Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

SN518 – Refleksi 2017 : Malaysia

PDF

SN Keluaran 10 Rabi’ul Akhir 1439H/29 Disember 2017

SN518 - Refleksi 2017 : Malaysia

[SN518] Tahun 2017 sudah sampai ke penghujung. Sautun Nahdah keluaran terakhir pada tahun ini akan berkongsi dengan para pembaca beberapa isu yang mewarnai Malaysia sepanjang 2017 ini.

Kos Sara Hidup yang Semakin Tinggi

Tahun 2017 menyaksikan tekanan kehidupan rakyat yang tidak menentu. Pendek kata, rakyat semakin terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi. Menurut kajian yang dilakukan oleh Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri dari Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, sekitar 59.7% penduduk ibu negara terbeban ekoran peningkatan kos sara hidup manakala 52.6% warga kota terbeban dengan hutang yang menimbun.

Di sebalik laporan pertumbuhan ekonomi yang semakin baik seperti yang dicanangkan oleh pihak kerajaan, hakikatnya rakyat biasa masih berada di takuk yang sama. Pertumbuhan ekonomi yang baik dengan data-data ekonomi yang positif pada satu sudut manakala pada satu sudut yang lain pula rakyat biasa merasai bebanan kos sara hidup tinggi. Ia berbalik kepada asas ekonomi kapitalisme yang menjadikan parameter pengeluaran – KDNK dan KNK – sebagai tolok ukur utama keadaan ekonomi. Dalam masa yang sama, idea kebebasan hak milik telah membenarkan hak pemilikan umum seperti minyak, gas asli, bauksit, emas, kayu balak dan bekalan air di negara ini dimonopoli dan dikaut keuntungannya oleh syarikat tertentu.

Akibatnya, walaupun pertumbuhan ekonomi semakin baik tetapi ia tidak dirasai oleh masyarakat kebanyakan. Sebaliknya, ia mewujudkan  jurang yang semakin besar antara golongan terkaya dengan rakyat kebanyakan.

RUU355

Demonstrasi besar-besaran pada 18hb Februari lalu sempena menyokong Rang Undang-Undang Pindaan 355 (RUU 355) telah berjaya mengumpul puluhan ribu umat Islam yang hadir di Padang Merbok, Kuala Lumpur.  Kehadiran puluhan ribu umat Islam itu sudah cukup membuktikan bahawa umat Islam di Malaysia mendambakan penerapan hukum Islam.

Walaupun berulang kali dinafikan bahawa RUU355 ini berkaitan dengan perlaksanaan hudud di Malaysia, tetapi masyarakat memahami ia merupakan proses untuk membuka ruang agar sebahagian daripada  hudud mungkin boleh dilaksanakan. Tuntutan kepada pindaan Akta 355 ini bukanlah perkara baru. Ia telah disuarakan oleh beberapa pengamal undang-undang dan termasuk kajian akademik oleh ahli akademik dan institusi berkaitan.

Dalam sistem Demokrasi, kedaulatan undang-undang diletakkan di tangan manusia sehingga semua undang-undang termasuk perundangan Islam mesti dibincangkan, mendapat kebenaran dan persetujuan manusia untuk dilaksanakan. Selain daripada suara majoriti manusia, terlalu banyak halangan baik dari aspek perundangan dan prinsip sekular bagi perlaksanaan hudud apatah lagi perundangan Islam secara keseluruhan. Walaupun kelihatan seperti masih ada ruang, tetapi realitinya demokrasi menyediakan proses penggubalan undang-undang dalam konteks sekular. Oleh itu, menjadi sangat sulit untuk menggubal undang-undang yang selari sepenuhnya dengan hukum Islam.

 Serangan Atheis dan Liberalisme

Sepanjang tahun ini juga kita menyaksikan golongan Atheis dan Liberal semakin diberi pendedahan oleh pelbagai media khususnya media di alam maya. Kenyataan-kenyataan mereka yang sangat keterlaluan seperti memperlekehkan hukum-hukum Allah, antaranya hukum poligami dan majlis ibadah korban malah sehingga ada dalam kalangan mereka yang sanggup  menghina para Nabi dan Rasulullah SAW. Bahkan ada di antara mereka dengan berani dan bangganya telah menyatakan kemurtadan mereka. Namun, apa yang sangat menyedihkan ialah tiada sebarang tindakan yang benar-benar berkesan diambil oleh pemerintah melalui Jabatan Agama terhadap apa yang telah mereka lakukan dan ucapkan.

