Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

SN505 – Anak Tak Sah Taraf, Antara Yang Tersurat Dan Tersirat

PDF

SN Keluaran 12 Zulkaedah 1438H/4 Ogos 2017

SN505 - Anak Tak Sah Taraf, Antara Yang Tersurat Dan Tersirat

[SN505] Keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada “bapa”nya telah menimbulkan pembahasan yang hebat oleh banyak pihak, khususnya dalam kalangan agamawan. Keputusan itu dibuat dalam rayuan yang melibatkan seorang anak berusia tujuh tahun, yang dilahirkan 5 bulan dan 24 hari (atau 5 bulan dan 27 hari menurut kalendar Qamariah) setelah suami-isteri tersebut menikah. Beberapa mufti, kecuali Perlis berpendapat bahawa keputusan tersebut bertentangan dengan hukum syarak seperti yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan, yang telah menetapkan maksud anak tidak sah taraf, iaitu anak yang lahir kurang daripada enam bulan selepas tarikh perkahwinan dan hendaklah dibin atau dibintikan dengan Abdullah. Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang merupakan seorang daripada 3 hakim yang bersidang, berkata, ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk memutuskan nama bapa anak luar nikah orang Islam. Beliau berkata bidang kuasa ketua pengarah JPN adalah sivil dan tertakluk kepada Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA).

Persoalan Nasab Anak Tak Sah Taraf

Antara persoalan utama dalam kes ini ialah mengenai nasab anak tak sah taraf, sama ada boleh dinasabkan (dibinkan) kepada bapa biologinya atau tidak. Umum mengetahui bahawa persoalan ini sebenarnya telah lama “selesai” dalam Islam, walaupun mungkin ramai yang tidak tahu mengenai rincian hukumnya. Fatwa Perlis juga telah lama wujud iaitu sejak 2008 dan tidak pernah dipertikaikan oleh mufti-mufti lain selama ini. Jadi, keputusan mahkamah rayuan yang kebetulan selaras dengan fatwa Perlis ini, telah menjadi asbab kepada kepanasan isu ini, di mana ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk “menghentam” satu sama lain atas dasar perbezaan pendapat ini. Pertelagahan dalam kalangan agamawan ini sedikit sebanyak telah memancing umat ke arah yang sama dan akhirnya masing-masing berhujah hanya untuk meraih kemenangan, sesetengahnya tanpa akhlak dan tanpa melihat lagi isu utama di sebalik semua ini. Maka semua ini wajar dibersihkan agar kita dapat meletakkan isu pada tempatnya dan kita dapat menyelesaikan masalah dengan cara yang benar.

Berhubung persoalan nasab, hikmah Ilahiah telah meletakkan wanita sebagai tempat mengandung dan melahirkan. Atas dasar itu, seorang wanita hanya dibatasi untuk menikah dengan seorang lelaki sahaja. Wanita dilarang sama sekali menikah dengan lebih daripada seorang lelaki agar nasab anak yang dilahirkannya itu jelas. Islam sangat memerhatikan kejelasan nasab ini sekali gus telah menjelaskan hukum-hakamnya dengan sempurna. Dalam menentukan kejelasan nasab, usia kehamilan seseorang ibu sangat memainkan peranan dan Islam telah menetapkan usia kehamilan paling singkat adalah enam bulan (pada umumnya sembilan bulan) dari tarikh pernikahan. Dengan itu, seorang suami, jika isterinya melahirkan anak dalam waktu enam bulan (atau lebih) yang dihitung sejak tanggal pernikahannya dengan wanita tersebut, maka anak yang dilahirkan itu dianggap sebagai anaknya. Ini kerana, Rasulullah SAW bersabda اَلْوَلَدُ لِلْفَرَاشِ yang bermaksud, “Anak itu adalah (keturunan) pemilik tempat tidur (suami dan isteri)” [Muttafaq ‘alaihi, dari jalur Aisyah RA].

Ringkasnya, selama seorang wanita berstatus sebagai isteri kepada seorang suami dan melahirkan seorang anak setelah melepasi masa enam bulan (atau lebih) dari tarikh pernikahannya, ini bererti anak itu adalah mutlak anak suaminya. Namun demikian, jika terdapat bukti yang anak tersebut bukan dari benihnya, si suami boleh mengingkarinya dengan sejumlah syarat yang mesti dipenuhi. Jika syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi, pengingkarannya tidak ada nilainya dan anak yang lahir itu tetap dianggap sebagai anaknya, baik ia suka atau tidak. Tempoh kehamilan enam bulan sebagai batas minimum ini diterangkan di dalam al-Quran melalui dua ayat iaitu Surah al-Ahqaf ayat 15 dan Surah al-Baqarah ayat 233.

