Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

SN500 – Radikalisme, Fundamentalisme, Ekstremisme – Sah Untuk Barat, Jenayah Untuk Islam

PDF

SN Keluaran 7 Ramadhan 1438H/2 Jun 2017

SN500 - Radikalisme – Sah Untuk Barat, Jenayah Untuk Islam

[SN500] Pada 20 Mei lepas, sejarah dunia telah tercipta apabila Presiden Amerika Syarikat ke-45, Donald Trump, mengadakan lawatan perdananya ke Arab Saudi. Dalam masa yang sama, peristiwa ini mencatat satu lagi sejarah hitam ke atas dunia Islam apabila musuh utama umat Islam, musuh Allah dan RasulNya, menjejakkan kaki kotornya ke bumi kelahiran Rasulullah SAW.  Dia diberi sambutan kenegaraan yang luar biasa oleh Raja Saudi, Raja Salman yang sekaligus menjadi bukti hubungan erat antara Saudi dan Amerika terus bersinambung. Layanan yang diberi oleh Saudi kepada Trump seolah-olah layanan terhadap seorang ‘raja kepada segala raja’. Bukan setakat Saudi, malah hampir keseluruhan pemimpin dunia Islam telah diminta datang untuk menghadap Trump bagi mendengar sendiri apakah amanat yang akan disampaikan oleh musuh Allah itu kepada para ejen dan pengikutnya. Begitulah besarnya pengkhianatan yang dilakukan oleh para pemimpin kaum Muslim yang sekaligus menunjukkan ketundukan dan kehinaan mereka di hadapan pemimpin kafir yang sepatutnya menjadi musuh mereka.

Lawatan sulung Trump ke Arab Saudi ini telah dihujani dengan pelbagai kritikan di peringkat antarabangsa, bukan sahaja ke atasnya, tetapi juga ke atas Raja Saudi. Trump yang sebelumnya menghentam Obama kerana membongkok kepada Raja Saudi semasa menerima pingat, kini melakukan perkara yang sama. Begitu juga kritikan Trump ke atas isteri Obama yang tidak menutup aurat kerana dikatakan “menghina” Raja Saudi, kini isterinya melakukan hal yang sama. Dalam masa yang sama, Arab Saudi yang kononnya begitu tegas melarang wanita asing daripada mendedahkan aurat, lebih-lebih lagi apabila menghadap Raja, ternyata membiarkan sahaja isteri Trump untuk berbuat demikian, malah menyambutnya dengan penuh gembira. Raja Saudi malah menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan isteri Trump, semasa menyambut ketibaan kedua mereka di lapangan terbang, suatu hukum yang diketahui umum dipegang oleh Saudi sendiri sebagai haram!

Pelabelan Dan Perang Ke Atas Islam Dan Kaum Muslimin

Dalam lawatan sulungnya ini, Trump telah mengumumkan perjanjian ketenteraan dengan Arab Saudi bernilai AS$110 bilion. Bagi pengamat politik antarabangsa, perjanjian ketenteraan antara dua atau lebih negara bukan sahaja bermaksud bahawa mereka adalah sekutu perang, tetapi lebih jauh bermaksud tunduknya negara pembeli kepada negara penjual senjata. Negara penjual sudah pasti berada dalam kedudukan yang lebih atas berbanding negara pembeli. Apa pun alasan yang diberikan dalam menyokong perjanjian ketenteraan antara Saudi-AS ini, sungguh aneh apabila negara yang paling kaya dengan minyak di dunia ini tidak mampu membangun industri senjatanya sendiri sehingga perlu bergantung kepada persenjataan daripada Amerika. Sungguh aneh apabila pemimpin umat Islam sejak dulu hingga kini, masih tetap bergantung kepada Amerika, untuk bersekutu dalam perang, walhal Amerika adalah kafir harbi yang wajib diperangi oleh mereka! Lebih aneh apabila perang yang disepakati antara penguasa Muslim dan Amerika ini adalah peperangan melawan umat Islam itu sendiri!

