Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

SN510 – Amerika dan Sekutunya Benar-benar Menggelupur Kerana Gagal Menundukkan Warga Syam

Dengan Pelbagai Dalih, Mereka Meningkatkan Campur Tangan Tentera Darat, Selain Udara, Dalam Rangka Menundukkan Warga Syam!

PDF

SN Keluaran 23 Muharam 1439H/13 Oktober 2017

SN510 - Amerika dan Sekutunya Benar-benar Menggelupur Kerana Gagal Menundukkan Warga Syam

Bismillahirrahmanirrahim

Amerika dan Sekutunya Benar-benar Menggelupur Kerana Gagal Menundukkan Warga Syam

Dengan Pelbagai Dalih, Mereka Meningkatkan Campur Tangan Tentera Darat, Selain Udara, Dalam Rangka Menundukkan Warga Syam!

Sepanjang enam tahun, Amerika telah bekerja keras melalui pelbagai cara untuk menundukkan warga Syam kepada rejim diktator, dengan harapan warga Syam menerima segala serangan dan pembunuhan yang dilakukan oleh diktator tersebut. Tetapi Amerika gagal, walaupun ia telah menggunakan segala cara yang ada tanpa menyisakan kekejamannya sedikit pun. Ia telah menggunakan peluru berpandu udara dan juga laut. Kemudian ia mempergunakan Iran, diikuti dengan (mempergunakan) Rusia. Amerika telah habis menggempur di darat daripada sekecil-kecil tindakan sampailah ke sebesar-besarnya, dengan mengatasnamakan negeri-negeri serantau seperti Turki dan Iran. Amerika juga berafiliasi secara ketenteraan dengan pihak Iran yang diimportnya di bawah pelbagai nama, dan kemudian berafiliasi dengan pihak-pihak di dalam Syam itu sendiri…Itu semua dilakukannya sendiri secara terbuka dan kadang-kadang dilakukan oleh sekutunya dan kadang-kadang oleh agennya…

Apa yang menakutkan pakatan ini adalah kerana tidak wujudnya konflik antarabangsa di Syria. Sebaliknya, Amerika memegang tunjang pengaruh dan ia tidak sama seperti kes di Libya atau Yaman…Tentera negara serantau yang berjiran dengan Syria, semuanya setia kepada Amerika, para agen dan pengikut-pengikutnya. Bahkan negara yang sentiasa condong kepada Britain pun seperti Jordan, telah “didisiplin” oleh dasar Britain untuk tidak menentang Amerika, kecuali cuba menghalang Amerika jika ada peluang…Selain itu, parti-parti pembangkang di dalam Syria, banyak daripada mereka menerima wang kotor dan bantuan senjata untuk melawan saudara-saudara mereka sendiri, yang semua itu datangnya dari Amerika…Hal ini sebagai tambahan kepada konspirasi yang dilakukan oleh Amerika seperti gencatan senjata dan perjanjian untuk menamatkan pertempuran yang hanya dikenakan ke atas pembangkang dan tidak ke atas rejim! Amerika juga mengawal segala wang bantuan kotor di samping mengawal pembekalan dan pelarangan senjata serta mengawal zon yang semakin kurang bergolak (de-escalation zone) . Semua itu berada di bawah kawalan Amerika…

Pada masa yang sama, tidak ada pihak yang berani menghalang Amerika, sekutu dan agennya, kecuali beberapa kumpulan kecil dan juga beberapa warga Syam yang ikhlas dan berdiri di atas kebenaran di hadapan Tuhan mereka, agama mereka dan umat Islam. Segala hal yang telah disebutkan di atas, sehinggalah kepada kekuatan fizikal yang berada di tangan musuh-musuh Islam, iaitu Amerika, sekutunya, agennya dan orang-orang munafik…semua ini bukanlah segalanya dalam mencapai kemenangan atau kekalahan…

