Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

Saudi tubuh jawatankuasa pantau hadis, untuk apa sebenarnya?

Para ulama kerajaan Saudi bakal mengambil langkah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau hadis-hadis palsu dan tafsiran ajaran Nabi Muhammad SAW bagi mengelakkannya disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab semata-mata untuk membenarkan aktiviti keganasan, kata Kementerian Kebudayaan dan Penerangan negara tersebut.

Penubuhan tersebut merupakan rentetan daripada satu dekri diraja Saudi, yang memerintahkan untuk menghapuskan teks-teks palsu yang bertentangan dengan ajaran Islam atau membenarkan tindakan, jenayah, pembunuhan dan aktiviti keganasan. Jawatankuasa tersebut yang akan berpusat di Madinah akan diterajui oleh Sheikh Mohammed bin Hassan al-Sheikh, ahli Majlis Ulama Kanan yang berfungsi sebagai badan agama tertinggi Arab Saudi.

Tindakan untuk menapis hadis-hadis palsu memanglah suatu yang terpuji, tetapi tindakan menapis “tafsiran” hadis yang dikatakan boleh disalahgunakan untuk tujuan keganasan, sekiranya ia hadis sahih, maka ini memang amat jelas merupakan satu tindakan politik yang penuh kepentingan.

Sebagai Muslim, kita memang menolak aktiviti keganasan atau aktiviti apa pun yang bertentangan dengan syarak. Namun kesemua hadis sahih yang menerangkan tentang jihad, peperangan, pembunuhan atas dasar haq, uqubat dan seumpamanya, hadis-hadis ini merupakan kewajipan untuk disampaikan oleh mereka yang mempunyai kelayakan atau ilmu untuk menafsirkannya. Jika tafsirannya salah dan hal itu disengajakan, maka penafsirnya berdosa dan boleh dikenakan ta’zir, tetapi kita sama sekali tidak boleh menyekat hadis tersebut daripada ditafsirkan atas alasan takut disalah tafsirkan. Kewajipan kita ialah membetulkan mana-mana tafsiran jika ada hadis yang telah disalahtafsirkan. Hadis, sebagaimana al-Quran, adalah perkara yang wajib diajar dan disebarkan dan haram untuk disekat atau disembunyikan.

Hakikatnya, berapa ramai daripada ulama Saudi yang tidak mengamalkan hadis yang mereka fahami, sekarang mereka cuba pula menyekat umat Islam daripada mengamalkannya dengan menapis tafsiran agar sesuai dengan kehendak raja mereka! Buktinya, ulama salatin inilah yang telah menjustifikasikan tindakan Saudi melakukan pengeboman dan pembunuhan ke atas sesama Muslim di Yaman, atas alasan memerangi pengganas. Ulama salatin inilah yang telah mengizinkan penjajah Barat menggunakan ruang udara Saudi bagi mengebom umat Islam, dan membenarkan kerajaan Saudi untuk berkomplot dengan kolonialis kuffar ke atas umat Islam.

Di manakah para ulama salatin ini di saat kerajaan mereka sendiri bertindak ekstrem dalam mengesampingkan hukum-hukum Allah? Mengapakah mereka tidak memantau dan memuhasabah raja mereka yang mengkhianati umat Islam dengan bersekongkol dengan Presiden Amerika Syarikat? Mengapa pula mereka berdiam diri di saat Raja Salman berjabat tangan dengan Vladimir Putin, pemimpin Rusia yang pesawatnya mengebom Aleppo dan Idlib, Syria secara bertubi-tubi baru-baru ini tanpa sebarang belas ihsan? Pernahkah ulama salatin ini memantau dan mengkritik raja mereka yang mengaut kesemua minyak yang merupakan milik umum menjadi kekayaan peribadi mereka?

Jelaslah bahawa mereka ini hanyalah ulama yang salatin yang berkhidmat sepenuhnya kepada tuan mereka dengan mengenepikan segala perintah al-Quran dan al-Hadis yang memerintahkan mereka melakukan amar makruf nahi mungkar terhadap penguasa! Dalam masa yang sama, mereka sebenarnya hanya diperalatkan secara berterusan oleh tuan mereka demi mendapatkan legitimasi agama atas sebarang keharaman yang dilakukan oleh rejim Saudi selama ini.

Dalam pada itu, kita juga dapat menyaksikan siri penangkapan tokoh-tokoh masyarakat, ahli akademik, wartawan, dan pengkritik dinasti Saud yang berlaku sejak kebelakangan ini [Amnesty International, 15/9/2017]. Di manakah suara para ulama ini?

Apa yang pasti ialah Saudi merupakan sekutu rapat Amerika yang menjaga kepentingan Amerika sejak sekian lama. Jadi, tidak mustahil bahawa sekatan ke atas tafsiran al-Hadis yang mereka lakukan hanyalah dibuat bagi memastikan kepentingan Amerika sentiasa terjaga dengan memastikan umat Islam sentiasa berbaik dan tunduk kepada Amerika, sebagaimana Saudi!

Wallahua’lam.