Hal ini diperkuatkan lagi dengan beberapa hadis antaranya riwayat Malik bin Anas yang pernah menuturkan bahawa,

“Pernah sampai kepadaku bahawa Utsman didatangkan seorang wanita yang melahirkan dalam tempoh enam bulan (setelah pernikahannya) sehingga Utsman memerintahkan agar wanita itu direjam. Lalu Ali bin Abi Thalib berkata kepadanya, ‘Tidak boleh dijatuhkan hukuman rejam ke atas wanita itu kerana Allah SWT berfirman, “Dan mengandungnya sampai menyapihnya (berhenti susu) adalah tiga puluh bulan” [TMQ al-Ahqaf (46):15]. Allah juga telah berfirman, “Hendaklah para ibu menyusui anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan anaknya” [TMQ al-Baqarah (2):233]. Jadi mengandung itu minimum enam bulan. Kerana itu, tidak boleh dijatuhkan hukuman rejam ke atas wanita itu.” Lalu Utsman pun memerintahkan untuk membebaskan wanita tersebut.”

Dari kedua ayat tersebutlah ditarik hukum mengenai usia minimum kehamilan adalah enam bulan yang sekali gus bermaksud anak yang lahir sebelum tempoh enam bulan daripada tarikh pernikahan merupakan anak tak sah taraf atau anak zina. Berdasarkan nas, anak zina tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya, tetapi dinasabkan kepada ibu yang melahirkannya. Ibnu Umar meriwayatkan,

“Bahawa ada seorang lelaki yang telah melakukan li‘an (sumpah laknat) terhadap isterinya (bahawa isterinya telah berzina) pada masa Rasulullah SAW dan mengingkari anak isterinya itu. Rasulullah SAW kemudian memisahkan keduanya dan mengikutkan (menasabkan) anak itu kepada isterinya” [HR Bukhari].

Adapun pandangan yang membolehkan anak tak sah taraf dinasabkan (dibinkan) kepada bapa biologinya, mereka beristidlal kepada hadis riwayat Aisyah yang berkata,

“Utbah bin Abi Waqqas berpesan kepada saudaranya, Saad bin Abi Waqqas, ‘Anak hamba Zam’ah adalah darah dagingku, maka jagalah ia.’ Aisyah berkata, ‘Tatkala terjadi pembukaan kota Mekah, Saad mengambil anak tersebut dan berkata, ‘Ini adalah anak saudaraku, ia telah berpesan kepadaku agar aku mengambilnya.’ Tetapi kemudian Abd bin Zam’ah berkata, ‘Ini adalah saudaraku, ia anak hamba wanita bapaku, yang lahir dari firash bapaku.’ Lalu keduanya sepakat mengadukan hal tersebut kepada Rasulullah SAW. Saad berkata, ‘Wahai Rasulullah, ini adalah anak saudaraku, ia telah berpesan agar aku mengambilnya.’ Abd bin Zam’ah berkata, ‘Ini adalah saudaraku, ia adalah anak hamba bapaku yang lahir dari firash bapaku’. Rasulullah SAW kemudian bersabda, ‘Wahai Abd bin Zam’ah, dia adalah milikmu.’ Baginda lalu bersabda, ‘Anak itu adalah (keturunan) pemilik firash (suami isteri), bagi penzina adalah hukuman rejam.’ Setelah itu Rasulullah bersabda kepada Saudah binti Zam’ah, ‘Berhijablah darinya kerana wajahnya yang hampir sama dengan Utbah bin Abi Waqqas.”

Sesungguhnya al-Quran tidak akan bertentangan dengan al-Quran. Hadis juga tidak akan bertentangan dengan al-Quran. Begitu juga hadis tidak akan bertentangan dengan hadis. Jika nampak seperti bertentangan (padahal sebenarnya tidak), maka kita hendaklah melakukan tarjih (penguatan) di antara nas-nas yang wujud. Dalam kes ini, kita wajib mendahulukan al-Quran dan mengambil hukum “enam bulan” sebagai batas minimum untuk menasabkan anak. Adapun hadis tersebut, ia tidak menyebut tentang anak yang dipertikaikan itu sama ada lahir dalam tempoh enam bulan atau tidak. Ia hanya menyebut tentang rupa anak tersebut yang mirip kepada Utbah bin Abi Waqqas, yang membawa mafhum bahawa anak tersebut adalah anak Utbah Abi Waqqas. Maka tidak tepat untuk beristidlal dengan hadis ini untuk menasabkan anak yang lahir kurang dari enam bulan kepada bapa biologinya. Ini kerana, kemungkinan sahaja anak yang dipertikaikan dalam hadis itu lahir setelah enam bulan Zam’ah ‘bersama’ dengan hamba wanitanya itu. Namun jika terdapat keterangan lain bahawa ternyata anak yang dipertikaikan itu lahir sebelum enam bulan, maka di sini nas al-Quran wajib diutamakan daripada hadis iaitu tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya. Apatah lagi wujud hadis lain yang memperkuatkan nasab anak zina hendaklah diikutkan kepada ibunya seperti hadis riwayat Bukhari di atas.

