Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

SN501 – Di Sebalik Krisis Saudi Dan Qatar (Bahagian 1)

PDF

SN Keluaran 21 Ramadhan 1438H/16 Jun 2017

SN501 - Di Sebalik Krisis Saudi Dan Qatar (Bahagian 1)

Bismillahirrahmanirrahim

DI SEBALIK KRISIS SAUDI DAN QATAR

(Terjemahan daripada Soal-Jawab Amir Hizbut Tahrir, Syeikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah, di dalam facebook beliau, https://www.facebook.com/AmeerhtAtabinKhalil/)

Soalan:

Dalam sidang media bersama rakan sejawatnya, presiden Rumania Klaus Iohannis di White House pada 9/6/2017, Trump mengatakan, “Semua telah sepakat atas penghentian dukungan terhadap pengganas baik dari segi kewangan, militer atau moral. Sayangnya Qatar memiliki sejarah panjang dalam hal mendanai pengganas pada peringkat tertinggi. Dalam sidang kemuncak yang mempersatukan negara-negara, kami membahaskan tentang (cara) menghadapi Qatar dan kita mesti menghentikan pendanaan terhadap pengganas. Saya memutuskan bersama Menteri Luar Negeri dan juga jeneral militer Amerika untuk menyeru Qatar agar menghentikan pendanaannya terhadap pengganas…” [al-Yaum as-Sabi’, 9/6/2017]. Apakah ini bererti bahawa yang menggerakkan krisis antara Saudi dan Qatar ini adalah Trump? Jika ini benar, kenapa Trump melakukan hal itu, sedangkan diketahui bahawa pangkalan terbesar Amerika di rantau tersebut ada di Qatar? Kemudian media massa mengaitkan sebab perselisihan politik antara Saudi dan Qatar dari sisi sikap Qatar terhadap Iran, al-Ikhwan al-Muslimin atau Hamas…, lalu bagaimana kita memahami kenyataan Trump dengan apa yang digembar-gemburkan oleh media massa? Ke arah manakah krisis ini menuju? Apakah ia akan menyebabkan penarikan diri atau “pengusiran” Qatar daripada kumpulan Teluk? Terima kasih.

Jawapan:

Pertama, ya benar pendorong krisis yang terjadi adalah Amerika. Dengan kata lain, Presiden Amerika, Trump-lah pendorongnya. Akan tetapi sebelum merinci hal ini, saya memulakan dengan bahagian terakhir soalan anda. Sebahagian orang beranggapan bahawa krisis Teluk, Qatar, seperti yang digembar-gemburkan oleh media massa atau seperti yang diangkat, adalah dukungan Qatar kepada al-Ikhwan al-Muslimin atau kesepakatan strategisnya dengan Iran…Pada masa yang sama, sebahagian yang lain berpendapat bahawa sebab hakiki krisis tersebut kembali kepada perselisihan lama antara keluarga Hamad dan keluarga Zayed yang telah bermula pada dekad 70-an, selepas berdirinya negara UAE, yang membuatkan Saudi berjalan bersama sekutunya UAE untuk menghadapi Qatar…Terdapat juga para penulis yang mengatakan bahawa krisis pemboikotan Qatar terkait dengan “Israel”. Misalnya Jake Novak di CNBC mengatakan, “Secara lahiriah, amat tepat untuk mengatakan bahawa keretakan antara Saudi dan Qatar adalah disebabkan Iran, di mana orang-orang Saudi sangat obsesi untuk membatasi pengaruh Iran di Timur Tengah. Seandainya kita memandang lebih dalam sedikit, maka tampak bahawa penyasaran ke atas Qatar di saat-saat seperti ini, ada kaitannya dengan negara lain, iaitu Israel” [Arabic 21, 7/6/2017].

Akan tetapi, jika kita berfikir dan menganalisis lebih mendalam, setiap apa yang terjadi justeru menyingkirkan semua perkara di atas. Kesemua yang disebut itu bukan perkara baru, malah semuanya telah dilakukan oleh Qatar sejak sekian lama, dan bukannya baru muncul kebelakangan ini. Dekatnya Qatar dengan Iran sudah dimaklumi. Hubungan Qatar dengan Hamas juga sudah terkenal. Pengaruh hubungan antara Qatar dan negara Yahudi penjajah Palestin, seterusnya antara Qatar dengan Saudi dan UAE, juga bukanlah perkara yang tersembunyi. Bahkan hubungan (atau konflik) kesukuan yang ada, hal ini tidak pernah sampai ke tahap seperti yang terjadi sekarang…Semua perkara ini sudah berlangsung sebelum krisis ini dan juga tetap berlangsung pasca krisis. Jadi semua ini bukan sebab yang hakiki.

