Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

Diskusi Intelektual 2017 sempena Kempen Cabaran Wanita Pasca Modenisasi

Pada 8hb Oktober 2017 bersamaan dengan 17 Muharram 1439H bertempat di Hotel Grand Pacific Kuala Lumpur, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) telah menganjurkan Diskusi Intelektual 2017 sempena Kempen Cabaran Wanita Pasca Modenisasi. Acara ini menghimpunkan para intelektual dari pelbagai bidang seperti perubatan, pergigian, kejuruteraan, pengamal media, pendidikan, pengurusan dan sebagainya.

Diskusi yang berlangsung selama empat jam ini diadakan dalam tiga pusingan dan turut menampilkan tiga orang pembentang dalam setiap pusingan. Pusingan pertama bertemakan “Paradigma Di Sebalik Pasca Modenisasi” disampaikan oleh Dr. Ummu Sumayyah Ammar (Ketua Muslimah HTM). Dr Ummu Sumayyah membentangkan lintasan sejarah dunia bermula era kebangkitan revolusi Eropah yang membawa era penjajahan ke negara lain untuk mencari tapak pasaran baru dan mencari bahan mentah. Penjajahan ini membawa bersama idea-idea kebebasan seperti Islam moderat, Feminisme, Hak Asasi Manusia dan yang terkini menular pemikiran LGBT dan liberalisme ke seluruh dunia atas nama kemodenan.

Manakala dalam pusingan kedua, Pn Shifa Buhari (Ahli Lajnah Fa’aliyat MHTM) telah membentangkan tema diskusi “Cabaran Wanita Pasca Modenisasi”. Puan Shifa telah memaparkan realiti lima cabaran utama yang terpaksa dihadapi oleh kaum wanita pada masa kini. Diantaranya adalah pelbagai kemelut yang menyengsarakan terpaksa dihadapi oleh wanita dalam bidang ekonomi yang terpaksa bekerja selama 20 hingga 35 tahun untuk membantu menafkahi keluarga. Kemelut ini turut memberi impak besar kepada pengasuhan generasi apabila mereka menjadi mangsa yang sering terabai dan mangsa penderaan akibat tekanan hidup. Turut dibincangkan adalah aspek sosial yang juga memperlihatkan peningkatan statistik permasalahan sosial dalam kalangan remaja. Saban minggu, berita memaparkan gejala kerosakan syakhsiyyah masyarakat memenuhi ruang media.

Kedua-dua isu yang diketengahkan dalam pusingan pertama dan kedua ini mendapat reaksi aktif dari para peserta yang turut menyuarakan kebimbangan terhadap realiti pelbagai masalah yang sedang melanda wanita sebagai ibu dan pendidik generasi.

Agenda diskusi semakin rancak dibincangkan sehingga ke pusingan terakhir. Pembentang ketiga Dr. Aslam Diyana Selamat (Pimpinan Pusat MHTM) dengan tajuk “Islam Mengubah Dunia” telah membongkar bagaimana realiti cabaran wanita boleh diubah dengan implementasi hukum Syariah secara menyuruh melalui institusi negara Islam.

Alhamdulillah, hasil daripada diskusi yang telus ini, kata putus secara sebulat suara disepakati bahawa Syariah Allah SWT hanya akan tertegak dengan penerapan 3 fungsi Syarak iaitu:

(1) Ketakwaan individu untuk mencegah diri daripada kejahatan;

(2) Kawalan masyarakat yang bekerjasama dalam amar makruf nahi mungkar; dan

(3) Negara yang menerapkan semua sistem Islam berlandaskan akidah dan ideologi Islam yang unggul.

Diskusi diakhiri dengan acara khas iaitu penandatanganan memorandum persefahaman oleh semua tokoh yang hadir. Semoga dengan usaha kecil sebahagian golongan intelektual bersepakat ke atas pentingnya syariat Islam sebagai pengatur cara hidup ini, akan menjadi momentum kepada kita ke arah urgensi membina masyarakat bersyaksiyyah Islam yang benar dan seterusnya menjadi titik tolak ke arah mengembalikan syariat Islam kaffah dalam kehidupan kaum Muslimin.

Wallahu a’lam.