Adapun persoalan perasaan, logik dan andaian sebenarnya tidak bernilai di sisi hukum syarak, apabila telah terdapat nas yang jelas mengenai sesuatu hukum. Persoalan seperti untuk menghilangkan perasaan malu dan terasing anak yang selama ini tidak dibinkan kepada bapanya, persoalan ingin menutup aib ibubapa yang terlanjur yang telah bertaubat dan ingin meneruskan kehidupan berumahtangga yang baik, persoalan masyarakat yang mengejek atau memandang rendah anak luar nikah dan macam-macam lagi, hal ini semuanya tidak boleh merubah hukum dan tidak boleh menghalalkan yang haram. Semua orang tahu bahawa anak zina itu tidak berdosa kerana “ibubapa”nyalah yang berdosa. Persoalan membuka aib juga tidak timbul di sini. Membuka aib seseorang memang suatu dosa, tetapi dalam kes ini, tiada siapa pun membuka aib pasangan yang telah terlanjur tersebut. Perlu dibezakan di antara penerapan hukum dan pengungkapan fakta dengan pembukaan aib. Dalam Islam sebagai contoh, penzina wajib disebat di khalayak ramai. Secara logik, hal ini memang mengaibkan penzina berkenaan, tetapi sebat merupakan hukum syarak yang wajib dilaksanakan dan tidak ada mana-mana pihak yang membuka aib sesiapa di sini kerana ia merupakan pelaksanaan kepada hukum Allah. Maka sungguh aneh sekiranya kita melihat atau mengetahui seseorang anak itu berbinkan Abdullah, hal ini dianggap “membuka aib” ibubapanya!

Sekiranya masyarakat memandang serong kepada anak zina, yang salah dalam kes ini ialah masyarakat, dan masyarakatlah yang wajib dibetulkan. Sama sebagaimana dahulu masyarakat pernah memandang serong kepada wanita yang bertudung, berjilbab dan berniqab. Maka masyarakatlah yang wajib dibetulkan, bukannya wanita yang berkenaan diwajibkan atau diperbolehkan menanggalkan tudungnya atas alasan masyarakat menolak mereka. Begitu juga jika ada orang yang mengejek-ngejek anak zina berkenaan, maka si pengejeklah yang wajib dibetulkan dan dihukum. Kita tidak boleh merubah hukum Allah atas alasan kasihan, maslahat, menolak mafsadat dan lain-lain alasan yang logik menurut akal kita.

Ada satu lagi persoalan dalam kes ini yang perlu diberi perhatian dari segi fiqh, iaitu anak yang lahir dalam tempoh 5 bulan 27 hari menurut kalendar Qamariah. Walaupun nas al-Quran menyebut tentang tempoh 6 bulan, terdapat rincian mengenai bulan Islam yang disebut di dalam hadis iaitu sebulan Qamariah itu boleh jadi 29 atau 30 hari. Hitungan sempurna sebulan ialah 30 hari, namun satu bulan boleh jadi 29 hari sekiranya hilal (anak bulan) telah kelihatan. Maka, tempoh minimum 6 bulan sekiranya setiap bulan ialah 29 hari, ialah 174 hari dan sekiranya setiap bulan ialah 30 hari, ialah 180 hari. Berdasarkan fakta kes, anak tersebut lahir dalam tempoh 177 hari, yang memungkinkan anak tersebut dinasabkan kepada bapanya jika qadhi memilih untuk merujuk kepada tempoh 6 bulan semasa kandungan ibu tersebut dan dalam tempoh tersebut terdapat beberapa bulan yang mengandungi 29 hari. Wallahu a’lam.

