Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

SN511 – Kenapa Golongan Muda Tidak Minat Politik?

PDF

SN Keluaran 30 Muharam 1439H/20 Oktober 2017

SN511 - Kenapa Golongan Muda Tidak Minat Politik?

[SN511] Antara perbincangan yang menarik perhatian kebelakangan ini ialah tentang keterlibatan anak muda dalam politik tanahair yang mana beberapa media melaporkan bahawa golongan tersebut sudah semakin tidak meminati bidang politik. Hal ini disimpulkan daripada kekurangan kehadiran anak muda dalam ceramah atau aktiviti politik yang dijalankan oleh parti-parti politik dan juga peratusan pendaftaran pengundi muda di Malaysia.

Dilaporkan bahawa kira-kira 14 juta pengundi yang sudah mencapai umur 21 tahun telah pun mendaftar, tetapi terdapat 3.8 juta lagi yang belum berbuat demikian. Beberapa kaji selidik yang dijalankan turut menunjukkan yang ramai golongan muda tidak meminati politik atas beberapa sebab tertentu. Antara faktor utama ialah kerana mereka sudah meluat dengan karenah orang-orang politik serta parti-parti politik yang ada. Ini menyebabkan mereka sudah tidak lagi menaruh apa-apa harapan, lalu memutuskan untuk tidak mempedulikan soal politik, termasuklah tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi.

Sekali imbas memang kita tidak boleh menolak faktor yang disebutkan itu yang menjadi punca hilangnya minat golongan muda terhadap politik. Namun, jika diteliti dengan mendalam, banyak lagi faktor lain yang telah mempengaruhi anak-anak muda untuk tidak berpolitik dan hal ini bukanlah suatu yang baru. Tidak tepat jika ukuran hanya dibuat berdasarkan peratusan pendaftaran pengundi atau kehadiran di ceramah politik semata-mata. Jika kita perhatikan perkembangan golongan muda, apatah lagi jika kita bercampur dengan mereka, maka kita akan dapati bahawa kehilangan minat atau ketidakpedulian mereka terhadap hal-hal politik sebenarnya sudah lama dan faktor-faktornya pula pelbagai.

Selain kecewa dengan karenah politikus dan parti politik, kebanyakan golongan muda sebenarnya masih terkial-kial mencari arah hidup yang menyebabkan mereka lebih menumpukan kepentingan peribadi berbanding kepentingan yang lain. Soal pelajaran, pekerjaan, cinta, mencari jodoh, mengumpul wang, membina kerjaya dan sebagainya, semua ini merupakan faktor penting yang menjadi fokus golongan muda untuk “diselesaikan” terlebih dahulu, sebelum beralih kepada bidang politik.

Terdapat pula sebahagian anak muda yang sememangnya malas mengambil tahu tentang politik dan hanya mementingkan hiburan atau minat masing-masing sahaja. Ada pula yang mementingkan keluarga kerana tanggungjawab menyara atau berbakti kepada orang tua yang lebih diutamakan berbanding hal-hal lain. Tidak kurang pula yang takut untuk berkecimpung dalam bidang politik, khususnya jika melawan arus kerana takut dengan risiko dipantau, dibuang kerja, ditangkap dan sebagainya. Halangan berpolitik di masjid dan kampus, undang-undang yang zalim seperti akta hasutan, akta mesin cetak, akta himpunan aman, SOSMA, POCA dan lain-lain, malah penangkapan berterusan ke atas mereka yang mengkritik pemerintah, faktor-faktor ini juga penting menjadikan golongan muda takut dan hilang minat untuk berpolitik.

Pelbagai tekanan hidup dan kerosakan yang ada di bawah sistem sekular-demokrasi pula menjadikan fokus hidup golongan muda tidak keruan sehingga sebahagian mereka bukan sahaja tidak mempedulikan politik atau masyarakat, tetapi telah menjadi sampah masyarakat. Segelintir anak muda yang agak Islamik jiwanya, lebih memilih untuk menunggu munculnya Imam Mahdi yang akan menyelamatkan umat ini, tanpa berbuat apa-apa!

