Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

Kegagalan dan Kerosakan Demokrasi (Siri 2 – Akhir)

…sambungan

Rosaknya Idea Kebebasan

Di antara bencana paling mengerikan yang menimpa seluruh umat manusia, ialah idea kebebasan individu yang dibawa oleh demokrasi. Idea ini telah mengakibatkan pelbagai malapetaka secara universal, serta memerosotkan darjat dan martabat masyarakat di negeri-negeri demokrasi sampai ke darjat yang lebih hina daripada segerombolan binatang!

Idea kebebasan kepemilikan (freedom of ownership) dan oportunisme yang dijadikan sebagai tolok ukur perbuatan, telah mengakibatkan lahirnya para kapitalis (pemilik modal yang besar). Mereka ini memerlukan bahan-bahan mentah untuk menjalankan industri mereka dan memerlukan pasar-pasar konsumtif untuk memasarkan produk-produk industri tersebut. Hal inilah yang telah mendorong negara-negara kapitalis untuk bersaing satu sama lain bagi menjajah bangsa-bangsa yang mundur, menguasai khazanahnya, memonopoli kekayaan alamnya serta menghisap darah bangsa-bangsa tersebut dengan cara yang sangat bertentangan dengan seluruh nilai kerohanian, akhlak dan kemanusiaan.

Keserakahan dan kerakusan yang luar biasa dari negara-negara kapitalis itu, kekosongan jiwa mereka daripada nilai-nilai kerohanian, akhlak dan kemanusiaan serta persaingan di antara mereka untuk mencari harta yang haram, telah membuatkan darah bangsa-bangsa terjajah menjadi barang dagangan. Faktor-faktor tersebut juga telah mengakibatkan berkobarnya fitnah dan peperangan di antara bangsa-bangsa terjajah, sehingga negara-negara kapitalis tersebut dapat menjajakan produk-produk industri mereka dan dapat mengembangkan industri-industri ketenteraan mereka yang menghasilkan keuntungan yang besar.

Sungguh betapa banyak hal yang memualkan, yang selalu menjadi bahan laungan negara-negara demokrasi penjajah yang tidak tahu malu itu. Amerika, Britain dan Perancis misalnya,  selalu sahaja melaungkan nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia (HAM) di mana-mana. Padahal pada waktu yang sama merekalah yang memijak-mijak seluruh nilai kemanusiaan dan akhlak, mencampakkan seluruh hak asasi dan menumpahkan darah pelbagai bangsa di dunia. Krisis-krisis di Palestin, Asia Tenggara, Amerika Latin, Afrika Tengah dan Afrika Selatan, adalah bukti paling nyata yang menampar wajah mereka dan menjelaskan sifat mereka yang sangat pendusta dan tidak tahu malu itu!

Adapun idea kebebasan bertingkah laku (personal freedom), sesungguhnya telah memerosotkan martabat pelbagai masyarakat yang mempraktikkan demokrasi sampai pada darjat masyarakat binatang yang sangat rendah. Idea itu juga telah menyeret mereka untuk mengambil gaya hidup serba-boleh (permissiveness) yang najis, yang bahkan tidak dijumpai dalam kehidupan antara sesama binatang. Maha Benar Allah SWT yang berfirman :

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَخَذَ إِلـهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُوْنُ عَلَيْهِ وَكيْلاًأَمْ تَحْسَبُ أَنَّ أَكْثَرَهُمْ يَسْمَعُوْنَ أَو يَعْقِلُوْنَ إِنْ هُمْ إلاَّ كَالأَنْعَام بَلْ هُمْ أَضَلُّ سَبِيْلاً 

“Terangkanlah kepadaKu tentang orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya ? Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami? Mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (daripada binatang ternak itu)” [Al-Furqan (25):43-44].

Dalam masyarakat demokrasi, hubungan  seksual menjadi aktiviti yang sah-sah  sahaja – seperti halnya meminum air – kerana telah disahkan oleh undang-undang yang ditetapkan oleh parlimen negeri-negeri tersebut dan direstui oleh para tokoh gerejanya. Peraturan tersebut membolehkan hubungan seksual dan pergaulan lelaki-perempuan dengan sebebas-bebasnya bila masing-masing telah berumur 18 tahun. Negara dan orang tua tidak mempunyai hak sedikit pun untuk mencegah segala perilaku seksual tersebut.

Undang-undang itu ternyata tidak sekadar membenarkan hubungan seksual dengan lawan jenis, tetapi lebih daripada itu telah membolehkan hubungan seksual sesama jenis. Bahkan beberapa negeri demokrasi telah mengesahkan perkahwinan antara dua jantina yang sama, yakni lelaki dibolehkan berkahwin sesamanya, dan wanita dibolehkan berkahwin sesamanya.

Kerana itu di antara fenomena yang dianggap wajar dan biasa dalam masyarakat demokrasi ialah, anda akan menyaksikan – di jalan-jalan, taman-taman, stesen bas dan di dalam kereta api – para pemuda dan pemudi saling berciuman, berpelukan, serta bercumbu. Semua ini mereka lakukan tanpa rasa malu atau tak selesa sedikit pun, kerana perilaku semacam itu sudah dianggap wajar dan biasa-biasa sahaja oleh mereka.

