Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

SN496 – Kerajaan Teknokrat – Pewangi Beralkohol Penutup Kebusukan Demokrasi

PDF

SN Keluaran 10 Rajab 1438H/7 April 2017

SN496 - Kerajaan Teknokrat[SN496] Keriuhan politik tanahair kebelakangan ini tidak pernah sunyi dengan pelbagai perkembangan sensasi. Apatah lagi tatkala bunga-bunga pilihan raya umum (PRU) ke-14 sudah semakin banyak kelihatan. Antara yang menarik perhatian ialah usaha parti-parti yang akan bertanding dalam PRU nanti dalam mencari sekutu masing-masing bagi memastikan kemenangan atau setidaknya bagai memastikan parti pemerintah kehilangan lebih banyak kerusi. Musuh ketat lama kini menjadi sahabat baik baru, manakala sahabat baik lama kini menjadi musuh ketat baru. Tahaluf lama yang dibina atas mahligai cinta kepura-puraan, kini dibubarkan dan dibakar dengan api kebencian. Tahaluf baru dibentuk pula oleh pelbagai pihak yang dibina dengan jambatan manfaat seperti biasa. Habis manfaat, habislah runtuh jambatan tersebut, dan mungkin akan dibina jambatan manfaat baru dengan pihak lain pula. Begitulah politik Machiavelli yang dipraktiskan oleh parti-parti politik dalam demokrasi. Manusia sudah hilang maruah dan pertimbangan, dan hanya memikirkan manfaat semata-mata. Hukum syarak mahupun halal-haram sudah lama ditolak ke tepi. Kalau hukum syarak dan halal-haram diambil kira, nescaya mereka sudah lama meninggalkan kejijikan demokrasi ini.

Dalam kerosakan sistem demokrasi yang sudah tidak terbendung ini, muncul pula idea untuk membentuk kerajaan teknokrat, yang sebelum ini adanya idea kerajaan perpaduan, negara berkebajikan dan sebagainya. Kerajaan teknokrat diharap dapat menyelamatkan krisis politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain yang berlaku di Malaysia. Idea kerajaan teknokrat atau pemerintahan teknokrasi, bukanlah idea baru, dan bukan sahaja diserukan di Malaysia. Sejak krisis ekonomi di Eropah pada 2010, masyarakat Eropah telah melaung-laungkan kerajaan teknokrat untuk mengatasi masalah politik dan ekonomi yang melanda negara-negara mereka. Banyak pihak mengatakan bahawa kerajaan teknokrat merupakan kerajaan yang jauh lebih efisyen berbanding demokrasi pada abad ke-21 ini, seperti mana yang diungkapkan oleh Profesor Parag Khanna dari Universiti Kebangsaan Singapura. Beliau yang menulis buku Technocracy in America telah menyerukan sistem ‘direct technocracy’ sebagai penyelesaian kepada semua permasalahan di dunia hari ini.

Maksud Kerajaan Teknokrat Atau Pemerintahan Teknokrasi

‘Teknokrasi’ berasal daripada bahasa Greek, di mana ‘tekhne’ bermaksud kemahiran (skill) dan ‘kratos’ bermaksud pemerintahan. Dengan bahasa mudah, teknokrasi ialah pemerintahan oleh mereka yang pakar atau berkemahiran. Hal ini berbeza dengan demokrasi di mana pemerintahan demokrasi merupakan pemerintahan yang (kononnya) dipilih oleh rakyat. Walau bagaimanapun, dikatakan bahawa kerajaan teknokrat boleh juga wujud dalam sistem demokrasi. Menurut, Profesor Joshua A Tucker, seorang profesor dalam bidang politik dari Universiti New York, kerajaan teknokrat adalah sebuah kerajaan di mana para menterinya bukan daripada kalangan ahli politik, malah mungkin bukan ahli mana-mana parti politik. Para teknokrat tersebut merupakan pakar-pakar dalam bidang yang berkaitan dengan kementerian mereka yang dilantik menjadi menteri. Sebagai contoh Menteri Kewangan ialah seorang pakar ekonomi, Menteri Sains dan Teknologi ialah seorang Saintis atau Jurutera, Menteri Pendidikan ialah seorang pakar pendidikan dan seterusnya. Namun, presiden atau perdana menteri boleh jadi daripada kalangan ahli politik atau teknokrat.

