Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

SN509 – Najib Menghadap Syaitan Besar, Untuk Apa?

PDF

SN Keluaran 24 Zulhijjah 1438H/15 September 2017

SN509 - Najib Menghadap Syaitan Besar, Untuk Apa?

[SN509] Lawatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ke atas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di White House pada 11-13 September lepas telah menggamatkan politik tanahair dan juga di negara Uncle Sam tersebut. Kebanyakan media utama di Amerika Syarikat melakukan sindiran tajam ke atas kedua-dua pemimpin yang dibelenggu krisis dan skandal kepimpinan terbesar di negara masing-masing itu. Di dalam negara, Najib turut dikecam hebat oleh para pengkritik yang melihat lawatannya ke Washington itu tidak lebih daripada agenda peribadi dalam rangka ‘membeli jiwa’ Trump bagi menarik sokongan, mengampu, memohon restu dan simpati bagi memulihkan reputasi dan kerusi kekuasaannya yang sudah semakin reput. Selain itu, misi pelaburan yang dibawa oleh Najib ke White House turut mengundang kemarahan dan kritikan banyak pihak di saat negara sendiri sedang gawat dengan pelbagai krisis ekonomi, alih-alih Najib ke Amerika untuk memperkukuhkan ekonomi Amerika yang sedang merudum itu. Persoalan kos lawatan Najib dan delegasinya yang dilihat sebagai lawatan peribadi antara pemimpin dan bukannya lawatan rasmi antara negara itu turut dipersoalkan oleh banyak pihak.

Najib beberapa kali menekankan bahawa lawatannya ke Washington kali ini adalah atas undangan Trump, bagi memberi gambaran bahawa beliau adalah seorang yang sangat rapat dengan Trump dan seolah-olah Trump memandang Najib sebagai seorang yang cukup penting bagi Amerika. Anehnya, semasa pertemuan antara Najib-Trump, Najib menyatakan bahawa “Kami datang ke sini dengan cadangan bernilai tinggi untuk dikemukakan.” Kebiasaannya, pihak yang mengundanglah yang mempunyai “hajat” kepada orang yang diundangnya. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya yakni pihak yang diundang yang mengemukakan hajat yang sangat tinggi kepada pihak yang mengundang! Sungguh pelik bin ajaib! Lebih memeranjatkan, Najib dikatakan akan membawa isu Rohingya untuk dibincangkan bersama Trump, namun semasa mesyuarat yang disaksikan dan disiarkan oleh banyak media itu, isu Rohingya langsung tidak dibangkitkan.

Agenda Mesyuarat Najib-Trump

Pertemuan Najib dengan Trump dikatakan berlangsung dalam masa yang amat ringkas, satu mesyuarat yang mengundang persoalan dan kritikan bahawa ini bukan merupakan lawatan rasmi ketua negara seperti kebiasaannya, tetapi lebih bersifat lawatan peribadi yang mengatasnamakan Perdana Menteri. Apa pun, amat penting untuk kita menyemak apakah perkara-perkara yang telah dikemukakan oleh Najib kepada Trump dalam lawatan ini:

Pertama; Najib mahu membantu memperkukuhkan ekonomi AS dengan membawa tiga cadangan khusus (1) Meningkatkan pembelian pesawat Boeing oleh MAS dalam masa 5 tahun dengan nilai lebih AS$10 bilion (2) Melabur tiga atau empat bilion dolar untuk mendukung kemudahan pembangunan semula Amerika Syarikat, melalui dana KWSP, yang mana setakat ini hampir AS$7 bilion telah pun dilaburkan dalam bentuk ekuiti di Amerika Syarikat (3) Menambah pelaburan Khazanah yang mempunyai pejabat di Silicon Valley, yang sebelum ini telah pun melabur kira-kira AS$400 juta dalam syarikat teknologi tinggi di Amerika.

