Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

Kemerdekaan Catalonia Bukti Rapuhnya Ikatan Patriotism

Catalonia sebuah wilayah di timur laut negara Sepanyol mengistiharkan kemerdekaannya daripada kerajaan pusat Sepanyol di dalam suatu pungutan suara di wilayah tersebut pada 1 Oktober lepas, namun ditentang oleh kerajaan pusat Sepanyol. Usaha tuntutan kemerdekaan Catalonia bukanlah suatu perkara yang baru, malah ia telah bermula sejak beberapa dekat yang lalu dan wilayah ini ingin mengembalikan semula kegemilangan empayar Aragon yang menguasai semenanjung tersebut pada kurun ke-12 hingga ke-18. Penduduk wilayah tersebut mempunyai bahasa dan kebudayaan mereka sendiri yang berbeza daripada penduduk Sepanyol. Dari sektor ekonomi pula, wilayah tersebut adalah terkaya dan menyumbang kira-kira 20% daripada ekonomi Sepanyol [1]. Tidaklah menghairankan bilamana Sepanyol sedang bergelut dengan krisis kelembapan ekonomi, maka wilayah yang merupakan penyumbang ekonomi terbesar di Sepanyol secara reaksinya mengutamakan kepentingan penduduknya sendiri melebihi kepentingan penduduk Sepanyol keseluruhannya. Jelasnya wilayah Catalonia yang berada di bawah pentadbiran kerajaan pusat Madrid hanya mempunyai ikatan patriotism kepada kerajaan pusat. Ikatan patriotik merupakan ikatan yang mengikat sekumpulan manusia dengan kumpulan manusia yang berlainan agama, etnik, bahasa dan kebudayaan di atas dasar kecintaan dan keterikatan kepada negara mereka. Ikatan ini kekal selama ada ancaman dari luar negara yang boleh mengancam penduduk negara tersebut. Ikatan ini juga akan bertambah kuat apabila wujud persaingan seperti pertandingan sukan diperingat antarabangsa, contohnya perlawanan bolasepak yang melibatkan pasukan bolasepak Sepanyol melawan negara lain.

Lebih dua puluh tahun dahulu iaitu pada tahun 1992, Eropah juga mengalami krisis yang sama, malahan lebih buruk lagi apabila persekutuan Yugoslavia bukan sahaja berpecah menjadi beberapa negara kecil tetapi juga menyaksikan tercetusnya perang yang terburuk sejak perang dunia kedua. Krisis ini berakhir pada 1996 dengan kewujudan negara Croatia, Serbia, Bosnia dan Slovenia yang diasaskan di atas dasar etnik masing-masing. Ini juga membuktikan projek kerajaan Yugoslavia untuk menyatukan pelbagai penduduk dari etnik yang berbeza di dalam suatu negara persekutuan yang besar telah menemui kegagalan. Ini juga membuktikan ikatan patriotik bukanlah ikatan yang boleh mengikat manusia yang berlainan entik di dalam satu negara pada suatu jangkamasa yang panjang.

Bentuk ikatan yang mampu mengikat kukuh sekumpulan manusia (baca: masyarakat) adalah ikatan yang lahir dari sebuah mabda (ideologi). Hanya ideologi Islam yang terbit daripada akidah berperanan sebagai sebuah ikatan yang lengkap tanpa mengira etnik, bahasa, status sosial, kebudayaan manusia dan lain-lain perbezaan. Inilah yang telah terbukti di dalam lipatan sejarah Islam selama 13 abad lamanya. Negara Islam yang bermula di Madinah yang terletak diwilayah Hijaz terdiri dari penduduk berbangsa Arab. Ketika kota Konstantinople dibawah kekuasaan empayar Rom Byzantium, Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud bahawa umat Islam akan menguasai kota Konstantinople (Istanbul) pada suatu zaman selepas kewafatan baginda. Umat Islam yang membuka kota Konstantinople bukanlah merupakan bangsa Arab, tetapi merupakan bangsa Turki yang berasal dari Asia Tengah. Sebahagian besar sejarah Khilafah Islam berlangsung di luar tanah Arab, seperti Khilafah Umaiyyah yang asalnya dari wilayah empayar Rom Byzantium, Khilafah Abbasiyyah asalnya dari wilayah empayar Parsi, dan Khilafah Uthmanyiyyah yang juga merupakan asalnya empayar Rom Byzantium. Ini membuktikan walaupun berlainan bangsa tetapi dengan aqidah Islam mereka dapat bersatu memerintah dunia.

Menyedari hakikat kekuatan akidah Islam, para penjajah Eropah khususnya British dan Perancis telah sedaya upaya untuk menyuntik virus nasionalism (keterikatan atas dasar bangsa) ke dalam pemikiran umat Islam. Akibatnya tercetuslah puak pemberontak Arab badwi di Najd telah memisahkan diri mereka dairpada Khilafah Uthmaniyyah dengan menubuhkan negara Arab Saudi pada tahun 1932 yang sebahagian besarnya dibantu oleh British. Begitu juga beberapa buah negara rantau Arab yang lain yang diperintah oleh sistem beraja seperti di Arab Saudi, Irak, Syria, Mesir dan Jordan yang telah wujud dari akar nasionalism Arab. Juga menyedari usaha umat Islam kearah penyatuan umat Islam untuk mengembalikan semula Khilafah Islam, para penjajah Eropah dan Amerika akan menggunakan pendekatan yang sama untuk memastikan Khilafah yang dijanjikan kembali oleh Rasullullah (SAW) tidak akan bangkit semula memerintah dunia ini.

Rujukan:

[1] https://malaysianaccess.com/impian-kemerdekaan-catalonia-satu-iktibar-buat-malaysia/