Apa yang membezakan ‘kerajaan teknokrat’ dengan dengan ‘kerajaan demokrasi’ ialah di bawah demokrasi, para menteri bertungkus lumus memerintah dan mentadbir negara untuk mendapatkan populariti dalam kalangan rakyat dan demi kepentingan politik masing-masing. Akan tetapi, dalam kerajaan teknokrat, dikatakan (dan diharap) para menteri ini yang terdiri daripada kalangan pakar-pakar, hanya akan memerintah atau membuat keputusan berdasarkan kepada ilmu dan kepakaran mereka untuk memajukan kementerian masing-masing dan memajukan negara, dan bukan kerana ingin mendapatkan populariti atau meraih undi. Dengan cara ini, dasar-dasar kementerian diambil daripada ilmu akademik serta kajian secara intelektual, dan bukannya kepentingan ahli-ahli politik. Maka diharapkan kerajaan teknokrat dapat menyelesaikan permasalahan negara dengan lebih efisyen.

Munculnya Idea Kerajaan Teknokrat

Sejak daripada kemunculan ideologi kapitalisme (dengan demokrasi sebagai sistem pemerintahan) pada abad ke-18, ideologi kufur ini selalu mengalami krisis yang besar dan serius. Setiap kali berlakunya krisis, maka ideologi ini akan berubah dan berevolusi dengan cara tambal sulam, diubah dan dievolusi oleh penganutnya sendiri, khususnya yang memegang kekuasaan. Ketika sistem ekonomi kapitalisme dilihat menindas golongan pekerja sehingga munculnya ideologi sosialisme, demi menyelamatkan ideologi kapitalisme daripada dicampakkan oleh manusia, maka kapitalisme menambal sulam keburukan mereka dengan memasukkan ciri-ciri ekonomi sosialisme, walaupun hakikatnya ia bertentangan dengan prinsip kapitalisme. Kapitalisme memang terkenal dengan menindas pekerja dan menguntungkan majikan. Sejak terlihat kerosakannya dalam aspek tersebut dan golongan pekerja bangkit menentang, maka kapitalisme mula memberikan hak-hak pekerja, menjaga kebajikan pekerja, menubuhkan persatuan untuk mereka, menyediakan tempat untuk mereka mengadu, membenarkan mereka piket secara aman, membuat caruman untuk mereka, memberi insuran dan perlindungan untuk mereka dan sebagainya, sehingga para pekerja merasakan hak mereka dijaga dan tidak lagi ditindas dan tidak perlu lagi menentang majikan mahupun kerajaan yang kapitalis.

Begitulah bagaimana ideologi kapitalisme berjaya ‘menyelamatkan’ diri mereka dalam keadaan pekerja sebenarnya tertipu habis-habisan, tetapi mereka tidak merasakannya, kerana telah ‘dihias’ dengan pelbagai sulaman yang menarik. Dengan itu, ideologi kapitalisme dapat terus berdiri dan kerajaan dapat terus menindas rakyat tanpa disedari. Begitu juga apa yang berlaku kepada demokrasi, setiap kali krisis politik berlaku akibat penerapan pemerintahan yang buruk, maka ideologi ini akan mencari jalan untuk menyelamatkan dirinya daripada tumbang walaupun jalan tersebut bertentangan dengan prinsip demokrasi itu sendiri. Salah satu jalan untuk menambal sulam kerosakan demokrasi ialah dengan idea kerajaan teknokrat, di mana para menteri bukan lagi dilantik melalui undi rakyat, tetapi dilantik berdasarkan kelayakan dan keprofesionalan mereka di bidang masing-masing. Di sinilah asas pertentangan antara kerajaan teknokrat dengan demokrasi yang mana dalam demokrasi, para menteri datang daripada mereka yang diundi rakyat, walaupun terdiri daripada orang-orang yang bodoh!

Sejarah moden menunjukkan yang kerajaan (ahli) teknokrat selalu dilantik apabila berlaku krisis ekonomi dan ketidakstabilan politik dalam sesebuah negara demokrasi. Kita boleh melihat ahli-ahli teknokrat dilantik beberapa kali di sesetengah negara terutamanya di Eropah seperti Greece, Itali, Finland, Bulgaria, Romania dan banyak lagi. Sejak daripada 2010 akibat krisis Euro, 24 daripada 27 buah negara Eropah telah membentuk kerajaan teknokrat walaupun realitinya sehingga ke hari ini Eropah masih belum berjaya keluar daripada kemelut ekonomi mereka. Siapa yang mengikuti sejarah dan perkembangan setiap negara ini boleh melihat tatkala berlakunya krisis, para teknokrat yang bukan datangnya daripada undi rakyat, dilantik untuk mengemudi dan menyelamatkan negara. Selang setahun dua, apabila keadaan negara kembali stabil, para teknokrat ini akan disingkirkan daripada pemerintahan.