Antara acara terbesar dan kemuncak kepada lawatan Trump adalah pada hari kedua, di mana Raja Salman dan Donald Trump secara bersama merasmikan Pusat Global bagi Membanteras Ideologi Pelampau (the Global Centre for Combating Extremist Ideology – GCCEI), sebuah pusat yang akan memantau segala “mesej ekstremis” pada masa sebenar (secara langsung). Pusat itu – dinamakan “Etidal” atau “Kesederhanaan” – ditubuhkan di bawah kerjasama antarabangsa untuk menghadapi dan menghalang ideologi melampau dengan memantau dan menganalisis mesej-mesej yang dianggap sedemikian, dan untuk menggalakkan budaya kesederhanaan. Raja Salman memuji inisiatif yang dianggap positif dengan menekankan kepentingan pusat itu yang, katanya, akan memupuk konsep kesederhanaan, persaudaraan dan keharmonian dan membanteras ekstremisme. Beliau seterusnya mengharapkan kejayaan langkah tersebut dalam menyebarkan budaya toleransi dan menyebarkan keamanan, sebagaimana dilaporkan oleh Agensi.

Video dan gambar yang sungguh memualkan di mana Raja Saudi, Presiden Amerika Syarikat dan Presiden Mesir al-Sisi bersama-sama memegang bongkah bulat bercahaya pada majlis perasmian pusat tersebut, menjadi tular di seluruh dunia. Sebenarnya, acara ini adalah bukti nyata bagaimana bukan sahaja tangan tetapi juga hati-hati penguasa boneka di dunia Islam adalah seiringan dengan kafir penjajah yang amat memusuhi dan membenci Islam. Berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia akan diimbas secara langsung, malah mungkin akan diambil tindakan dan dihukum secara terus (kerana mereka mempunyai teknologi untuk berbuat demikian). Segalanya akan dilakukan mengikut hawa nafsu tuan mereka (AS) yang kononnya anti-keganasan. Hakikatnya, mereka (kuasa-kuasa Barat dan penguasa Muslim yang menjadi ejen mereka) berusaha melindungi sikap radikalisme, fundamentalisme dan ekstremisme yang ada pada diri mereka sendiri, dengan memutarbelitkan hasil produk ideologi busuk mereka.

“Radikalisme” berasal dari perkataan Latin “radix” yang bermaksud akar atau asal usul. Di bidang politik, ia menggambarkan sikap politik yang bertujuan untuk menangani dan menghapuskan akar permasalahan politik dan sosial. Mengikut ideologi selain Islam – sama ada kapitalis atau komunis – radikalisme tidak dianggap sebagai anti-demokratik atau ganas secara mutlak. Sebagai contoh, parti politik Itali Radicali Italiani dan Parti Radikal Perancis sangat dihormati sebagai sebuah organisasi politik yang aktif, khususnya dengan kenyataan-kenyataan dan seruan mereka yang anti-Islam.

“Ekstremisme” pula merujuk kepada sikap politik, pandangan dan usaha, yang menganggap pandangan mereka sendiri sebagai satu-satunya yang betul dan benar, dan pada masa yang sama tidak mempedulikan hak keberadaan politik atau pandangan orang lain. Dari sini muncul istilah ‘Ekstremis Kiri’ (biasanya merujuk kepada pendirian yang radikal-demokratik dan saksama, anarkisme, dan pelbagai bentuk komunisme) serta ‘Ekstremis Kanan’ (biasanya merujuk kepada pendirian yang anti-demokrasi dan anti-kesaksamaan, fasisme, Nazisme dan nasionalisme, yang selalunya dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi manusia dan lain-lain).

Melihat kepada definisi ini, sesungguhnya Islam tidak boleh dimasukkan ke dalam mana-mana kedudukan tersebut pun, baik dari segi hukum-hakamnya mahupun dari segi sejarahnya yang gemilang. Islam merupakan sebuah ideologi yang sempurna yang mengatur hubungan antara manusia dan Penciptanya, dengan dirinya sendiri dan dengan manusia lain. Setiap Muslim diperintahkan untuk mematuhi segala perintah dan larangan yang ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Pematuhan kepada perintah dan larangan ini bukanlah bermaksud ekstrem sepertimana tafsiran Barat. Islam bukanlah agama yang “anti” kepada agama lain, walaupun Islam mengakui bahawa Islam-lah satu-satunya agama yang benar. Orang kafir (dzimmi) malah dilayan dengan cukup baik dalam Negara Islam. Betapa hipokritnya Barat dalam hal ini boleh dilihat bagaimana Barat (dan dunia amnya) yang hanya membiarkan sahaja gerakan anti-Islam PEGIDA (Patriotic Europeans Against the Islamisation of the West) di Jerman, atau kumpulan Patriot Amerika. Mereka tidak dianggap sebagai pengganas, walaupun telah banyak menggunakan kekerasan terhadap umat Islam dalam aktiviti mereka, kerana kewujudan mereka tidak membahayakan asas-asas ideologi Kapitalis yang diamalkan di Barat.

