Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

IKCKL 2017 anjuran HTM berjalan lancar

KUALA LUMPUR 9 Disember – Buat julung-julung kalinya, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) dengan kerjasama Khilafah Centre telah menganjurkan International Khilafah Conference Kuala Lumpur 2017 (IKCKL 2017) bertempat di Hotel Le Quadri, semalam. Dianggarkan sejumlah 1200 orang memenuhi dewan bagi mengikuti IKCKL yang membawakan tema “Demokrasi Sistem Gagal, Khilafah Solusi Tunggal”. Konferens ini turut disiarkan secara langsung melalui laman Facebook rasmi Hizbut Tahrir Malaysia.

Sebelum majlis membuka tirai secara rasmi, hadirin dan hadirat dihidangkan dengan tayangan video yang memaparkan realiti umat Islam di seluruh dunia pada hari. Majlis kemudian bermula dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan seterusnya disusuli dengan watikah pembukaan oleh pengarah program, Sdr Wan Hisham Wan Salleh yang menjelaskan sekitar tema “Demokrasi Sistem Gagal, Khilafah Solusi Tunggal” dan kewajaran ia dipilih sebagai tema konferens.

Sesuai dengan tema dan sifatnya sebagai “konferens antarabangsa”, HTM mendatangkan pembicara dari negara-negara luar seperti Amerika Syarikat, Australia, Turki, Palestin dan Lebanon, yang dijemput khas bagi membentangkan fakta dan hujah mengenai demokrasi dan Khilafah.

Pembicara pertama, Dr. Muhammad Abu al-‘Ain (Ketua Lajnah Tsaqafiyyah HTM) membentangkan pengertian dan hakikat demokrasi menurut pandangan Hizbut Tahrir. Beliau menekankan bahawa demokrasi merupakan sebuah sistem buatan manusia yang berasal dari Barat yang membenarkan manusia membuat hukum (undang-undang), dengan mengambil hak Allah SWT sebagai Musyarri’ (Pembuat hukum). Atas dasar itulah Hizbut Tahrir menjelaskan bahawa demokrasi adalah sistem kufur dan haram untuk umat Islam mengambilnya, menerapkannya dan menyebarluaskannya.

Majlis diteruskan dengan pembicara kedua, Mahmut Kar (Ketua Maktab I’lamiy, Hizbut Tahrir Turki) yang membongkar kepalsuan dan memaparkan bukti kegagalan demokrasi di peringkat global, khususnya di negara-negara penyebar demokrasi itu sendiri seperti Amerika Syarikat dan Britain. Beliau turut membuktikan bagaimana demokrasi yang hakikatnya tidak memberikan kebaikan kepada dunia Islam, bahkan mendatangkan kerosakan demi kerosakan kepada umat Islam dan dunia Islam.

Pembicara ketiga, Wassim Dourehi yang juga merupakan anggota Maktab I’lamiy Hizbut Tahrir Australia, menjelaskan betapa demokrasi dijadikan sebagai alat penjajahan oleh Barat ke atas umat Islam agar umat ini berterusan diperhambakan. Beliau turut membongkar pembohongan-pembohongan di sebalik usaha Barat menyebarkan idea demokrasi ke dalam dunia Islam. Beliau kemudiannya menjelaskan bahawa demokrasi ibarat pisau belati yang digunakan untuk menusuk keimanan orang Islam dan menjauhkan umat ini daripada ke-Islaman mereka. Wassim menjelaskan kerosakan demokrasi, sebagai seorang Muslim yang lahir dan membesar dalam sistem tersebut di negara Barat yang didiaminya.

Haitham yang mewakili Hizbut Tahrir Amerika pula menarik perhatian hadirin untuk sama-sama melihat realiti yang berlaku di sekeliling mereka dari perspektif yang lebih jernih. Beliau menjelaskan dampak demokrasi ke atas umat Islam dan bagaimana ia menjadi senjata Barat dalam memecah-belahkan umat Islam dan mendominasi kaum Muslimin dengan pemikiran dan kehendaknya.

Sheikh Issam Amira, pembicara kelima yang mewakili Hizbut Tahrir Palestin memberikan penekanan bahawa kemuncak kepada kesemua musibah yang menimpa kita hari ini bertitik-tolak daripada sistem pemerintahan yang mengatur manusia. Bekas Imam di Baitul Maqdis itu menyeru agar umat Islam bersama-sama Hizbut Tahrir untuk menegakkan Khilafah yang merupakan satu-satunya solusi bagi menamatkan hegemoni Barat ke atas umat Islam dan wilayah kaum Muslimin.

IKCKL 2017 dihangatkan lagi dengan pembentangan oleh pembicara keenam, Abdul Hakim Othman yang mengupas tentang thalabun nusrah, sebagai thariqah (jalan) yang diambil oleh Hizbut Tahrir untuk mendirikan Daulah Khilafah. Jurucakap HTM itu menegaskan bahawa thalabun nusrah merupakan satu-satunya thariqah yang syarie untuk menegakkan Negara Islam kerana hal itu dilakukan oleh Rasulullah SAW, yang wajib diikuti oleh umat Islam sebagai hukum syarak, bukan difahami sebagai sirah (sejarah) semata-mata.

Konferens kemudian diteruskan dengan pembicara terakhir, Dr. Osman Bakhash yang juga Pengarah Maktab I’lamiy Pusat, Hizbut Tahrir yang menjelaskan kepada hadirin bahawa Hizbut Tahrir telah pun bersedia untuk menyatukan umat ini yang telah sekian lama dipecah-belahkan di bawah sistem kufur. Menurutnya, Hizbut Tahrir telah menunjukkan dengan jelas perancangan terperinci ke arah penerapan hukum Allah SWT di bawah Daulah Khilafah sejak awal penubuhannya lagi. Beliau selanjutnya mengajak agar umat bersama-sama memikul tanggungjawab mengembalikan semula Khilafah, di samping menyeru agar para tentera untuk memberikan nusrah (pertolongan) kepada Hizbut Tahrir agar sistem Khilafah dapat direalisasikan.

Konferens ini kemudiannya ditutup dengan bacaan doa sebelum para hadirin mengarakkan al-liwa dan ar-rayah gergasi yang didatangkan khas dari Indonesia di penghujung majlis.