Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

Kemarau di Somalia: bukti nyata kegagalan dan pengkhianatan pemimpin dunia Islam

Kemarau di Somalia

Ekoran kemarau yang berpanjangan, lebih 6.2 juta penduduk termasuk 70,000 kanak-kanak sedang berhadapan dengan mengalami masalah kebuluran dan kekurangan zat makanan di Somalia sekarang.

Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO) melaporkan yang Somalia bakal berdepan dengan risiko kebuluran yang ketiga dalam tempoh 25 tahun. Keadaan menjadi semakin buruk dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini akibat ketiadaan hujan. Kali terakhir negara tersebut berdepan dengan krisis kebuluran adalah pada tahun 2011 yang mengorbankan hampir 260,000 nyawa.

Fasiliti kesihatan yang ada di Somalia sudah tidak mencukupi bagi menampung peningkatan kemasukan kanak-kanak yang mengalami masalah malnutrisi yang teruk. Daily Mirror melaporkan bahawa berlaku peningkatan sekali ganda dari segi jumlah kemasukan pesakit tersebut pada bulan Februari berbanding Januari.

Dalam pada itu, badan kebajikan ‘Save the Children’ mendakwa bahawa dunia telah mengulangi kesilapan yang sama seperti yang dilakukan semasa krisis kebuluran yang melanda pada 2016 kerana lewat bertindak. Setakat ini, jumlah bantuan kemanusiaan yang disalurkan hanyalah sebanyak $100.6 juta daripada $865.3 juta yang dipohon oleh PBB bagi menangani krisis yang melanda negara tersebut [Financial Times, 9/3/2017]. Selain daripada Somalia, Yaman, Nigeria dan Sudan Selatan turut berdepan dengan krisis yang sama sekiranya tiada tindakan yang diambil bagi menanganinya.

Dunia seakan-akan memandang sepi krisis yang melanda negara-negara tersebut. Lebih memilukan apabila para penguasa Muslimin bukan sahaja gagal menunaikan kewajipan dalam menghulurkan bantuan yang mencukupi di saat mereka memerlukan, bahkan mereka memburukkan lagi keadaan. Misalnya, operasi ketenteraan di Yaman yang diterajui oleh Arab Saudi telah mengorbankan lebih 4,000 orang serta mengakibatkan 2.2 juta penduduk Yaman terpaksa mencari perlindungan dan berdepan dengan ancaman penyakit serta malnutrisi.

Nasib yang menimpa umat Islam kini jauh berbeza sewaktu Khilafah memayunginya. Semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab sebagai contoh, Madinah telah dilanda kemarau dan mengalami kekurangan makanan. Pada waktu itu, Khalifah Umar telah memerintahkan agar bekalan makanan dibawa masuk ke Hijaz dari wilayah-wilayah lain yang tidak terjejas seperti dari Mesir dan Syria. Pada masa yang sama, perbendaharaan negara dibelanjakan untuk membeli dan menyediakan makanan kepada penduduk Madinah.

Begitu juga dengan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Meskipun masa pemerintahannya cukup singkat, iaitu hanya 2 tahun lebih sahaja, namun umat Islam di pelbagai wilayah terus mengecapi kesejahteraan yang luar biasa di zamannya. Ibnu Abdil Hakam (Sirah Umar bin Abdul Aziz) meriwayatkan, Yahya bin Said, seorang petugas zakat masa itu, berkata, “Saya pernah diutus Umar bin Abdul Aziz untuk memungut zakat ke Afrika. Setelah memungutnya, saya bermaksud memberikannya kepada orang-orang miskin. Namun, saya tidak menjumpai seorang miskin pun. Umar bin Abdul Aziz telah menjadikan setiap individu rakyat pada waktu itu berkecukupan.”.

Memang kejadian seperti kemarau atau lain-lain bencana alam ditentukan oleh Allah SWT. Namun, tanggungjawab bagi pemerintah Muslim adalah untuk melakukan persediaan dan bertanggungjawab untuk menguruskan kejadian ini agar umat Islam dapat menghadapi suasana ini dengan sebaiknya.

Apa yang kita saksikan kini ialah kegagalan dan pengkhianatan pemimpin yang terang lagi nyata. Di saat umat Islam berhadapan dengan kebuluran, para penguasa tenggelam dalam kemewahan dan pembaziran yang melampau-lampau, Somalia dilihat sebagai krisis luar yang tidak perlu diambil peduli. Walaupun bencana ini telah beberapa kali berlaku, namun sikap penguasa tetap seperti itu. Sayangnya masih ramai umat Islam yang tidak sedar dan sanggup memilih atau berada di bawah kepimpinan penguasa yang mengkhianati Allah, RasulNya dan kaum Mukminin ini.