Sungguh aneh dengan agenda ini kerana ia menggambarkan seolah-olah ekonomi Malaysia berada di tahap yang amat kukuh sehingga kita berupaya untuk mengukuhkan pula ekonomi sebuah negara kuasa besar seperti AS. Sedangkan hakikatnya rakyat hidup dengan penuh penderitaan di negara ini hasil kenaikan kos sara hidup dan pelbagai cukai serta penindasan ekonomi lainnya di bawah pemerintahan Najib. Lebih buruk, Najib menggunakan dana KSWP yang merupakan duit rakyat, untuk menambah pelaburan di Amerika yang sudah pasti akan menguntungkan Amerika.

Sesungguhnya Najib telah melakukan satu pelaburan atau perniagaan dengan sebuah negara kafir pengganas, sebuah pelaburan yang akan memberi keuntungan lumayan kepada negara pembunuh umat Islam. Bagaimana mungkin Najib menggunakan duit rakyat untuk membantu negara pengganas yang tangannya masih berlumuran dengan darah umat Islam!? Peperangan yang dilancarkan oleh AS ke atas Iraq dan Afghanistan masih berterusan hingga sekarang dan kita semua maklum bahawa AS telah membelanjakan trilion dolar bagi membunuh umat Islam di kedua-dua negara terbabit atas nama perang melawan keganasan. Ini belum masuk jumlah lebih kurang 3.8 bilion dolar setahun secara purata yang disumbangkan oleh AS untuk membantu entiti Yahudi dari segi ketenteraan, dan kita semua tahu ketenteraan Yahudi digunakan untuk membunuh umat Islam dan menjajah sepenuhnya tanah suci Palestin. Baik secara langsung mahupun tidak, bantuan yang Najib berikan kepada Amerika hanyalah akan membantu dan memperkuatkan lagi Amerika untuk terus memerangi Islam.

Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang sedang memerangi umat Islam secara nyata yang menjadikannya sebagai sebuah negara kafir harbi fi’lan, sebagaimana entiti Yahudi, Rusia, China, Myanmar dan seumpamanya. Melakukan kerjasama atau perniagaan apa pun dengan negara-negara ini adalah haram di sisi Islam, kerana ia bermaksud “membantu” dan memperkuatkan negara kafir harbi fi’lan ini di dalam peperangannya ke atas Islam. Ta’awun (kerjasama) dengan mereka dalam bentuk apa pun bermaksud kerjasama di dalam dosa dan permusuhan yang dilarang oleh Islam. Oleh itu, walau apa jua alasan yang diberikan seperti kerjasama ekonomi tersebut akan menguntungkan negara, ia tetap tidak akan menukar status haram (menjalin hubungan dengan negara kafir harbi fi’lan) kepada halal. Satu-satunya hubungan antara Negara Islam dengan negara kafir harbi fi’lan ialah perang dan tidak ada hubungan lain lagi, kecuali jika mereka ingin melakukan gencatan senjata atau berdamai.

Kedua; Najib menekankan kepada Trump bahawa pentadbiran Trump juga mahu menjadikan Amerika Syarikat selamat, dan dengan itu dunia juga selamat. Najib lalu menyatakan komitmennya untuk melawan Daesh, al-Qaeda, Abu Sayyaf atau apa jua kumpulan yang disifatkan oleh Amerika sebagai pengganas. Mereka ini musuh Amerika Syarikat, mereka juga musuh Malaysia, tegas Najib.

Perkataan seperti ini tidak lebih daripada perkataan seorang hamba kepada tuannya. Seorang hamba sudah pasti tidak akan menyalahi apa sahaja yang diperkatakan oleh tuannya. Jika dulu George Bush pernah menyatakan “sama ada anda bersama saya atau pengganas” dalam rangka memberi hanya dua pilihan kepada mana-mana pemimpin dunia untuk bersamanya atau jika tidak, akan dianggap bersama dengan pengganas. Kini Trump tidak perlu menyatakan hal yang sama kerana Najib sudah pun menghadap kepadanya untuk menyatakan kesetiaannya kepada Amerika. Sebagai Muslim, kita memang tidak menyokong sebarang bentuk keganasan, siapa pun pelakunya. Ini kerana keganasan merupakan suatu yang diharamkan oleh Islam. Namun kita semua tahu bahawa agenda “war on terror” Amerika tidak mempunyai maksud lain kecuali “war on Islam”. Seluruh dunia sudah mengetahui bahawa pihak yang dilabel oleh Amerika sebagai pengganas tidak lain kecuali umat Islam yang tidak tunduk kepada Amerika.

