

Dinar, syiling emas Roman tahun 211 [1]
Dinar, syiling emas Khilafah Uthmaniyah tahun 1923 [1]

Mata wang emas dan perak telah digunakan sejak lama oleh Empayar Rom dan Parsi sebelum kedatangan Islam. Kemudian matawang emas dan  perak telah diamalkan secara berkesan pada zaman Rasulullah SAW sehingga zaman Khilafah Uthmaniah.

Sewaktu awal pemerintahan Islam, mata wang yang digunakan adalah Dinar Byzantium (Rom)  dan Dirham Kisra (Parsi). Kemuncak usaha negara Islam menempa mata wang sendiri berlaku pada zaman  Khalifah Abdul Malik bin Marwan yang mula mencetak mata wang dengan timbangan  dinar dan dirham yang syar’i dan mempunyai rekabentuk tersendiri dengan ciri ukiran yang Islami.

Pada akhir zaman Khilafah Abbasiyyah, dan pada masa Kesultanan Atabakah di Mesir, mata wang tembaga perak turut dicetak selain dinar dan dirham, untuk jual beli barang yang murah harganya. Penggunaan syiling emas dan perak sebagai mata wang umat Islam berterusan sehinggalah berakhirnya pemerintahan Khilafah Uthmaniyah pada tahun 1924.

Dunia secara umumnya menggunakan mata wang emas dan perak sehinggalah pada tahun 1971, apabila Amerika Syarikat secara unilateral telah menghentikan kebolehtukaran mata wang Dolar Amerika kepada emas dan perak – menamatkan perjanjian Bretton Woods – serta menjadikan Dolar sebagai mata wang utama dunia. Bermula detik itu, dunia mula menggunakan mata wang fiat –  yang tidak mempunyai sandaran emas dan perak – sehingga hari ini.

 

Download PDF

[1] (Sumber: History of the Gold Dinar and its Philosophy, UKM, Julai 2002)