Permasalahan Sebenar

Idea mewujudkan kerajaan teknokrat sebenarnya adalah hasil daripada cara berfikir pragmatik yang melihat masalah itu dengan fikiran yang sempit dan berubah-ubah. Mereka yang menyerukan idea ini hanya melihat masalah yang dihadapi oleh negara-negara demokrasi ialah masalah yang berpunca daripada tadbir urus yang salah, rasuah, penyelewengan, kronisme dan lain-lain oleh individu-individu tertentu. Sedangkan punca masalah dan krisis yang timbul dalam sistem pemerintahan demokrasi-kapitalisme sebenarnya bukan masalah tersebut, tetapi masalah yang lebih besar lagi iaitu persoalan sistem pemerintahan itu sendiri, yang terkait dengan persoalan akidah dan hukum syarak. Baik sistem demokrasi mahupun kerajaan teknokrat, kedua-duanya adalah sistem pemerintahan yang muncul daripada akal (idea) manusia semata-mata iaitu daripada akidah sekularisme yang memisahkan agama daripada kehidupan, bukannya berasal daripada wahyu. Di sinilah letaknya punca kepada masalah.

Sistem yang terbit daripada akal fikiran manusia yang serba lemah dan terbatas ini sudah pasti menghasilkan banyak krisis dan malapetaka yang menyebabkan kehidupan manusia huru hara. Krisis ekonomi yang menjadikan jurang antara kaya dan miskin terus melebar berakibat daripada sistem ekonomi kapitalisme; krisis pendidikan berakibat daripada sistem pendidikan yang materialistik; krisis sosial berakibat daripada sistem sosial yang liberal dan krisis pemerintahan berakibat daripada sistem demokrasi yang sekular. Bukan sekadar sistem yang diamalkan itu rosak, bahkan boleh dikatakan keseluruhan aspek tadbir urus negara dijalankan oleh mereka yang tidak amanah dan bukan ahlinya. Jika ada yang amanah sekalipun dalam menjalankan tugas, mereka hakikatnya menunaikan amanah bukan pada tempatnya, kerana mereka menjalankan pemerintahan kufur dengan penuh amanah, sama sebagaimana mereka menjalankan sistem ekonomi ribawi dengan penuh amanah! Maka dengan rosaknya akar, sudah pastilah segala dahan, cabang dan ranting-rantingnya turut rosak.

Justeru, selagi mana sistem buatan manusia ini terus diterapkan ke atas masyarakat, selagi itulah pelbagai krisis dan masalah yang melanda tidak akan berakhir, baik itu di bawah sistem demokrasi mahupun teknokrasi. Persoalan utama di sini bukanlah “siapa” yang memerintah sama ada teknokrat ataupun ahli politik, tetapi persoalannya ialah dengan “sistem” apakah pemerintahan itu dijalankan. Malaysia sebagai contoh, tidak lama dulu pernah melantik seorang profesor ahli akademik sebagai Menteri Pendidikan, satu usaha yang telah menarik perhatian seluruh negara. Namun hasilnya sama sahaja. Sejak zamannya sampai sekarang masalah pendidikan tetap wujud, dasar pendidikan negara tak habis-habis dibaiki, dirombak, diganti baru dan sebagainya, yang menunjukkan kegagalan setiap polisi yang dilaksanakan. Orientasi pendidikan dan syakhsiyyah pelajar tetap buruk dan guru-guru tidak habis-habis mengeluh serta ‘migrain’ dengan pelbagai masalah pendidikan.