Itulah antara faktor-faktor yang menjadikan banyak pihak sebenarnya, bukan sahaja golongan muda, tidak minat untuk berpolitik. Walau bagaimanapun, faktor sebenar yang merupakan faktor utama yang menjadi punca kepada perkara ini bukanlah hal-hal yang disebut di atas, tetapi salah faham maksud sebenar politik, itulah yang menjadi puncanya. Banyak pihak, termasuk golongan muda yang salah memahami maksud politik.

Ada yang memahami politik dengan makna yang sempit seperti pilihanraya atau parlimen. Ada pula yang memahaminya dalam konteks yang abstrak dan falsafah seperti pengambilan keputusan secara kolektif atau pembuatan polisi umum untuk masyarakat seluruhnya dan bermacam-macam pengertian lagi. Namun, yang paling popular ialah pendapat yang menganggap politik itu adalah kekuasaan dan segala hal yang terkait dengan kekuasaan, termasuklah perebutan untuk berkuasa.

Hasil daripada salah faham inilah dan dengan melihat keburukan pemerintah, karenah para politikus dan gelagat parti-parti politik dalam menjalankan aktiviti politik masing-masing, maka politik telah dilihat sebagai suatu yang kotor dan menjijikkan. Lebih-lebih lagi apabila berlakunya segala bentuk penipuan, kebodohan, rasuah, penyalahgunaan kuasa, penindasan, bermacam skandal, kezaliman dan lain-lain kerosakan yang melampau dalam negara akibat orang-orang politik, maka wajarlah bagi golongan muda dan banyak pihak untuk menjauhkan diri daripada politik kerana kekotoran dan kejijikan politik itu sudah tidak terbendung lagi. Sesungguhnya memang benar politik itu jijik dan kotor, jika yang dimaksudkan itu ialah politik dalam sistem demokrasi pada hari ini!

Memahami Makna Sebenar Politik

Sesungguhnya tidak ada jalan lain untuk memahami pengertian politik dengan cara yang benar kecuali merujuk kepada politik Islam (siyasah syar’iyyah), termasuk melihat maknanya jika terdapat dalam al-Quran atau al-Hadis. Dari segi bahasa, perkataan politik (siyasah) bermaksud pemeliharaan dan pengaturan maslahat (kepentingan). Di dalam kamus disebutkan sustu al-ra’iyyata siyasatan ai amartuha wa nahaituha ai ra’itu syu’unaha bi al-awamir wa al-nawahi (aku memimpin rakyat dengan sungguh-sungguh iaitu aku memerintah dan melarangnya atau aku mengatur urusan-urusan mereka dengan perintah-perintah dan larangan-larangan). Maka menurut pengertian syarie, politik bermaksud ri’ayah asy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan (mengatur/memelihara urusan umat sama ada dalam atau luar negeri).

Pengertian ini diambil daripada beberapa hadis di mana Rasulullah SAW menggunakan lafaz ‘siyasah’ untuk menunjukkan maksud pengurusan/pemeliharaan urusan umat. Antaranya hadis riwayat Muslim

“Adalah Bani Israel dahulu, yang mengatur urusan mereka (tasusuhum) adalah para Nabi. Bila wafat seorang Nabi, maka diganti (oleh Allah) dengan Nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada lagi Nabi sesudahku tetapi akan ada para Khalifah dan jumlahnya ramai.” 

Justeru dalam Islam, mengurusi urusan umat dalam seluruh aspek kehidupan baik pemerintahan, ekonomi, pergaulan, uqubat, pendidikan dan lain-lain, inilah yang dimaksudkan dengan siyasah (politik). Selain menjadi dalil bahawa Khalifah-lah yang merupakan pengatur urusan umat, hadis tersebut menerangkan tentang peranan politik yang wajib dimainkan oleh pemerintah.

Manakala bagi pihak umat, memerhatikan atau mengambil peduli urusan sesama kaum Muslimin, melakukan amar makruf nahi mungkar dan memuhasabah pemerintah, adalah politik yang perlu dimainkan oleh umat. Rasulullah SAW bersabda,

“Barangsiapa di pagi hari tidak memerhatikan urusan kaum Muslimin, maka ia tidak termasuk golongan mereka (kaum Muslimin)” [HR al-Hakim].