Apa pun nama kumpulan yang dicop oleh AS sebagai pengganas, hanya merupakan kambing hitam dan menjadi batu loncatan untuk Amerika membunuh seramai mungkin umat Islam yang tidak sehaluan dengannya. Itu dari satu sisi. Dari sisi yang lain, dengan melabelkan kesemua musuhnya sebagai pengganas, Amerika cuba menutup hakikat kepada dunia bahawa ia adalah pengganas yang sebenar, malah ia adalah ketua kepada segala keganasan dan pengganas! Sungguh malang apabila Najib memberikan komitmennya untuk bersama dengan pengganas nombor satu dunia ini, yang hakikatnya bukan untuk memerangi pengganas, tetapi bagi memerangi siapa sahaja umat Islam yang tidak sehaluan dengan Amerika!

Ketiga; Najib berjanji akan menyumbang untuk perang ideologi kerana Trump, menurut Najib, mesti memenangi hati dan minda umat Islam. Kuncinya ialah dengan mendukung rejim Muslim yang sederhana dan progresif di seluruh dunia kerana ia adalah wajah sebenar Islam, wajah asli Islam, tegas Najib. Lebih banyak anda bersama rejim progresif dan sederhana, lebih baik untuk memenangi hati dan minda orang Islam di seluruh dunia, lanjut Najib.

Mesej yang ingin disampaikan oleh Najib di atas amat mudah untuk difahami yang dengan bahasa straight forwardnya adalah, anda (Trump) tolonglah sokong saya kerana saya adalah pemimpin Muslim sederhana dan progresif yang mewakili Islam yang sebenar! Istilah Islam sederhana dan Islam progresif adalah istilah untuk membezakan Islam ekstremis dan Islam ortodoks atau fundamentalis yang sering digambarkan oleh Amerika sebagai berbahaya kepada kewujudan dan kelestarian Amerika. Muslim sederhana bermaksud Muslim yang menerima segala nilai-nilai Amerika yang penuh dengan kebebasan dan kerosakan. Manakala Muslim progresif ialah Muslim yang tidak terikat dengan hukum-hakam Islam yang ketat, tetapi boleh mengharmonikannya dengan idea-idea dan konsep-konsep kufur yang sentiasa berkembang yang dibawa oleh Barat. Muslim sederhana dan progresif ialah Muslim yang tidak akan sekali-kali mengisytiharkan jihad ke atas Amerika, tetapi yang akan mengambil Amerika sebagai kawan baik!

Inilah Muslim yang dikehendaki oleh Amerika dan Najib mahu Amerika mendukungnya kerana ciri-ciri pemimpin Muslim yang dikehendaki oleh Amerika itu ada pada dirinya! Sungguh malang apabila Najib memilih untuk menjadi Muslim yang diredhai dan disayangi oleh Amerika, bukannya Muslim yang diredhai dan disayangi oleh Allah SWT!

Keempat; Najib menekankan bahawa Amerika Syarikat akan sentiasa menjadi rakan untuk tempoh yang amat-amat lama. Tahun ini memasuki ulang tahun ke-60 hubungan Malaysia-AS dan Najib berharap pertemuannya dengan Trump akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara di masa hadapan.

