Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

Penculikan Pastor, pun nak dikaitkan dengan Islam?

Penculikan Pastor Raymond Koh

Penculikan Pastor Raymond Koh di Petaling Jaya pada 13 Februari lalu menimbulkan banyak persoalan yang sehingga ke hari ini masih belum terjawab, dan hingga kini belum ada mana-mana pihak yang membuat sebarang tuntutan terhadap keluarga mangsa. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan terdapat tiga sudut kemungkinan dalam penyiasatan kes penculikan Koh ini  termasuk isu peribadi, penglibatan pelampau dan untuk mendapatkan wang tebusan.

Pastor Koh dikatakan pernah berdepan dengan ugutan bunuh selepas NGO pimpinannya, Harapan Komuniti didakwa cuba menyebarkan ajaran Kristian kepada umat Islam oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor pada 2011.

Kes penculikan ini turut mendapat perhatian pihak luar apabila laman The Gospel Herald Society mendakwa penculikan tersebut mempunyai kaitan dengan agama di samping turut mendakwa penculikan tersebut berlaku di saat penindasan terhadap orang bukan Islam yang semakin berleluasa di negara ini [“Malaysian Pastor Abducted Two Weeks Ago Likely Murdered by Muslims, Says Son” 3/3/2017].

Begitulah mudahnya usaha untuk mengaitkan (baca: memburukkan) Islam dalam isu ini oleh sesetangah pihak. Hakikatnya ramai Muslim mahupun non-Muslim yang tahu bahawa jenayah apa sekalipun yang melibatkan orang-orang yang berbeza agama, yang salah ialah “penjenayah”nya, bukan agama yang dianutinya. Namun, kebencian yang mendalam oleh golongan Yahudi mahupun Nasara terhadap Islam, sebagaimana disebut oleh Allah di dalam al-Quran, menyebabkan golongan kafir tersebut akan terus membuat tuduhan melulu ke atas Islam.

Lebih memburukkan keadaan, apabila wujudnya media-media tertentu yang cuba menyemarakkan lagi api kebencian dan permusuhan dengan naratif penindasan ke atas penganut agama lain oleh umat Islam di negara ini, seolah-olah Islam membenarkan kezaliman dan penindasan dilakukan ke atas penganut bukan Islam.

Siapa pun yang mempunyai akal yang waras akan mengetahui bahawa tindakan jenayah tersebut sama sekali tidak mewakili Islam dan bertentangan dengan Islam. Jika benar sekalipun orang Islam yangg melakukannya, ia hanyalah sebahagian daripada kes-kes jenayah yang turut dilakukan oleh penganut agama mana pun di dunia ini, yang hakikatnya dilakukan bertentangan dengan ajaran agamanya.

Wallahua’lam.