Oleh sebab (kegagalan) itulah, Amerika bersama sekutu dan agennya naik pitam dan menggelupur kemarahan, dan memang wajarlah Amerika menggelupur. Ini kerana ia telah menghabiskan segala kekuatan dan cara untuk melaksanakan rancangannya bagi memastikan ada secebis penerimaan (terhadap rancangannya) daripada orang-orang yang ikhlas di Syam, namun ia gagal…Nampaknya ia tidak mempunyai pilihan lain lagi kecuali mengambil penyelesaian yang mereka rancang dengan meningkatkan tindakan ketenteraan, bukan hanya dengan pengeboman udara dan laut, atau oleh pasukan khas, pakar, perunding dan sejenisnya, tetapi dengan pembentukan tentera darat ke tahap yang menyerupai bentuk penjajahan ketenteraan, dan mereka menghiasinya dengan nama “memerangi keganasan”. Sedangkan merekalah pengganas yang sebenar dan daripada merekalah lahir segala bentuk keganasan. “Semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka dapat dipalingkan (dari kebenaran)” [TMQ al-Munafiqun (63):4].

Tidak mengejutkan jika mereka menghiasinya (pelan penjajahan mereka) dengan sebab lain, seperti sokongan daripada resolusi antarabangsa!…Atas dasar itulah, atmosfera mesyuarat Astana pusingan ke-enam pada 15/9/2017 telah merujuk kepada dua perkara ini. Al-Arabiya.net melaporkan bahawa pada mesyuarat Astana pada hari Jumaat 15/9/2017: “…Menteri Luar Kazakhstan akan mengumumkan kenyataan akhir rundingan Astana dengan mengatakan: Zon yang semakin kurang bergolak (de-escalation zone) akan tetap berkuat kuasa selama tempoh enam bulan dan boleh diperpanjangkan…Pusingan keenam mesyuarat di Astana secara rasmi berjalan di ibu kota Kazakhstan itu untuk hari ke-2, didahului oleh beberapa siri pertemuan antara pakar-pakar negara penjamin (the guarantor states) iaitu Rusia, Iran dan Turki…”

Agensi berita Anatolia melaporkan bahawa “kesepakatan telah dicapai di Astana mengenai sempadan zon de-escalation di Idlib, Syria, sambil menambah bahawa pihak-pihak yang berbincang terus berusaha untuk mencapai kesepakatan mengenai kekuatan mana yang akan digunakan di Idlib…Pada hari pertama mesyuarat, iaitu hari Khamis, Presiden Kazakhstan mengumumkan bahawa “negaranya bersedia untuk menghantar pasukan damai ke Syria jika Majlis Keselamatan bersetuju…” Kenyataan Nazarbayev ini juga disahkan oleh Orient.net pada 14/9/2017 di mana pada sidang akhbar di Astana pada hari Khamis, bersamaan dengan pelancaran mesyuarat pusingan keenam, ia memetiknya sebagai berkata: “Jika PBB memutuskan untuk menghantar pasukan itu [ke Syria], maka kami, sebagai anggota PBB, boleh menghantar tentera kami untuk mengambil bahagian [dalam operasi pengaman].”

Kenyataan-kenyataan ini amat jelas menunjukkan keghairahan mereka untuk bertindak secara ketenteraan. Masuknya Idlib ke dalam konflik telah menjadikannya berbeza dengan apa yang berlaku yang sebelum-sebelum ini, kerana mereka telah mengumpulkan para pejuang di dalamnya yang mereka gelar sebagai kumpulan pengganas atau non-moderat. Mereka mengumpulkan para pejuang tersebut melalui perjanjian-perjanjian dan seumpamanya…Hal ini terlihat melalui kenyataan yang dibuat oleh beberapa pegawai negara-negara yang berkenaan, terutamanya Turki dan pihak-pihak di sekelilingnya, terhadap Idlib.