Bagaimana mungkin Najib mahu terus berbaik dengan Amerika sedangkan Amerika merupakan sebuah negara kafir harbi fi’lan yang memusuhi dan memerangi Islam secara nyata. Amerika hanya akan berbaik dengan mana-mana negara selagi negara tersebut dan pemimpinnya masih bermanfaat kepada Amerika. Namun, setelah hilang manfaatnya, Amerika langsung tidak teragak-agak untuk mencampakkannya, malah menghapuskan mana-mana pemimpin yang sudah tidak bernilai kepadanya. Betapa malangnya apabila Najib tidak pernah mengambil pengajaran terhadap apa yang berlaku ke atas rejim-rejim di seluruh dunia yang sudah tidak lagi bernilai kepada Amerika. Sesungguhnya sebagai sebuah negara kapitalis penjajah, polisi Amerika tidak pernah berubah walaupun presidennya telah silih berganti. Polisi penjajahannya tidak pernah berubah, begitu juga dengan polisi luarnya memerangi Islam tidak pernah berubah.

Amerika, dan Trump sebagai presidennya, merupakan sebuah negara musuh, bukan negara sahabat. Kebencian Trump kepada Islam dan umat Islam tidak pernah disembunyikannya, malah si kafir itu menyuarakannya dengan jelas, terbuka dan lantang, sejak sebelum menjadi presiden lagi. Jadi bagaimana mungkin Najib boleh bersahabat dan ingin menjalin hubungan yang lama dengan musuh Islam ini? Sedangkan apa yang wajib dilakukan oleh Najib ialah memutuskan segala hubungan dengan negara kafir harbi fi’lan itu, kerana Allah SWT dengan tegas mengharamkan kita mengambil orang-orang kafir sebagai teman, apatah lagi orang kafir yang menyatakan permusuhannya terhadap Islam dengan nyata. Firman Allah SWT, “Janganlah orang-orang Mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali (teman rapat / pemimpin / pelindung / penolong) dengan meninggalkan orang-orang Mukmin” [TMQ Ali Imran (3):28].

Allah SWT menyifatkan orang Mukmin yang mengambil orang-orang kafir sebagai wali, termasuk dalam kalangan mereka. FirmanNya, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi wali bagimu. Sebahagian mereka adalah wali bagi sebahagian yang lain. Barang siapa di antara kamu mengambil mereka menjadi wali, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka.  Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim” [TMQ al-Maidah (5):51].

Allah SWT telah menyatakan dengan tegas bahawa orang-orang kafir ini sebolehnya mahu menjadikan kita kafir seperti mereka. FirmanNya, “Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama (dengan mereka). Maka janganlah kamu jadikan di antara mereka sebagai wali bagimu, hingga mereka berhijrah pada jalan Allah” [TMQ al-Nisa’ (4):89].

Malah Allah SWT memperingatkan bahawa termasuk sifat munafik bagi Mukmin mana pun yang menjadikan orang kafir sebagai wali. FirmanNya, “Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah” [TMQ al-Nisa’ (4):138-139].

Khatimah

Sebagai Muslim, kita hendaklah melihat lawatan Najib kepada Trump ini dari sudut pandang Islam, yakni halal atau haram. Ini yang paling utama. Adapun pertimbangan manfaat kepada negara seperti ekonomi, perdagangan, hubungan diplomatik, hubungan dua hala dan lain-lain, semuanya merupakan pertimbangan kedua. Jika lawatannya diperbolehkan dari sudut hukum, maka barulah dilihat pertimbangan lainnya. Jika hukumnya haram, maka sudah tiada guna lagi mempertimbangkan aspek lainnya. Realitinya, Najib melawat Trump sebagai seorang ketua negara kafir harbi fi’lan untuk melakukan hubungan dagang dan untuk memberi kekuatan ekonomi kepada negara tersebut bagi meneruskan polisi penjajahan dan dominasinya ke atas dunia Islam. Realitinya, Najib melawat ketua pengganas dunia yang negaranya tidak pernah berhenti melakukan keganasan ke atas umat Islam. Realitinya, Najib berusaha membina hubungan dan meraih sokongan dengan menjadikan orang kafir sebagai teman rapatnya. Realitinya, Najib telah melawat syaitan besar abad ini yang mustahil si syaitan ini akan memberikan kebaikan kepada Islam, kecuali tipu daya semata-mata. Inilah realitinya, yang kesemuanya menjadikan lawatan Najib ini suatu yang haram di sisi Islam! Wallahu a’lam.