Kedua, adapun sebab hakiki krisis adalah seperti yang saya sebutkan di awal iaitu Amerika atau Trump. Untuk memahami hal ini, maka kami paparkan perkara-perkara berikut:

1) Sejak awal abad ini, negara kecil Qatar menjadi “dapur” utama bagi politik British di rantau tersebut. Saluran al-Jazeera menjadi platform media yang besar untuk mengganggu politik Amerika dan menyerang agen-agen Amerika di rantau tersebut…Hal itu ditambah dengan faktor lain iaitu dana politik. Dana itu menjadi magnet politik yang besar untuk menarik kekuatan politik…Dengan menggunakan dua alat tersebut, Qatar telah meraih keberhasilan besar khususnya terhadap gerakan-gerakan Islam yang dianggap “moderat” di Palestin, Mesir, Libya, Tunisia dan lainnya. Doha di Qatar menjadi tempat berlindung para pemimpin gerakan-gerakan itu dan menjadi pusat untuk menyusun strategi dan mengacau politik Amerika dan agen-agennya.

Berdasarkan kebiasaan British dengan menampilkan diri seolah-olah berjalan bersama Amerika sedangkan ia mengacaunya setakat mana yang boleh, Qatar memainkan permainan British ini dengan baik sekali. Maka Qatar menjadi tuan rumah seawal tahun 1991 kepada pangkalan Amerika, al-Udeid, yang dianggap sebagai pusat komando Amerika, di samping kewujudannya sebagai pangkalan udara yang strategik. Daripada pangkalan inilah pesawat-pesawat Amerika berlepas untuk melakukan pembunuhan dan penghancuran kaum Muslimin di Iraq, Afghanistan, Syria dan Yaman. Di sepanjang waktu inilah, British membangun dapur politiknya di Qatar hingga sempurna dan zahir pada awal abad ini.

Seterusnya, peranan Qatar sebagai khadam kepada British berkembang secara halus sesuai strategi yang telah disusun…Amerika merasa terganggu dengan peranan Qatar ini hingga ke tahap George Bush Jr mempertimbangkan untuk mengebom saluran al-Jazeera, sebagaimana berita yang dikeluarkan oleh DW pada 22/11/2005, “Akhbar Daily Miror British pada hari Selasa memetik daripada memo “rahsia sulit” untuk pimpinan kerajaan British bahawa presiden Amerika, George Bush pada 2004 berfikir untuk mengebom markas saluran al-Jazeera di Qatar…” [DW, 22/11/2005]

Situasi itu tetap bertahan di Teluk sehingga Raja Salman naik ke tampuk pemerintahan di Saudi. Akhirnya Saudi berdiri bersama Amerika. Ketika itulah, pemerintahan Obama membuat keputusan untuk meletakkan kepercayaan kepada agennya, Salman, bagi memainkan peranan penting di rantau itu bagi melawan dan mendominasi peranan Qatar, dan di sisi lain, menjalankan strategi-strategi Amerika yang baru…Natijah dari semua ini, peranan agen-agen Amerika semakin kuat, lalu mulai terjadinya perselisihan antara Saudi dan Qatar yang kemudian mengancam peranan Qatar secara keseluruhan…Setelah presiden Amerika yang baru Donald Trump naik ke kekuasaan awal tahun ini, maka politik Amerika menjadi lebih tegas dan kasar dalam menangani banyak isu antarabangsa, termasuk Qatar.

