Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

Penempatan haram Yahudi: Satu lagi resolusi kosong dan khianat

Keputusan undian resolusi PBB berkenaan isu pembinaan penempatan haram Yahudi di Palestin baru-baru ini mendapat reaksi gembira daripada banyak pihak. Usul tersebut pada asalnya dibawa oleh Mesir, namun ditarik balik atas tekanan daripada entiti haram Yahudi dan juga presiden terpilih AS, Donald Trump. Ia kemudian dibawa semula oleh empat buah negara, termasuk Malaysia selaku salah sebuah negara anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB.

Resolusi tersebut mendapat kelulusan setelah 14 buah negara anggota Majlis mengundi untuk menyokong, manakala AS yang merupakan sekutu kuat Israel memilih untuk berkecuali. Tindakan tersebut mendapat kecaman daripada negara haram Yahudi itu, yang kemudiannya bertindak memanggil pulang dutanya ke New Zealand ekoran penglibatan New Zealand sebagai salah satu negara yang membawa usul ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dalam sebuah kenyataan memuji keputusan undian tersebut dan melihatnya sebagai sebuah kejayaan dalam perjuangan ke arah pembentukan negara Palestin yang berdaulat. Terdapat juga parti Islam yang berbangga dengan keputusan resolusi tersebut dan memuji tindakan kerajaan Malaysia dalam hal ini.

Persoalan mendasar dalam di sini ialah, apakah resolusi seumpama itu yang diperlukan oleh Palestin, dan sejauh manakah resolusi tersebut akan dapat menyelamatkan umat Islam di Palestin? Apakah “kejayaan” ini mampu menamatkan penderitaan yang menimpa mereka selama hampir tujuh dekad semenjak tertubuhnya negara haram Israel pada 1948?

Sungguh malang apabila pemimpin kaum Muslimin jahil dalam isu ini atau tidak pernah mengambil pengajaran tentang sejarah panjang kaum Yahudi terlaknat itu yang tidak pernah mematuhi sebarang perjanjian! Sejak dari zaman para Nabi, hinggalah ke hari ini, Yahudi memang terkenal sebagai sebuah bangsa yang membunuh para Nabi dan mengkhianati apa jua perjanjian! Justeru, apa sangatlah dengan sebuah resolusi berbanding dengan puluhan resolusi yang telah mereka langgar sebelum ini?

Sungguh malang juga apabila ada pemimpin dan gerakan Islam yang masih tidak habis-habis bergantung harap kepada PBB, sebuah badan kufur antarabangsa yang menjadi salah satu sebab kepada penderitaan umat Islam. Di samping peranannya menjatuhkan entiti pemersatu kesatuan umat Islam, Daulah Khilafah, PBB-lah yang melahirkan negara haram Israel dan PBB-lah yang mengasuh, menjaga dan membesarkan Israel selama ini. Anehnya para pemimpin kaum Muslimin masih berharap kepada PBB dalam isu ini!!!

Sesungguhnya resolusi itu hanyalah resolusi kosong tanpa erti. Sebuah resolusi yang tidak akan menggentarkan atau menggoncangkan negara haram tersebut sedikitpun. Siapa yang akan menjadi penghalang sekiranya Israel melanggar resolusi tersebut, sebagaimana banyak perjanjian yang telah dilanggarnya sebelum ini?

Berapa banyak lagi resolusi yang hendak diperjuangkan sehingga pemimpin kaum Muslimin sedar bahawa keberadaan PBB itu sendiri hanyalah untuk mengekalkan status quo negara Yahudi dan memastikan tidak ada pihak yang boleh menghapuskannya. Dengan adanya kuasa veto yang pada AS dan empat lagi kuasa besar dunia, yang semuanya merupakan musuh umat Islam dan pro-Israel, malangnya pemimpin umat Islam sampai sekarang masih buta akan hakikat PBB dan resolusi yang mereka keluarkan.

Tidakkah mereka menyedari bahawa dengan mengundi usul tersebut, secara tidak langsung mereka telah menutup segala harapan penduduk Palestin bagi mendapatkan semula tanah mereka yang telah dirampas sebelum tahun 1967? Ini kerana resolusi tersebut telah meletakkan sempadan 1967 sebagai batas sempadan pembinaan penempatan Yahudi. Di sebalik “kejayaan” tersebut, sesungguhnya resolusi ini merupakan satu bentuk pengkhianatan ke atas perjuangan umat Islam di Palestin, kerana resolusi ini secara tidak langsung telah mengiktiraf tanah-tanah lain yang dirampas oleh Yahudi, sekaligus mengiktiraf kewujudan dua negara di Palestin. Maka apakah ini “kejayaan” yang hendak dibanggakan?

Sesungguhnya, “kejayaan” proses undian tersebut hanyalah bius yang memberikan harapan palsu ke atas umat Islam, serta menjadi alasan kepada para penguasa umat Islam bagi menunjukkan bahawa setidak-tidaknya mereka telah berbuat sesuatu dalam menangani kemelut yang telah berlangsung selama hampir tujuh dekad ini.

Isu utama Palestin ialah tanah umat Islam yang telah dirampas oleh Yahudi. Oleh itu, satu-satunya penyelesaian kepada isu ini ialah dengan mengambil balik kesemua tanah yang telah dirampas itu, bukan sebahagian, apatah lagi hanya sepotong daripadanya. Manakala satu-satunya cara untuk mengambil balik tanah tersebut ialah dengan jihad fi sabilillah, kerana realitinya negara haram Yahudi itu telah dan sedang mmpertahankan tanah yang mereka rampas itu dengan segala kekuatan ketenteraan mereka, dengan dibantu oleh kuffar Barat.

Pemimpin kaum Muslimin wajib menggerakkan tentera dan jika ini tidak berlaku, maka tentera wajib bergerak tanpa perlu lagi menunggu perintah dari pemimpin pengkhianat ini. Inilah satu-satunya solusi untuk melawan kebiadaban rejim Yahudi itu dan bukannya melalui resolusi kosong lagi khianat, yang diluluskan dengan penuh lakonan dari semasa ke semasa.

Hizbut Tahrir sedang berusaha untuk menegakkan Khilafah yang Insya Allah tatkala entiti politik Islam ini berdiri untuk kali yang kedua sedikit masa lagi, Khilafah akan pasti menggerakkan bala tentera untuk mengambil kembali keseluruhan tanah umat Islam umat Islam yang dirampas oleh puak kuffar dan mengembalikan semula kemuliaan umat Islam. Wallahu a’lam.