Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

SN515 – Banjir : Antara Ujian Dan Usaha Penyelesaian

PDF

SN Keluaran 19 Rabi’ul Awal 1439H/8 Disember 2017

SN515 - Banjir : Antara Ujian Dan Usaha Penyelesaian

[SN515]  Musim tengkujuh tiba lagi dengan angin kencang dan limpahan hujan yang lebih daripada kebiasaan. Setelah Pulau Pinang dan Kedah, diikuti Perlis, Pahang, Terengganu dan Kelantan pula dilanda banjir. Kita masih ingat banjir besar yang melanda Johor dan Kelantan beberapa tahun yang lalu. Setiap kali banjir, berlaku kerugian yang sangat besar selain kehilangan jiwa. Kami mendoakan agar yang terlibat dalam bencana kali ini terus bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian yang berat ini.

Banjir Ujian Bagi Manusia

Pengertian iman kepada qadha’ dan qadar – baik buruknya datang daripada Allah SWT – bermaksud mempercayai bahawa seluruh kejadian yang terjadi secara paksaan ke atas manusia, tidak kira yang berakibat daripada perbuatan manusia atau tidak, serta sifat-sifat yang wujud pada setiap sesuatu, semuanya itu adalah daripada Allah SWT, bukan daripada hamba (manusia) dan manusia tidak ada campur tangan dalam perjalanannya. Oleh itu, seluruh perbuatan yang bersifat ikhtiyariah (manusia mempunyai peranan dalam menjalankannya) berada di luar pembahasan qadha’ dan qadar’. [Syeikh Taqiyuddin An Nabhani, Syakhsiah Islamiah Juzuk 1]

Bencana alam, sama ada banjir, gempa bumi, ribut taufan dan sebagainya merupakan sebahagian daripada ketetapan Allah SWT. Sebagai seorang yang beriman, kita wajib meyakini bahawa ia merupakan qadha’ Allah SWT terhadap kita dan kita harus redha dengan ketetapanNya. Ia sebahagian daripada ujian Allah SWT dalam kehidupan kita.

“Dan sesungguhnya akan Kami (Allah) berikan cubaan (atau ujian) kepada kamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar (yakni) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan sesungguhnya kami ini milik Allah dan kepadaNya kami kembali. Mereka itulah orang yang mendapat keampunan dan rahmat daripada Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”.[TMQ  Al-Baqarah (2): 155-157]

Ujian kepada orang-orang mukmin adalah sebagai cabaran kepada keimanan yang ada dalam diri mereka. Keimanan yang teguh kepada Allah SWT akan menghasilkan sikap redha dan berlapang dada dengan qadha’ Allah SWT, seterusnya akan memberikan kekuatan kerohanian kepada diri seseorang mukmin dalam menghadapi setiap musibah. Sesungguhnya setiap musibah itu tidak akan dapat dihindari oleh manusia kerana ia ketetapan (qadha’) daripada Allah SWT. Namun, kita wajib menghadapinya dengan cara yang diajarkan oleh Islam kerana ia sebahagian daripada manifestasi keteguhan iman dalam diri kita. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (yakni) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un’. Mereka itulah orang yang mendapat keampunan dan rahmat daripada Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”.[TMQ al-Baqarah (2):155-157]

Sebahagian Punca Banjir Akibat Daripada Masalah Alam Sekitar

Masalah banjir di Pantai Timur yang berlaku saban tahun disebabkan oleh taburan hujan yang tinggi dan masalah kawasan tanah rendah berhampiran sungai. Banjir ini akan berlaku lebih kerap dan lebih teruk jika masalah alam sekitar tidak dikawal.

Apabila ditinjau secara global, ia terkait dengan peningkatan paras air laut. Dua faktor utama peningkatan paras air laut ialah 1) ‘thermal expansion’ yang berlaku akibat daripada pemanasan lautan  (air mengembang apabila berlaku pemanasan) dan 2) pencairan bongkah ais. Dalam laporan Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) yang kelima pada tahun 2013, pemerhatian terkini mendapati paras air laut meningkat pada kadar purata 3.2mm setahun. Jika pelepasan karbon terus berlaku secara melampau, peningkatan paras air laut boleh mencecah 1m pada tahun 2100.

Masalah ini berlaku kerana kesan domino yang disebabkan oleh pemanasan suhu global. Pemanasan suhu global ini pula disebabkan oleh pelepasan gas rumah hijau seperti Karbon Dioksida ke alam sekitar. Secara faktanya, kebanyakan pelepasan gas ini merupakan akibat daripada industri yang dibangunkan oleh sistem ekonomi kapitalisme yang hanya menekankan aspek pengeluaran dan pertumbuhan ekonomi. Berdasarkan Trends in Global CO2 Emissions: 2016 Report yang dikeluarkan oleh Agensi Penilaian Alam Sekitar Belanda, pelepasan karbon dioksida telah meningkat daripada 30 billion tan pada tahun 2005 kepada 36 billion tan pada tahun 2015. Lebih 80 peratus daripada pelepasan gas ini dikeluarkan oleh negara G20.