Begitu pula sudah dianggap biasa kalau para wanita Barat menunggu matahari terbit pada musim panas dengan cara  berbaring di taman-taman  dengan tanpa memakai seurat benang pun – persis seperti keadaan mereka dilahirkan oleh ibu-ibu mereka – atau dengan hanya menutup dengan secarik kain bahagian tubuh mereka yang paling vital. Juga sudah dianggap biasa para wanita di sana pada musim panas berjalan-jalan di tempat-tempat awam dengan tubuh yang nyaris bogel.

Pelbagai perilaku seksual yang menyimpang dan abnormal telah menyelimuti masyarakat demokrasi yang bejat ini. Perilaku seksual antara sesama lelaki (homoseksual), sesama wanita (lesbianisme) merupakan perkara biasa, malah disahkan oleh undang-undang. Hatta pemuasan seksual dengan binatang (bestiality) pun turut terjadi dalam masyarakat demokrasi. Perilaku seksual secara beramai-ramai juga merupakan fenomena biasa, sebuah perilaku yang tidak akan dijumpai dalam kandang-kandang binatang ternak sekalipun. Begitu juga dengan perilaku seksual dalam kalangan keluarga sendiri (incest), baik dengan ibu bapa, anak-anak mahupun adik-beradik merupakan fenomena yang wujud dengan begitu banyak sekali dalam masyarakat yang mengamalkan demokrasi.

Perilaku serba boleh gaya binatang inilah yang telah menyebarluaskan pelbagai penyakit kelamin – yang paling mematikan ialah AIDS – dan juga telah menghasilkan ramai anak zina, yang di sesetengah negara statistiknya jauh melebihi anak yang lahir daripada perkahwinan yang sah.

Dalam masyarakat demokrasi, institusi keluarga benar-benar telah hancur berantakan. Sudah menjadi pemandangan biasa, jika terdapat puluhan malah ratusan warga tua yang berjalan-jalan di sesebuah taman hanya bertemankan anjing masing-masing. Binatang inilah yang menemani kaum lanjut usia itu di rumah, di meja makan, bahkan di tempat tidur mereka! Anjing-anjing itu menjadi sahabat mereka dalam kehidupan seharian, malah mereka menyayangi anjing-anjing tersebut lebih daripada ahli keluarga mereka sendiri yang sudah tidak menghiraukan mereka.

Itulah beberapa contoh kerosakan yang dihasilkan oleh nilai-nilai demokrasi, khususnya idea kebebasan individu yang selalu mereka agung-agungkan itu. Itulah juga salah satu bentuk dan penzahiran peradaban mereka yang sentiasa mereka banggakan, bahkan mereka jaja dan sebarluaskan ke seluruh pelosok dunia. Tujuannya tidak lain agar seluruh dunia ikut terjerumus ke dalam peradaban mereka yang sangat buruk itu. Kebejatan-kebejatan tersebut tidak mempunyai makna apa-apa, kecuali menunjukkan kerosakan, keburukan dan kebusukan demokrasi.

Beberapa kegagalan, kerosakan dan keburukan demokrasi tersebut dapat disimpulkan sebagai berikut:

  1. Masyarakat demokrasi Barat telah bejat sedemikian rupa, hingga terperosok ke darjat yang lebih rendah daripada binatang, malah kebejatan mereka sampai ke tahap yang tidak pernah dijumpai dalam komuniti binatang ternak sekalipun. Hal ini akibat kehidupan bebas dan liar yang terhasil daripada idea kebebasan bertingkah laku.
  1. Penjajahan Barat yang kononnya mengamalkan demokrasi itu telah nyata-nyata menimbulkan pelbagai krisis, bencana dan penghisapan darah bangsa-bangsa yang terjajah dan terkebelakang yang dijajahinya; dengan cara merompak sumber alam, merampas kekayaan mereka, menyengsarakan penduduk dan menghina rakyatnya, serta menjadikan negeri-negeri mereka sebagai pasar konsumtif bagi industri dan produk Barat.
  1. Demokrasi dalam ertinya yang sebenar tidak mungkin diterapkan. Bahkan dalam pengertiannya yang baru, sesudah ditakwilkan, tetap tidak sesuai dengan fakta dan tidak akan wujud dalam kenyataan.
  1. Pendustaan dan kebohongan para penganut demokrasi telah nyata. Mereka mendakwa bahawa parlimen adalah wakil daripada kehendak umum masyarakat, merupakan manifestasi kehendak umum majoriti rakyat, dan mewakili pendapat majoriti, kesemuanya merupakan pembohongan yang nyata. Telah nyata pula pendustaan mereka yang mendakwa bahawa undang-undang yang dibuat di parlimen ditetapkan berdasarkan majoriti suara wakil rakyat yang mengekspresikan kehendak majoriti rakyat, sedangkan kesemuanya adalah kehendak parti atau ketua parti mereka. Begitu pula betapa nyata pendustaan mereka yang mendakwa bahawa para penguasa dipilih oleh majoriti rakyat serta dia mengambil kekuasaannya daripada rakyat, sedangkan hakikatnya penguasa itu dipilih oleh ahli-ahli parti yang menang, tanpa mengambil kira suara rakyat sedikit pun.
  1. Gagalnya sistem demokrasi telah jelas, khususnya dalam aspek yang terkait dengan kekuasaan dan para penguasa dalam sesebuah negara yang tidak terdapat parti-parti besar untuk membentuk majoriti di dalam dewan perwakilan.

Ya, meskipun semua keburukan tersebut telah terjadi, namun Barat yang kafir ternyata telah mampu memasarkan idea-idea demokrasi yang rosak itu di negeri-negeri Islam, kerana kaum Muslimin sendirilah yang menerimanya!