Setiap Muslim harus faham dan sedar akan akar setiap permasalahan. Punca masalah di sini bukanlah kepada ahli-ahli politik, walaupun kita semua tahu yang ahli politik ini memang sebahagian daripada masalah. Punca atau akar kepada masalah ialah sistem yang diterapkan itu sendiri! Contohnya, sistem ekonomi yang diterapkan sekarang ialah kapitalisme. Jadi, jika dilantik teknokrat atau pakar yang paling hebat sekalipun untuk menangani krisis ekonomi, dia tetap akan berfikir dan menjalankan roda perekonomian dengan sistem ekonomi kapitalisme, kerana kepakarannya adalah dalam bidang tersebut. Jadi, kepakarannya itu akan digunakan untuk menentukan kadar riba terbaik untuk perekonomian negara, jenis dan kadar cukai yang sesuai, berapa banyak pusat judi yang diperlukan dalam negara, berapa banyak kilang arak, pasaran saham, bank ribawi, syarikat insurans, pub, disko dan sebagainya yang diperlukan untuk menjana ekonomi negara. Inilah cara berfikir pakar-pakar ini dan mereka tidak akan dapat keluar daripada sistem ini.

Begitu juga jika dilantik pakar undang-undang untuk menangani masalah perundangan, sosial atau masalah jenayah dalam negara. Para pakar ini sudah pasti akan menentukan dan membuat undang-undang mengikut kepala mereka, yang hakikatnya tidak ada beza dengan ahli politik. Inilah apa yang dapat kita saksikan dalam Parlimen pada hari ini di mana berapa ramai daripada kalangan menteri yang merupakan peguam atau bekas peguam atau berkelulusan undang-undang mahupun syariah, namun daripada merekalah datangnya kerosakan. Sistem pemerintahan yang diterapkan sekarang ialah sistem sekular, yang memisahkan agama daripada kehidupan. Jadi, siapa pun yang memerintah dalam sistem ini (baik ahli politik mahupun teknokrat), bagaimana hebat dan pakar pun dia, bagaimana baik pun dia, bagaimana ikhlas pun dia, bagaimana amanah dan cekap pun dia, dia tetap akan memerintah dengan sistem sekular, yang mencampakkan Islam daripada pemerintahan, sebuah sistem yang selama ini menjadi punca kepada segala masalah.

Itu dari satu sudut. Dari sudut yang lain, berapa ramai sekalipun daripada kalangan teknokrat yang akan dilantik dalam kerajaan ini, ‘bos’ mereka atau yang membayar upah mereka tetaplah orang nombor satu dalam negara. Jadi, kepada siapakah mereka akan berkhidmat, jika bukan kepada bos mereka? Sanggupkah mereka melawan keinginan orang yang memberi upah kepada mereka? Jika sesetengah ‘agamawan’ pun boleh ‘dibeli’ dengan mudah dalam sistem yang penuh korup ini, maka apatah lagi golongan teknokrat yang lebih lemah pegangan agamanya.

Khatimah

Perlu difahami di sini bahawa Islam bukanlah menolak para teknokrat atau mereka yang pakar ini, sebaliknya negara dan masyarakat amat memerlukannya. Malah di sepanjang sejarah kegemilangan Islam, Islam telah melahirkan ramai pakar dalam pelbagai bidang sehingga kaum Muslimin mencapai kemuncak ketamadunan dengan Islam. Islam telah melahirkan ramai pakar dalam peperangan dan persenjataan, di bidang sains, teknologi, pendidikan, perubatan, kejuruteraan dan banyak lagi. Inilah ‘kegunaan’ pakar-pakar ini di mana para pakar ini bukannya pakar yang merubah hukum Allah atau pakar yang membuat hukum sendiri, tetapi merupakan pakar yang berjalan selari dengan hukum Allah. Mereka menggunakan kepakaran dalam bidang masing-masing dalam rangka menegakkan hukum Allah dan meninggikan syiar Islam serta memberi sumbangan besar kepada manusia dan dunia.

Dalam perkara-perkara mubah, teknikal atau teknologi dan lain-lain persoalan ri’ayah (pengaturan) yang tidak melibatkan hukum, maka di sinilah letaknya kepakaran manusia yang perlu digunakan untuk kebaikan, selama mana tidak menyalahi Islam. Namun, dalam perkara sistem pemerintahan, ekonomi, pergaulan, uqubat dan sebagainya, semuanya wajib diterapkan hukum Islam di dalamnya. Islam telah menetapkan bahawa sistem pemerintahan dan negara Islam ialah Khilafah, bukannya sistem demokrasi, bukan kerajaan perpaduan, kerajaan teknorat dan lain-lain. Maka apa yang wajib diterapkan ialah sistem Khilafah, bukan selainnya. Idea kerajaan teknokrat hanyalah idea manusia di Barat yang ingin menutup kebusukan dan kehanyiran sistem demokrasi dengan menggunakan pewangi beralkohol, tidak lebih daripada itu.

Wallahu a’lam.