2) Semasa kunjungan Trump ke Riyadh pada 20-21 Mei 2017, dia mengumpulkan 50 penguasa di kelilingnya dan di sisinya adalah Salman. Dengan memberi isyarat bahawa Qatar menyokong pengganas, Qatar (dengan didikan British) faham bahawa Amerika telah memulai langkah-langkah serius untuk meningkatkan peranan Saudi dan menghapuskan peranan Qatar dan sekaligus British, di kawasan Teluk. Sebagai respons kepada hal itu, maka keluarlah kenyataan Qatar dua hari selepas kepulangan Amir Qatar dari Riyadh. Agensi berita Qatar memetik kenyataan-kenyataan Amir Qatar, Tamim Ali Tsani, pada 23/5/2017, “Kempen tidak adil yang dialami Qatar semasa kunjungan presiden Amerika ke rantau tersebut adalah bertujuan mengaitkan Qatar dengan pengganas…Kami mengecam tuduhan-tuduhan bahawa kami mendukung pengganas…Tidak seorang pun berhak menuduh kami dengan keganasan atas sebab mereka mengklasifikasikan al-Ikhwan al-Muslimin sebagai kelompok pengganas.

Amir Qatar menuntut Mesir, UAE dan Bahrain menarik kembali sikap-sikap mereka yang anti-Qatar…Hubungan erat dan padu dengan Amerika tetap berjalan meskipun ada kecenderungan negatif pentadbiran Amerika pada waktu ini. Kami yakin bahawa situasi ini (anti-Qatar) tidak akan berterusan disebabkan adanya siasatan kehakiman mengenai kecacatan dan pelanggaran-pelanggaran presiden Amerika. Pangkalan al-Udeid mencerminkan imuniti Qatar daripada cita-cita negara-negara sekitar, juga merupakan satu-satunya peluang bagi Amerika untuk memiliki pengaruh militer di rantau ini. Qatar tidak mengenal pengganas dan ekstremis. Qatar ingin menyumbang kepada tercapainya perdamaian yang adil antara Hamas yang menjadi wakil sah kepada bangsa Palestin, dengan Israel, melalui penerusan komunikasi yang selama ini terwujud dengan kedua-dua belah pihak…Qatar telah berjaya mencipta hubungan erat dengan Amerika dan Iran pada waktu yang sama, di mana Iran mencerminkan kepentingan serantau dan juga kepentingan Islam yang tidak boleh diabaikan. Adalah tidak bijak untuk meningkatkan ketegangan dengan Iran…”

Kenyataan ini mengisyaratkan bahawa Qatar menuduh Trump berada di sebalik kempen anti-Qatar dan juga di sebalik dakwaan bahawa Qatar melindungi pengganas atau mendukung pengganas. Kenyataan itu keluar sebaik sahaja tamat sidang kemuncak Trump dengan perwakilan-perwakilan rejim di dunia Islam di mana Trump cuba zahirkan kejayaannya dalam memimpin rejim-rejim ini ke arah kehendaknya dan ketaatan mereka kepada Amerika. Trump menyebut bahawa sebahagian negara yang menyertai sidang kemuncak ini, yang ditujukan kepada Qatar, mendanai pengganas. Begitulah kenyataan Qatar yang merespon kenyataan Trump, yang mahu melemaskan Trump sekaligus mengharap kejatuhan Trump dengan adanya siasatan kehakiman terhadapnya.

3) Mobilisasi 55 raja, ketua negara dan pemimpin Ruwaibidhah Teluk, dunia Arab dan dunia Islam oleh Saudi, mencerminkan kesediaan Saudi untuk berjalan sesuai dengan garis Amerika untuk menzahirkan kepemimpinan Saudi di rantau tersebut. Ini merupakan isyarat yang jelas dari Washington, yang dari satu sudut ingin menempatkan kantung-kantung negara minyak di bawah pengelolaan Washington dengan dalih bahaya Iran. Manakala dari sudut lain, ingin memadamkan pengaruh British dalam kalangan negara-negara Teluk dengan menonjolkan kepemimpinan Saudi dan membawa negara-negara Teluk lainnya berjalan di belakang Saudi, yakni di belakang politik Amerika.

Oleh itu, Saudi tidak boleh berdiam diri terhadap pihak yang melawan kepemimpinannya di rantau tersebut. Matanya tertuju ke arah Qatar dan hanya menunggu satu kejadian untuk menghukum Qatar. Atas sebab itu, Saudi merespon keras terhadap kenyataan Qatar yang bertentangan dengan Saudi dan Amerika, yang dikeluarkan oleh agensi berita Qatar pada 23/5/2017, meskipun Qatar telah meminta maaf dan menjelaskan bahawa laman sesawang berita Qatar telah digodam.