Istilah ‘fundamentalisme’ pula muncul pada awal abad ke-19 sebagai reaksi orang Kristian untuk mengukuhkan pemodenan dalam agama dan teologi Katolik Protestan, termasuk dalam hal-ehwal paus. Golongan fundamentalis mempunyai bentuk komunikasi yang tersendiri (dalam mencapai matlamat mereka). Mereka mencela apa jua bentuk konflik dan dikatakan sebagai pengkhianatan. Mereka mengisytiharkan pembangkang (yang membangkang agama mereka) sebagai musuh keamanan dan kebenaran, dan perlu dirawat. Mereka menggunakan strategi pujukan, pendidikan semula atau kompromi, tetapi bukan dialog (untuk menentukan kebenaran agama). Lihat sahaja semua retorik ahli politik Barat, media dan cendekiawan sekular terhadap Islam dan umat Islam dan lihat juga semua program “anti-radikal” yang baru diperkenalkan dalam sistem pendidikan di Barat dan banyak lagi. Hasil daripada semua itu, baik secara menyeluruh atau secara terpilih, mengabaikan hak asasi manusia, pluralisme, toleransi dan sebagainya, yang mereka sendiri laungkan selama ini.

Natijah daripada semua program itu menyaksikan betapa Barat dengan rakusnya menyerang bumi umat Islam, tidak peduli terhadap penyembelihan jutaan umat Islam yang tidak berdosa oleh pelampau Buddha, Hindu, Ba’ath, dan Zionis. Perilaku ekstremis seperti ini, apabila dilakukan oleh mereka atau non-Muslim lainnya, dianggap wajar (oleh Barat) sebagai langkah politik pencegahan jika berlaku di peringkat negara. Manakala jika ia dilakukan di peringkat yang lebih rendah, mereka akan menganggap pelakunya sebagai orang mempunyai masalah mental. Namun, mereka tidak pernah memanggilnya sebagai keganasan. Inilah realitinya apabila tindakan ekstremis seperti itu dilakukan oleh mereka (golongan kuffar) ke atas umat Islam atau ke atas bumi umat Islam.

Barat: Jahat Lagi Hipokrit

Oleh kerana pakar sosiologi Barat gagal memasukkan Islam ke dalam mana-mana definisi atau terma, lalu mereka mencipta satu terma baru ‘Islamic Extremism’ (Ekstremisme Islam). Barat menetapkan Ekstremisme Islam sebagai berikut:

“Ekstremisme Islam adalah nama kolektif untuk gerakan politik, gerakan revolusi sosial, yang dianut oleh minoriti Muslim. Penganutnya menuntut ‘pembentukan semula’ sebuah ‘sistem Islam’ berdasarkan sistem politik Islam yang ideal. Penganut Ekstremisme Islam amat memahami Islam sebagai model alternatif bagi sistem pemerintahan dan masyarakat Barat yang demokratik” [Sumber: Jabatan Perlindungan Perlembagaan, Brandenburg, Jerman]. Definisi ini lebih kurang sama sahaja di semua negara Barat. Untuk menjadikan Ekstremisme Islam sebagai suatu kejahatan, maka tentunya memerlukan elemen terrorisme (keganasan). Atas dasar itu, mereka menafsirkan terrorisme sebagai kekerasan terhadap sistem yang ada (sistem yang dicipta oleh Barat, khususnya demokrasi), yang digunakan untuk menegakkan perubahan politik melalui jalan yang dianggap (oleh Barat) sebagai jenayah.

Padahal realitinya amat berlainan. Lihatlah kepada dunia Islam! Siapakah yang berada dalam ketakutan dan tekanan!? Siapakah yang telah kehilangan sistemnya melalui gerakan ‘politik dan revolusi sosial’ sepanjang abad yang lalu!?  Siapakah yang telah membunuh berjuta-juta kanak-kanak yang tidak berdosa dan sebahagian mereka mati kerana kelaparan dan kekurangan zat!? Siapakah yang sedang menyeksa, menyembelih dan menjatuhkan bom di dunia Islam!? Siapakah yang merogol dan membunuh wanita-wanita Islam dan mencabut kemuliaan lelaki-lelaki Islam!? Siapakah yang melakukan semua jenayah ini???? Siapakah yang melakukan tindakan jenayah untuk menguatkuasakan perubahan politik yang mereka kehendaki!? Adakah semua itu dilakukan oleh politik Islam, atau Barat dan diktator boneka-lah yang membuka seluas-luas pintu untuk masuknya ekstremis, fundamentalis dan teroris yang sebenar – kuffar Barat – ke wilayah-wilayah umat Islam!?

