Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

Najib, Mahathir Atau Anwar sebagai Perdana Menteri, adakah Islam akan terbela?

Isu:

PKR setuju Dr Mahathir jadi PM sementara dengan syarat…

PKR secara prinsip bersetuju dengan cadangan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri sementara jika gabungan pembangkang berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut sumber, keputusan itu dibuat pada mesyuarat biro politik PKR pada 19 Disember lalu dan turut mendapat restu daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber: https://m.malaysiakini.com/news/406874


Ulasan:

Senario politik di Malaysia semakin menarik perhatian masyarakat apabila PKR mencalonkan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Sementara, sebelum memberi laluan kepada calon Perdana Menteri mereka yang utama iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya mereka berjaya merampas undi majoriti pada PRU akan datang. Manakala BN pula sedang berhempas pulas untuk memastikan PAS tidak akan bersama Pakatan Harapan dan akan meneruskan pemeliharaan status quo mereka sebagai parti yang menguasai kerajaan Pusat.  Sebagai seorang Muslim yang mendambakan kehidupan Islam, ada beberapa perkara penting yang perlu diamati dengan saksama:

  1. Perubahan pemimpin tidak akan membawa erti kepada kehidupan Islam sekiranya agenda utama perjuangan mereka bukanlah memperjuangkan kehidupan Islam. Sejarah politik negara membuktikan bahawa Najib, Mahathir mahupun Anwar tidak mempunyai sebarang portfolio agenda Islam dalam perjuangan mereka, melainkan dalam konteks perlaksanaan Islam yang tunduk kepada demokrasi dan sekularisme.
  2. Baik Mahathir, Anwar ataupun Najib yang menjadi Perdana Menteri selepas PRU akan datang, perubahan yang akan berlaku hanyalah perubahan bagaimana mereka mengelola hal-hal teknikal negara, dengan memastikan penguasaan para kapitalis melalui pelbagai penswastaan yang bersifat kronisme dan konsesi. Ia bukanlah perubahan daripada sistem pemerintahan demokrasi-kapitalisme kepada sistem khilafah atau pro kepada syariah.
  3. Sekiranya umat Islam mendambakan kehidupan Islami dan ingin keluar daripada keadaan terperuk yang semakin memberi tekanan kepada kehidupan, baik dari sudut ekonomi ataupun politik, perubahan mendasar perlu berlaku dan ini melibatkan perubahan sistem pemerintahan itu sendiri.

Sistem pemerintahan  yang paling ideal untuk memenangkan Islam serta mengatur hak manusia dengan penuh saksama ialah sebuah sistem yang membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada penghambaan kepada Yang Maha Pencipta, yang mengatur hak individu, umat dan negara, serta menjana ketaqwaan setiap individu di dalam negara. Sistem tersebut ialah sistem khilafah.

Shah Sinan
Aktivis HTM