Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

Masalah disiplin: Masihkah ada harapan?

Berita:

SEORANG guru, Azizan Manap yang sepatutnya dibicarakan hari ini atas tuduhan mencederakan anak muridnya, dilepaskan tanpa dibebaskan  daripada dakwaan tersebut oleh Mahkamah Majistret Seremban. Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas pendakwa raya menarik balik pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

The Malaysian Insight, 19 Disember 2017
Sumber: https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/28348/


Ulasan:

Pelbagai respon pro dan kontra apabila isu ini menjadi tular di media sosial. Sebahagian menyalahkan ibu bapa yang tidak pandai menjaga anak dan tidak menghormati guru. Ada juga yang menyelar cara guru itu mendisiplinkan muridnya agak keterlaluan. Menteri Besar Negeri Sembilan pula hanya meminta guru dan ibu bapa berbincang dengan harmoni tanpa ada penyelesaian terhadap kemelut ini.

Namun, keadaan ini sudah tentu membebankan dan merumitkan lagi tugas para guru yang berhadapan dengan salah laku pelajar. Ketika ini pelajar bukan hanya ponteng kelas, tetapi sudah terlibat dengan najis dadah, seks rambang, minum arak, buli, rompak, judi, kelucahan yang melampau, dan banyak lagi. Apabila guru mengambil tindakan dengan niat untuk mendisiplinkan murid, guru pula yang dipersalahkan dan dihadapkan ke mahkamah. Maka, tidaklah menghairankan jika ada guru yang tidak mengambil peduli terhadap akhlak dan tingkah laku murid-murid kerana bimbang akan dikenakan tindakan terhadap mereka.

Situasi buruk yang mewarnai sistem pendidikan hari ini ialah kesan daripada penerapan sistem sekular yang membuahkan krisis kehidupan dan kemaksiatan di tengah-tengah masyarakat akibat memencilkan kepentingan nilai-nilai agama. Jika ada sekalipun nilai-nilai keagamaan yang cuba dipupuk, namun ia tidak lari sebagaimana penilaian ‘agama’ dalam pandangan orang Barat, iaitu agama hanya ditempatkan dalam urusan individu dengan tuhannya sahaja. Sedangkan dalam urusan masyarakat, agama ditinggalkan.

Sistem pendidikan sekular melahirkan individu-individu manusia yang individualistik, hedonistik, dan meterialistik. Budaya hedonistik semakin berleluasa sebagai ekpresi kepada pemuas nafsu jasmani. Gaya hidup barat diambil sebagai kiblat dalam muzik, fesyen, makanan, dan filem. Kehidupan yang materialistik-sekularistik merupakan pemangkin kehidupan sosial yang individualistik. Natijahnya, kehidupan bermasyarakat memberikan kebebasan yang seluas-luasnya kepada pemenuhan hak individu mengikut hawa nafsu tanpa mempedulikan kesannya. Oleh sebab itu, kepentingan setiap individu dan tanggungjawab sosial pada setiap anggota masyarakat menjadi tidak penting.

Oleh itu, masalah disiplin pelajar-pelajar dan murid-murid yang semakin meruncing ini tidak akan dapat diselesaikan, kecuali ideologi sekular yang menjadi menjadi tunjang dalam sistem pendidikan dan sistem kehidupan ketika ini dihapuskan dan ditukar kepada ideologi Islam.

Abu Ammar
Aktivis Hizbut Tahrir