Besarnya tanggungjawab politik dan pahala memuhasabah pemerintah sehingga siapa yang syahid dalam melakukannya diberi status sebagai penghulu syuhada’ oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabda baginda,

“Penghulu syuhada’ ialah Hamzah dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim lalu menasihatinya, kemudian ia di bunuh (oleh penguasa tersebut)” [HR al-Hakim].

Selain individu Muslim, tanggungjawab yang sama iaitu memerhatikan urusan kaum Muslimin dan memuhasabah pemerintah, merupakan fungsi dan tugas utama sesebuah parti politik dalam Islam. Firman Allah SWT,

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat (jemaah) yang menyeru kepada kebajikan (Islam), menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar” [TMQ Ali Imran (3):104].

Berdasarkan nas yang jelas daripada al-Quran dan al-Hadis, berpolitik (dengan makna yang sebenar) merupakan sebuah kewajipan ke atas setiap individu Muslim dan juga jemaah Islam.

Maka, setiap Muslim dan jemaah Islam tidak ada pilihan kecuali wajib berpolitik, dengan maknanya yang sebenar. Ini kerana, politik adalah sebahagian daripada Islam, malah tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Justeru, apa yang wajib dilakukan oleh golongan muda sekarang bukanlah menjauhkan diri daripada politik atau tidak mempedulikan politik, tetapi berpolitik dengan cara yang benar. Melarikan diri daripada politik bermakna melarikan diri daripada Islam itu sendiri! Perbuatan mementingkan diri sendiri sehingga tidak mempedulikan nasib dan keadaan saudara seIslam yang lain merupakan perbuatan yang diharamkan oleh Islam. Di sinilah pentingnya golongan muda memahami dan menjalankan tanggungjawab politik yang diletakkan oleh Islam ke atas setiap mereka.

Setelah memahami makna politik yang sahih, maka akan terlihatlah keindahan dan kesucian politik, kerana apa yang dimaksudkan dengan siyasah dalam Islam ialah ri’ayah al-syu’un al-ummah (mengatur urusan umat) dengan syariah serta melakukan amar makruf nahi mungkar dengan al-Quran dan al-Sunnah. Adapun politik yang diamalkan dalam sistem demokrasi memanglah suatu politik yang kotor lagi jijik kerana membelakangkan al-Quran dan al-Sunnah dan amat jauh daripada amalan politik Islam yang sebenar.

Politik demokrasi lahir daripada akidah sekularisme yang memisahkan agama daripada kehidupan. Kerana itulah politik demokrasi dipenuhi dengan peraturan taghut (selain Allah), berasaskan kepada manfaat, penuh pendustaan dan tipu daya, permusuhan, perebutan kuasa, kebencian, penyesatan, kezaliman dan pelbagai jenis keburukan lainnya sebagaimana yang dapat kita saksikan pada hari ini. Ini semua terjadi kerana politik yang diamalkan bukanlah politik Islam, malah sekularisme memisahkan dan tidak membenarkan Islam dicampuraduk dengan politik.

Oleh yang demikian, peranan anak-anak muda sekarang ialah untuk mengamalkan politik dengan cara yang benar, yang sekali gus bermaksud mereka wajib mempelajari Islam dengan cara yang benar, lalu terjun ke dalam masyarakat untuk memperbaiki, mengurusi dan memberi petunjuk kepada masyarakat yang telah dirosakkan oleh amalan politik sekular-demokrasi pada hari ini. Jadi, sikap yang sepatutnya diambil oleh golongan muda bukanlah mengasingkan diri daripada politik atau berpolitik dengan cara yang salah, tetapi berusaha merubah diri dan masyarakat dengan menjadikan siyasah syar’iyyah sebagai panduan dan seterusnya meneladani amalan politik Rasulullah SAW selaku suri teladan bagi kita.

Politik Sebagai Jalan Perubahan Dan Kebangkitan

Di samping berpolitik dengan jalan dan cara yang benar, seperkara lagi yang mesti diperhatikan oleh golongan muda ialah memilih parti politik yang benar sebagai wadah perjuangan. Perasaan golongan muda yang meluat dan kecewa melihat parti-parti politik yang ada memang ada kewajarannya kerana parti pemerintah contohnya, memang sudah terkenal zalim dan tidak ada yang mahu bersama parti ini kecuali golongan yang menyokong kezaliman dan mengharapkan habuan dunia yang sedikit. Manakala parti-parti pembangkang, selain turut bergelumang dengan kekotoran politik demokrasi sebagaimana juga parti pemerintah, hampir kesemuanya bersifat pragmatis. Parti yang pragmatis adalah parti yang tunduk kepada sistem dan realiti yang ada, tidak jelas fikrah dan thariqahnya, bersikap moderat, tidak pernah konsisten pendiriannya dan menjadikan maslahat, bukannya hukum syarak, sebagai tolok ukur aktiviti dan perjuangannya.