Pada 17/9/2017, Sputnik melaporkan: Sumber setempat di bandar Kielce (sempadan dengan Syria) berkata pada hari Isnin, bandar ini menyaksikan satu pergerakan tentera yang besar sepanjang minggu. Tentera Turki terus-menerus menghantar bantuan ke sempadan Syria sejak seminggu yang lepas…Di pihaknya, seorang askar Turki yang ada di sempadan Syria memberitahu Sputnik bahawa Turki telah menggerakkan pasukan tentera dan mekanismenya selama tiga hari di bandar Rihaniyah, dalam wilayah Iskenderun, bersebelahan dengan Idlib…

Ini adalah tambahan kepada kesimpulan, atau lebih tepat dikatakan sebagai pengisytiharan, yang dibuat oleh Presiden Kazakhstan mengenai campur tangan tentera hasil keputusan Majlis Keselamatan. Oleh kerana dia tidak membuat kenyataan ini daripada idea-ideanya sendiri (kerana dia bukanlah seorang yang diperhitungkan pun!), maka apa yang diucapkan dengan lidahnya itu ialah apa yang tidak boleh dicapai oleh tangannya. Jadi, dia sebenarnya bercakap tentang apa yang Amerika dan sekutu Amerika arahkan kepadanya…

Si penjenayah Amerika nampaknya tidak mahu lama-lama lagi menyimpan diktator Syam dalam keadaan “hidup segan mati tak mahu” sehingga ia menjumpai alternatif (agen) lain, kecuali ia mesti melaksanakan hal ini (penjajahan tentera) atas dalih memerangi keganasan dan juga (dalih) resolusi antarabangsa! Hal ini dilakukan dalam usaha jahat Amerika, di mana ia merasa mampu, untuk menundukkan warga Syam kepada diktator sekular baru dengan anggapan si diktator ini akan menjadi musuh Islam. Anggapan ini, yang telah pun menghancurkan mereka sebelum ini, akan membawa kehancuran kepada mereka (sekali lagi) dengan izin Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Wahai warga Syam yang ikhlas! Kalian telah mengejutkan Amerika dan sekutu-sekutunya dengan kekuatan tekad dan keikhlasan kalian kepada Rabb kalian. Semua ini berserta sekumpulan pejuang yang menghadapi Amerika, adalah kumpulan yang tidak besar jumlahnya dan bertaburan di sana sini serta tidak mempunyai kepimpinan politik yang dapat mempersatukan mereka. Jadi, bayangkan bagaimana jika kumpulan-kumpulan yang bertaburan ini berkumpul dalam satu wadah yang di dalam dan di luarnya diterangi dengan cahaya Islam? Selain itu, puak-puak yang memakan wang kotor dan berperang sesama sendiri, mengabaikan musuh mereka dan warga mereka sendiri, semua ini adalah putera-putera dan saudara-saudara kalian. Jadi rangkullah tangan-tangan mereka dan bawa ke khemah keimanan dan jangan biarkan mereka cenderung kepada musuh Islam…

Kedua perkara ini, (i) tiadanya kepimpinan politik yang dapat mengumpul dan memimpin mereka, dan (ii) kecenderungan mereka terhadap musuh-musuh Islam dan kebergantungan mereka pada wang yang kotor, kedua-duanya merupakan keretakan bahaya dalam dinding kalian, dan hanya kalian yang boleh membaikinya. Maka berikanlah perhatian yang benar-benar serius dan bersungguh-sungguh terhadap hal ini.

Wahai kaum Muslimin di mana pun kalian berada! Amerika dan sekutu-sekutunya sedang merancang untuk menjajah Syam secara ketenteraan, dengan menggunakan nama-nama baru. Mereka bukan sahaja mahu menceroboh melalui udara, dan bukan hanya melalui pasukan khas atau pakar…tetapi melalui kekuatan layaknya kekuatan tentera untuk menjajah. Mereka menghiasinya dengan slogan-slogan yang menipu seperti melawan keganasan atau keputusan masyarakat antarabangsa. Ini merupakan suatu perkara yang merbahaya yang akan membawa rantau ini kembali kepada suasana buruk era penjajahan tentera seperti sebelum ini, walaupun ia dalam bentuk moden yang dibaluti dengan dasar-dasar yang penuh penipuan untuk menjajah negara orang.