Oleh sebab itu, kita tidak pelik apabila Barat memperkenalkan konsep Carbon Credit iaitu pihak yang mencemar alam sekitar perlu membayar kepada pihak yang mengurangkan pencemaran alam sekitar. Konsep ini dikenali sebagai Clean Development Mechanisme(CDM). Kapitalisme malah memperdagangkan Carbon Credit ini dalam Pasaran Karbon dengan nilaiannya melebihi 100 billion USD. Akibatnya, pelepasan karbon  terus meningkat saban tahun kerana ia menjadi lesen kepada syarikat besar untuk melakukan pencemaran selagi mampu membeli Carbon Credit di pasaran karbon. Lantas, bagaimana mungkin kita boleh menghalang masalah kenaikan paras air laut dan fenomena banjir ini?

Kapitalisme Terus Memburukkan Masalah Banjir

Banjir ialah satu bentuk bencana alam namun keadaannya diburukkan lagi dengan penerapan sistem kapitalisme. Hal ini demikian kerana, dalam sistem kapitalisme aspek keuntungan material sangat diutamakan berbanding nilai-nilai lain. Walaupun ia akan menyebabkan masalah kepada manusia secara global, para kapitalis akan tetap mencari jalan untuk mengutamakan prinsip sistem ekonomi mereka.

Oleh sebab itu, tidak pelik jika mereka enggan menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh. Mereka sebaliknya mencipta helah untuk terus melakukan pencemaran melalui Clean Development Mechanisme (CDM), sebagai contoh. Dalam masa yang sama melalui Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tertentu mereka menyerang tindakan negara-negara membangun melakukan penebangan hutan dan sebagainya. Walhal sebahagian besar daripada pelepasan karbon dilakukan oleh negara-negara maju itu sendiri. Oleh itu, jika sistem kapitalisme ini terus digunapakai untuk mentadbir dunia, maka kita akan terus menyaksikan dan mengalami pelbagai masalah bencana alam seperti banjir dan pencemaran

Kesedaran Manusia Dalam Mengurus Masalah Banjir

Manusia sememangnya tidak akan dipertanggungjawabkan atas ketetapan Allah (qadha’ dan qadar), namun manusia bertanggungjawab sepenuhnya dalam perkara-perkara ikhtiyariah. Masalah bencana banjir yang melanda negara sering dikaitkan dengan kelalaian dan pelbagai kerosakan di muka bumi akibat perbuatan manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Telah nampak pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada akibat perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali”. [TMQ Ar Rum (30):41]

Sebahagian daripada perbuatan manusia seperti aktiviti pembalakan tidak terkawal, penebangan pokok di lereng bukit atau tanah tinggi, pembuangan sampah sarap, pembebasan asap industri, pelepasan sisa kumbahan tidak terawat dan lain-lain sebenarnya mengundang berlakunya bencana seperti banjir kilat, tanah runtuh, banjir lumpur dan jerebu. Selain masalah yang lahir daripada aktiviti manusia, pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan yang besar dalam membangun infrastruktur perparitan serta tebatan banjir yang efektif. Tidak dinafikan ia melibatkan kos yang sangat besar, namun yang penting, perlu ada inisiatif yang serius daripada pemerintah untuk mengurangkan masalah ini. Sekiranya tindakan yang serius telah diambil sejak lama dulu,  masalah banjir di Pantai Timur sepatutnya telah dapat dikurangkan. Tidak sewajarnya bagi sesebuah kerajaan terus membiarkan rakyat mengalami masalah banjir ini berdekad lamanya walhal telah wujud teknologi yang mampu mengurangkan masalah banjir dengan berkesan.

Islam Mampu Mengurus Alam Sekitar Dengan Lebih Baik

Berbeza dengan kapitalisme, Islam tidak meletakkan nilai material – pengeluaran dan pertumbuhan ekonomi – sebagai keutamaan berbanding nilai kerohanian, kemanusiaan dan moral seperti yang diamal sekarang. Islam tidak membenarkan keutamaan diberikan kepada segelintir syarikat besar sehingga umat manusia secara global menanggung kesannya sebagaimana yang terjadi dalam dunia hari ini. Imam (pemimpin) itu bertanggungjawab kepada rakyatnya secara keseluruhan dan bukannya kepada segelintir golongan pemilik modal. Sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Imam itu adalah laksana penggembala, dan dia akan diminta pertanggungjawaban akan rakyatnya (yang digembalanya)”. [HR Imam Al Bukhari dan Imam Ahmad daripada sahabat Abdullah bin Umar ra]