Maka tidak hairanlah apabila sampai suatu tahap, parti seperti ini akan menimbulkan keletihan, kekecewaan dan keputusasaan kepada ahli dan para penyokongnya. Tidak hairan pula apabila golongan muda yang menyaksikan dan mengikuti perkembangan parti seperti ini lama kelamaan hilang minat untuk bersama dengan parti politik atau terlibat dalam aktiviti politik.

Sesungguhnya perubahan yang didambakan oleh golongan muda hanya akan dapat dicapai melalui aktiviti politik dan parti politik yang bersifat ideologi. Parti Islam berideologi mempunyai fikrah dan thariqah yang jelas dalam rangka merealisasikan tujuannya dan sentiasa konsisten dalam perjuangannya. Walau apa yang melanda, ia tetap konsisten dan tidak akan menyimpang sejengkal pun daripada perjuangannya. Ia menolak apa jua bentuk sistem dan undang-undang yang lahir dari akidah sekularisme. Ia sama sekali tidak tunduk kepada realiti, tetapi menundukkan realiti dengan Islam yang diperjuangkannya. Ia hanya menjadikan hukum syarak semata-mata sebagai tolok ukur dalam segala aktivitinya serta menjadikan thariqah dakwah Rasulullah SAW sebagai satu-satunya thariqah parti tanpa kompromi.

Bagi golongan muda yang inginkan perubahan dan ingin melihat Islam dilaksanakan secara kaffah, sekali gus menggantikan sistem kufur demokrasi yang penuh kerosakan yang ada pada hari ini, sesungguhnya tidak ada jalan lain lagi melainkan melibatkan diri dengan parti Islam berideologi. Parti politik yang pragmatis tidak akan dapat membawa apa-apa perubahan, apatah lagi untuk membangkitkan umat atau menerapkan Islam, kerana putaran aktivitinya tidak pernah keluar daripada kubangan demokrasi yang menjadi padang permainannya. Satu-satunya jalan perubahan (daripada buruk kepada baik) ialah dengan menukar sistem yang sedia ada, dan pertukaran sistem tidak akan berlaku melalui parti pragmatis yang bergelumang dengan sistem tersebut. Justeru, golongan muda bukan sahaja perlu sedar dan faham makna sebenar politik, tetapi hendaklah sentiasa berpolitik dengan cara yang benar dan memilih parti politik yang benar untuk melakukan perubahan yang didambakan.

Khatimah

Wahai anak-anak muda! Jika kalian ingin tinggalkan politik, ya silakan, tinggalkanlah politik demokrasi yang penuh kekotoran ini. Kembalilah kepada politik Islam, yakni dengan mengatur seluruh kehidupan kalian dengan perintah dan larangan Allah SWT. Buatlah apa yang Allah perintahkan dan tinggalkanlah apa yang Allah larang. Jika kalian tidak berpolitik dengan cara yang benar, apatah lagi jika kalian tidak mempedulikan hal-hal politik, maka kalian sebenarnya telah membiarkan diri kalian ditipu, diperbodohkan dan diatur oleh pemerintah dengan sewenang-wenangnya, yang mana hasilnya akan merugikan diri kalian sendiri. Sedarlah bahawa Islam tidak akan tegak secara kaffah kecuali dengan jalan politik. Sedarlah bahawa Negara Islam (Khilafah) juga tidak akan tegak kecuali dengan jalan politik. Sedarlah bahawa jika kalian tidak berpolitik dengan cara yang benar, maka kalian sebenarnya telah meninggalkan sebahagian daripada kewajipan yang penting dalam Islam dan kalian sebenarnya telah mencampakkan diri kalian ke dalam kebinasaan. Nauzubillah min zalik.