Kejayaan mereka (Amerika dan sekutunya) melaksanakan rancangan ini di wilayah Syam akan menjadi pintu masuk ke wilayah-wilayah lain di luar Syam. Jika ini berlaku, maka pepatah “Aku telah binasa pada hari aku membiarkan saudaraku binasa” akan berlaku dan semua orang akan menyesal, tetapi sudah tiada gunanya. Perkara ini serius dan bukan gurauan. Ia memerlukan kita termenung dan memikirkan perancangan yang baik dan pemikiran yang mendalam.

Apa yang (selama ini) menggembirakan musuh kalian ialah kejatuhan Daulah khilafah yang sejak sekian lama menaungi kalian, dan kini, kembalinya Khilafah adalah di tangan kalian, khususnya di tangan ahlul quwwah (golongan yang mempunyai kekuatan) dalam kalangan kalian. Kalianlah yang akan memijak-mijak para penguasa Ruwaibidhah yang hidupnya mengharapkan pujian kuffar penjajah. Sesungguhnya pakatan kuffar itu akan berpecah dan pangkalan-pangkalan mereka (musuh Islam) itu tidak akan menguntungkan mereka. “Mereka mengira bahawa benteng-benteng mereka dapat mempertahankan mereka dari (seksa) Allah; maka Allah mendatangkan kepada mereka (hukuman) dari arah yang tidak mereka sangka” [TMQ al-Hasyr (59):2]

Wahai kaum Muslimin yang ada di Syria dan di mana jua! Kalian telah melihat bagaimana musuh-musuh kalian, walaupun memiliki kekuatan material yang hebat, tetapi tidak dapat menundukkan kalian kepada perancangan mereka selama ini. Dengan pertolongan dan petunjuk daripada Allah SWT, sesungguhnya keazaman dan keteguhan kalian telah melemahkan mereka, dan hati mereka kosong walaupun mereka mempunyai kekuatan material yang besar. Mereka menjadi lemah tatkala menghadapi tentangan dan menjadi pengecut tatkala menghadapi bahaya…Walau bagaimanapun, si pengecut ini dapat mengeksploitasi keretakan yang ada pada dinding musuhnya dan kehancuran struktur lawannya, dan kemudian si pengecut ini meminjam kekuatan si singa. Ia dapat menghadapi musuhnya bukan kerana kekuatannya sendiri tetapi kerana keretakan di dinding musuhnya dan keruntuhan struktur lawannya…

Hizbut Tahrir ialah pemimpin yang tidak berbohong kepada warganya, dengan ini memberi amaran kepada kalian untuk tidak membiarkan keretakan dan keruntuhan yang berlaku, tanpa penyelesaian daripada Islam. Perkara ini tidak akan menjadi baik kecuali dengan apa yang telah menjadikannya baik pada awalnya ini, iaitu memerintah dengan apa yang telah Allah turunkan dan bergeraknya bala tentera di jalan Allah, dan tidak ada penyelesaian lain lagi selain ini…Sekiranya kalian mendengar lalu mengikuti jawapan dan amaran yang diberikan oleh Hizbut Tahrir terhadap kalian, maka dengan izin Allah, kemuliaan di dunia dan akhirat adalah milik kalian.

“Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kalian dan memasukkan kalian ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kalian) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kalian sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman” [TMQ al-Saf (61):12-13] 

“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya” [TMQ Qaf (50):37].

Hizbut Tahrir
2 Muharam 1439 H
22/09/2017

[Terjemahan nasyrah daripada Hizbut Tahrir Pusat yang disebarkan ke seluruh dunia]