Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

Sambutan Yang memalingkan

500,000 sambut 2018 di Putrajaya

LEBIH 500,000 pengunjung Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2017 memeriahkan sambutan Ambang Tahun Baru 2018 di Dataran Putrajaya, Presint 3, Putrajaya, malam tadi. Sambutan Tahun Baru 2018 dimulakan dengan kiraan detik 12 tengah malam sebelum pertunjukan bunga api dan bunga api digital selama hampir 5 minit.

Berita penuh: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/01/298628/500000-sambut-2018-di-putrajaya


Ulasan:

Berpaling dari ajaran Islam sahaja Allah SWT larang, apatah lagi jika kita meninggalkannya. Allah SWT berfirman:

وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ

Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu [TMQ al-Maidah:49]

Tidak ada dalil yang melarang untuk berhimpun beramai-ramai. Malah berhimpun dan meraikan sesuatu itu sudah berlaku sejak dari zaman firaun lagi. Ketika baginda Nabi SAW tiba di kota Madinah semasa hijrah, masyarakat Madinah juga berhimpun untuk meraikan kehadiran baginda SAW. Jadi berhimpun itu tidak salah, yang salah selalunya tujuan perhimpunan.

Pada zaman pemerintahan firaun, secara rela atau dipaksa, firaun menghimpunkan rakyat Mesir ketika perayaan dengan tujuan untuk menunjukkan kesombongan dan keangkuhannya. Firaun ingin seluruh rakyat di Mesir merasa takjub dengan kehebatannya dan merasa rendah diri dengan kekuatan yang beliau ada agar mereka takut untuk bangkit melawan. Hasilnya, rakyat Mesir terus ditindas dan dizalimi hingga mereka hilang upaya untuk bangkit. Malah tatkala bayi lelaki mereka dibunuh dihadapan mereka sendiri, mereka sudah tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

Kaum muslimin sejak dahulu juga tidak pernah terpisah dengan idea perhimpunan. Sejak wujudnya Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s dengan bantuan anaknya Ismail, saban tahun pasti berlaku perhimpunan umat Islam secara besar-besaran dan jumlahnya meningkat setiap tahun. Namun perhimpunan ini berbeza dengan perhimpunan anjuran firaun sebelum ini. Perhimpunan umat Islam adalah untuk menyembah dan memuji Allah SWT manakala perhimpunan pada zaman firaun adalah untuk memuji, menyembah dan memuja firaun itu sendiri.

Jelas membuktikan bahawa tidak semua perhimpunan itu boleh dikategorikan makruf dan tidak semuanya mungkar. Jika perhimpunan itu mendatangkan kebaikan kepada ummah, maka ia sepatutnya digalakkan dan tidak dihalang. Namun perhimpunan yang tidak memberi sebarang manfaat, malah melalaikan, sepatutnya dihentikan dan dijauhi.

Apakah selepas himpunan di Putrajaya untuk sambutan tahun baru rakyat semakin bersemangat melawan kezaliman? Adakah kita berjaya menghasilkan lebih ramai pejuang selepas perhimpunan tersebut? Adakah kita berjaya menghasilkan lebih ramai doktor selepas perhimpunan tersebut? Adakah kita berjaya menghapuskan beban rakyat selepas perhimpunan tersebut? Jika tidak ada kebaikan yang terhasil untuk ummah, jadi untuk apa perhimpunan sebegitu dianjurkan dan dihadiri?

Ingatlah pada peringatan Allah SWT dalam surah al-Maaidah ayat 49 itu, janganlah kita terpesona dengan apa jua perkara yang boleh menyebabkan kita berpaling daripada peringatan dan ayat-ayat Allah SWT kerana ia pasti membawa kehancuran buat kita semua.

Razi Salleh
Aktivis HTM