Perkara Tersirat

Di sebalik keputusan mahkamah dan pertelagahan yang telah berlaku, ada beberapa perkara tersirat yang mungkin banyak pihak tidak melihatnya. Tidak dinafikan bahawa ramai mufti dan agamawan yang mula tersentak dengan keputusan tersebut yang dilihat bercanggah dengan Islam. Hal ini merupakan satu perkara yang baik kerana kita telah mula melihat dan menilai sesuatu keputusan mahkamah dari kacamata Islam dan inilah yang sepatutnya dilakukan oleh setiap Muslim, bukan sahaja mufti atau agamawan. Maka, kita mengharapkan yang mufti dan agamawan sedar bahawa berapa banyak keputusan mahkamah yang dibuat selama ini sebenarnya bercanggah dengan Islam kerana mahkamah di Malaysia berhukum dengan hukum buatan manusia, bukannya hukum Allah.

Setiap pihak, apatah lagi para mufti tidak seharusnya melihat hukum Islam itu hanya pada kes anak tak sah taraf atau kes nikah kahwin sahaja. Kes mencuri, merompak, membunuh, rogol, liwat, rasuah, murtad, makan riba, menipu, pecah kontrak dan banyak lagi, semuanya wajib dilihat dan diputuskan berdasarkan hukum Islam, bukannya hukum sivil. Maka, para mufti dan agamawan tidak seharusnya mempertikaikan keputusan anak tak sah taraf ini sahaja, tetapi wajib mempertikaikan keseluruhan undang-undang yang ada di Malaysia yang lahir daripada buatan manusia di Parlimen, bukannya lahir daripada al-Quran dan al-Sunnah. Malah kewujudan dualisme perundangan di Malaysia itu sendiri wajib dipertikaikan kerana bertentangan dengan hukum Islam.

Itu dari satu sisi. Dari sisi yang lain, banyak pihak yang hanya melihat masalah anak tak sah taraf dari sudut simptom atau kesannya sahaja, tetapi tidak melihat punca kepada masalah. Perbincangan hebat dan panjang lebar hanya difokuskan kepada persoalan “bin” atau “binti” atau persoalan aib dan sebagainya, tanpa melihat isu ini secara holistik, khususnya apakah yang menjadi punca kepada masalah. Masalah anak luar nikah di Malaysia sudah mencapai tahap yang amat mengerikan dan setakat ini langsung tidak nampak tanda-tanda perubahan. Menurut statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari tahun 2005-2015, terdapat sebanyak 532,158 kelahiran anak tidak sah taraf atau anak luar nikah yang didaftarkan dengan jabatan tersebut. Jadi, secara puratanya terdapat 147 kelahiran anak zina dalam satu hari, dan semua tahu bahawa angka ini hanyalah yang didaftarkan. Kita boleh membayangkan betapa ngerinya kes perzinaan yang berlaku di Malaysia. Persoalannya, apakah punca kepada semua ini, jika bukan kerana “sistem” dan undang-undang sekular yang ada di Malaysia yang membuka seluas-luas pintu untuk berlakunya segala kemaksiatan dan kekejian ini? Hudud Allah dicampakkan, undang-undang perkahwinan semakin diperketatkan dan kebebasan dibiarkan merajalela, maka inilah natijahnya! Ramai yang tidak melihat bahawa masyarakat yang rosak itu terhasil daripada sistem yang rosak dan sistem yang rosak itu terhasil daripada pemerintah yang rosak.

Khatimah

Setelah timbulnya isu ini, maka muncullah pandangan untuk kerajaan mewujudkan satu lagi undang-undang untuk “mengikat” mahkamah dengan fatwa. Dengan kata lain, mahkamah tidak boleh memutuskan suatu perkara yang bertentangan dengan fatwa. Maka semakin jelaslah “politik” di balik semua ini. Dalam Islam, tidak ada seorang hakim pun yang terikat dengan keputusan mana-mana fatwa kerana hakim itu memutuskan suatu perkara berdasarkan ijtihad atau kefaqihannya sendiri, dengan melihat kepada fakta kes. Penyelesaiannya di sini bukanlah dengan mewujudkan fatwa yang mengikat mahkamah, tetapi hakim dan mahkamah itu sendiri yang wajib diganti dengan hakim dan mahkamah yang hanya berhukum semata-mata kepada hukum Islam. Selagi ada hakim dan mahkamah yang berhukum dengan hukum buatan manusia, maka selagi itulah akan wujud keputusan yang bercanggah dengan Islam. Selagi sistem sekular yang batil ini dipertahankan, maka selagi itulah hukum syarak akan terus dipermainkan.

Wallahu a’lam.