Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

Sekatan masuk Sarawak: Bukti demokrasi = diktator

Agak kecoh di media apabila dua orang anggota parlimen PKR, Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan) dihalang memasuki Sarawak sejurus tiba di Lapangan Terbang Miri untuk menghadiri majlis makan malam anjuran parti itu. Kedua-dua mereka terpaksa menaiki penerbangan balik semula, dengan diiringi oleh Jabatan Imigresen Sarawak.

Sarawak telah agak lama tegas dengan hal ini di mana sebelum ini Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, Datuk Saifuddin Nasution, R Sivarasa, Teresa Kok dan ramai lagi dihalang masuk ke bumi Kenyalang itu pada tahun lepas. Kebanyakan mereka ialah pemimpin parti pembangkang dan halangan ketat ke atas mereka dikenakan menjelang pilihan raya.

Bagaimana pun, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Abang Openg memberi jaminan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan dihalang daripada memasuki negeri itu. Selain Mahathir, pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Pengarah Pilihan Raya AMANAH, Dr Hatta Ramli juga boleh berbuat demikian tanpa halangan, katanya.

Semasa pembentukan Malaysia, kedua-dua negeri di Malaysia Timur itu telah diberi autonomi untuk menyekat kemasukan siapa pun dari Malaysia Barat, untuk memasuki negeri tersebut, sejajar degan Akta Imigresen 1959/63. Ketua Menteri diberi kuasa mutlak untuk membenarkan atau menghalang siapa sahaja yang beliau mahu, sama ada dengan memberi alasan atau tidak.

Justeru, kuasa tersebut sudah semestinya digunakan untuk menyekat siapa sahaja yang menjadi musuh politik parti pemerintah, yang boleh menggugat kedudukan mereka jika dibenarkan masuk. Inilah realitinya. Walau apa pun alasan yang diberikan seperti untuk menjaga keharmonian penduduk, mengelak perpecahan, mengelak pelampau agama dan sebagainya, semua ini hanyalah justifikasi untuk menjaga kedudukan singgahsana sang pemerintah, tiada yang lain lagi!

Kuasa mutlak yang ada di tangan Ketua Menteri hanya mencerminkan pembohongan nyata demokrasi kepada rakyat Malaysia. Malaysia (dan Sarawak) yang mengaku kononnya mengamalkan pemerintahan demokrasi, tidak lebih hanya sekadar solekan untuk menutup segala kudis dan kurap yang ada pada mereka. Ternyata, demokrasi yang mereka amalkan tidak ada beza sedikitpun dengan pemerintahan diktator yang kononnya ditolak oleh mereka, yang meletakkan kuasa mutlak hanya kepada seorang pemerintah!

Tidak dapat dibayangkan bagaimana seorang warganegara Malaysia tidak dapat memasuki negaranya sendiri. Undang-undang apakah ini? Ketua Menteri Sarawak telah menjadikan bumi Sarawak sebagai miliknya, bukan milik Allah, sehingga dialah yang berkuasa menentukan siapakah yang berhak menjejakkan kaki ke situ! Walhal dia sepatutnya memerintah Sarawak dengan hukum Allah dan melihat sejauh manakah Allah memberinya kuasa untuk “mengawal” bumi Sarawak, bukannya melihat sejauh mana Akta Imigresen memberinya kuasa!