Namun Saudi tidak menerima alasan Qatar mengenai penggodaman laman sesawang tersebut. Saudi melihat bahawa di situ ada pengesahan penolakan oleh Qatar terhadap politik Saudi dan peranan yang telah digariskan Amerika untuk Salman. Lalu terjadilah krisis sebagaimana sekarang. Saudi pun menghimpun segala tipu dayanya dan mengumumkan pemutusan hubungannya dengan Qatar. Saudi memperlihatkan tekadnya untuk menentang Qatar yang dianggap cuba menentang kepemimpinannya ke atas negara-negara Teluk. Sikap Saudi itu juga mencerminkan keseriusan sikap pemerintahan Trump. Usaha Saudi menentang Qatar sangat keras melebihi tahap usahanya pada 5/3/2014, dengan menarik duta besarnya dari Qatar, sehingga usaha ini tampak seperti memboikot Qatar.

Dalam rangka menambah tekanan dan pengaruh, dan menurut jalan Amerika, Saudi mengambil langkah yang mengejutkan dengan memberi para diplomat Qatar tempoh 48 jam untuk meninggalkan wilayah Saudi. Selaras dengan cara mengejutkan ala Amerika, serta selari dengan langkah dan masa yang sama dengan Saudi, Mesir mengarahkan pulang pesawat-pesawat komersial Qatar dan tidak mengizinkannya masuk ke wilayah Mesir tanpa memberikan mereka peringatan terlebih dahulu. Begitulah, negara-negara lain bertindak bergabung dengan Saudi melawan Qatar.

Tampak bahawa Qatar terkejut dengan keputusan-keputusan ini, yang terkait dengan pemboikotan terhadapnya. Qatar tergoncang dengannya dan tidak menjangkakannya. Menteri Luar Qatar, Muhammad bin Abdurrahman Ali Tsani mengatakan dalam wawancara dengan BBC pada 6/6/2017, “Langkah-langkah yang diambil terhadap negaranya amat mengejutkan. Apa yang terjadi adalah hukuman kolektif daripada tiga negara di kawasan ini. Ketiganya berusaha memboikot Qatar dan rakyatnya…”

Qatar tidak mungkin berani menentang Amerika atau agen-agen Amerika seperti Saudi kecuali ada negara besar yang mendukungnya dan berdiri di belakangnya serta mendorongnya melakukan hal itu. Dan negara besar itu tentu saja British yang mengendalikan Qatar dan politiknya dari tempat tersembunyi, bahkan tanpa sembunyi! Tujuan British adalah mengacau Amerika dan menggagalkan agenda-agenda Amerika dalam rangka menguatkan cengkamannya di rantau tersebut, khususnya rantau Teluk. Maka British mengarahkan agen-agennya di Qatar untuk melakukan hal tersebut. British tidak menjangka yang reaksinya itu begitu mengejutkan, di mana ia hanya menjangka yang reaksi itu akan hanya membawa impak seperti kes penarikan duta besar pada 2014 dan berakhir tanpa impak yang besar. Ini memandangkan Qatar menggunakan kewujudan pangkalan Amerika yang besar di Qatar sebagai imuniti.

Itulah yang dinyatakan oleh Amir Qatar sebagaimana dilapor oleh agensi berita Qatar pada 23/5/2017 yang dipadam oleh Qatar dan kemudian ia mendakwa bahawa laman sesawangnya telah digodam. Dalam kenyataan tersebut, ia mengatakan, “Pangkalan al-Udeid mencerminkan imuniti Qatar daripada cita-cita negara-negara sekitar, juga merupakan satu-satunya peluang bagi Amerika untuk memiliki pengaruh militer di rantau itu.” Ini bermakna yang Qatar bersandar pada hal tersebut untuk mendiamkan Amerika, sementara dalam masa yang sama ia mengacau Amerika dan agen-agen Amerika di rantau itu dan juga melalui saluran al-Jazeera-nya. Qatar telah memberikan Amerika pangkalan terbesarnya di rantau tersebut dengan anggapan yang Amerika akan diam, dan atas dasar itu ia terkejut dengan langkah-langkah keras yang diambil ke atasnya. …bersambung