Dalam keadaan dan suasana inilah, Donald Trump, yang memenangi pilihan raya melalui kempen anti-Islamnya, anti-Muslim dan janji-janjinya yang penuh xenofobia, kini menjadi seperti seorang “Utusan” (Messiah) untuk “keamanan dan kasih sayang”!!! Dia berhak memerintahkan pemimpin-pemimpin dunia Islam untuk “memerangi ekstremis secara ikhlas”, “menentang krisis ekstremisme Islam secara jujur” dalam rangka “mengambil pendirian terhadap keganasan yang dilakukan atas nama agama”. Dia dengan penuh hormat menggambarkan perjuangan menentang ekstremisme sebagai “pertempuran antara yang baik dan jahat”, tatkala pada masa yang sama dia memuji tenteranya dalam menggugurkan bom yang paling besar ke atas kanak-kanak yang tidak berdosa beserta ahli keluarga mereka di Afghanistan! Dia digelar seorang lelaki yang adil tatkala menyeru kepada “pengasingan antarabangsa” sesetengah wilayah Islam dan “mengusir” kaum Muslimin daripada tanahair mereka sendiri!!!

Para pemimpin boneka lagi khianat di tanah suci kaum Muslimin berusaha meleburkan ideologi Islam ke dalam konsep radikalisme, fundamentalisme, ekstremisme dan terrorisme sesuai dengan apa yang dibawa oleh kuffar Barat. Matlamat penjajah Barat ini adalah untuk menggalakkan dan mempromosikan idea, bahawa Islam tidak boleh menjadi ideologi, dan tidak mempunyai metode dalam mencapai matlamat dan melaksanakan hukum-hakam Allah SWT. Pada masa yang sama mereka mempropagandakan bahawa kapitalisme adalah satu-satunya ideologi dan sistem yang sesuai dengan manusia. Walaupun kafir penjajah ini menunjukkan kesetiaan mereka berkhidmat kepada ideologi ini, seperti yang ditunjukkan oleh si musuh Islam yang nyata, Trump, dalam masa yang sama mereka melihat dan menganggap bahawa mereka adalah paus kepada ideologi ini. Malah lebih daripada itu, mereka menganggap bahawa diri mereka adalah Tuhan kepada ideologi ini, yang berhak menentukan apa yang baik dan apa yang buruk, apa yang adil dan apa yang zalim, apa yang sederhana dan apa yang fundamental, apa yang radikal dan apa yang ekstrem dan sebagainya.

Khatimah

Lawatan Trump ke Saudi dan ucapan yang diberikannya menunjukkan dengan jelas usaha untuk melawan Islam diteruskan oleh Amerika Syarikat, walau siapa pun presidennya. Walaupun Trump bukanlah tokoh yang datang daripada bidang politik, namun ternyata setelah memenangi pilihanraya, dia berjalan selari dengan agenda politik Amerika yang telah diamalkan selama ini dan tidak menyimpang sedikitpun daripadanya. Ini semua membuktikan bahawa Amerika bukanlah Trump, tetapi Amerika ialah suatu institusi politik di mana siapa pun yang menjadi presidennya, akan pasti mewakili institusi politik Amerika yang bertunjangkan ideologi busuk Kapitalisme. Mereka bukan sahaja menganggap diri mereka sebagai polis dunia, malah Tuhan kepada dunia ini, di mana seluruh dunia mesti tunduk kepadanya dan mesti berjalan menurut perintahnya dan mengikut apa yang dikehendakinya. Dengan keganasan, kejahatan dan kemunafikan Amerika yang begitu jelas lagi nyata, malangnya pemimpin dunia Islam masih tetap berkiblatkan Amerika!!! Semoga Allah menyedarkan para pemimpin ini jika Dia menghendaki dan menjatuhkan mereka jika Dia menghendaki dan menggantikannya dengan seorang Khalifah yang memimpin umat Islam di atas petunjukNya.