Hal ini demikian kerana, perkataan seumpama ini tidak bertentangan dengan  prinsip kebebasan bersuara dan beragama dalam ideologi sekular hari ini. Slogan kebebasan bersuara dan beragama sentiasa menjadi senjata sulit yang digunakan oleh musuh Islam ketika menyerang Islam, namun ketika umat menyatakan kebenaran Islam dan membongkar kejahatan mereka, tiba-tiba slogan kebebasan tersebut hilang dengan sekelip mata. Sebaliknya Islam pula dituduh tidak bertoleransi dengan golongan minoriti.

 Gangsterisme dan Buli

Pada bulan 22hb Mei 2017 yang lalu, kita dikejutkan oleh berita berkaitan dua kes kematian yang melibatkan pelajar akibat dibuli dan dibelasah oleh rakan mereka. Pertama, Kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain dan Kedua, seorang remaja lelaki, T. Nhaveen. Lanjutan daripada kedua-dua kes tersebut, pelbagai reaksi telah diberikan oleh pelbagai pihak.  Menurut Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi NIOSH, statistik Kementerian Pendidikan menunjukkan terdapat lebih daripada 14,000 kes buli di sekolah-sekolah di seluruh negara antara tahun 2012 dan 2015 dan sebahagian besar melibatkan penderaan fizikal. Pada masa yang sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata KDN menyifatkan kegiatan kumpulan gangster di negara ini di tahap membimbangkan. Kebimbangan ini sebenarnya berpunca daripada sistem pendidikan dan budaya hidup yang diamalkan pada hari ini.

Sistem pendidikan yang materialistik dan silibus pendidikan yang sekularistik diamalkan sekarang sudah terbukti gagal membentuk generasi muda yang beradab dan berakhlak mulia. Malah jauh sekali menjadikan mereka sebagai pembela agama. Sistem pendidikan yang hanya meletakkan Islam sebaris dengan nilai-nilai moral semata-mata telah menjauhkan generasi muda dengan syariat Islam. Mereka diajar bahawa Islam hanya terpakai dalam masalah ibadah dan kekeluargaan, namun di luar rumah dan kehidupan bernegara, Islam ditinggalkan dan dilupakan.

Kes Rasuah dan Ketirisan

Sepanjang tahun 2017, banyak berita melaporkan isu rasuah dan ketirisan yang melibat aset negara.  Daripada nilai rasuah ratusan ringgit hingga beratus-ratus juta ringgit yang melibatkan pegawai berpangkat rendah hingga pegawai atasan dalam sesuatu jabatan kerajaan. Pada 9hb Oktober yang lalu, Utusan Malaysia menyiarkan artikel bertajuk ‘Rasuah Musuh Nombor Satu Negara’.

Inilah budaya buruk yang diterapkan dalam masyarakat yang sudah menjadi kebiasaan pada hari ini kerana ideologi Kapitalisme tidak mengenal erti nilai halal dan haram. Apa yang diterapkan melalui etika dan nilai-nilai baik tidak cukup ampuh untuk mendidik umat dan pemimpin agar mampu membuat keputusan yang betul terutama apabila berhadapan dengan konflik kepentingan.

Gejala rasuah yang berleluasa dalam masyarakat ini telah menghambat kemajuan, menafikan hak orang yang layak menerima haknya, membebaskan penjenayah daripada hukuman dan lebih membahayakan lagi membuka peluang dominasi pihak asing terhadap kedaulatan negara. Ini antara bukti kegagalan sistem hari ini melahirkan pemimpin dan pelaksana yang mempunyai kualiti integriti yang tinggi.

Iktibar

Ideologi kapitalisme baik yang diterapkan di Malaysia mahupun banyak negara lain di dunia telah menunjukkan kegagalan dalam hampir semua aspek. Secara ekonominya sistem ini gagal memberi kesejahteraan manakala sistem perundangannya tidak mampu mewujudkan keadilan dan kehidupan yang aman. Sistem pendidikannya melahirkan ramai pakar tetapi gagal melahirkan insan yang mempunyai integriti apa lagi ketaqwaan. Oleh sebab itulah banyak negara umat Islam diperintah oleh pemimpin yang korup.

Permasalahan ini tidak mampu diselesaikan dengan sekadar perubahan pemimpin atau parti politik. Ia memerlukan lebih daripada itu, yakni perubahan daripada sistem yang tidak Islami ini kepada syariat Islam. Untuk menerapkan syariat Islam ia memerlukan kerja keras daripada kita semua untuk mengembalikan semula Negara Islam iaitu Khilafah. Cukuplah kami akhiri penulisan Sautun Nahdah pada tahun 2017 ini dengan Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik . Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin? [TMQ Al Maidah :49-50]