Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

Cendekiawan Asing Berbicara Dengan Jujur Tentang Hizbut Tahrir

Cendekiawan Asing Berbicara Dengan Jujur Tentang Hizbut Tahrir

Laman sesawang “New Eurasia” telah mengeluarkan satu artikel yang ditulis oleh seorang cendekiawan yang bernama Bruno De Cordier daripada the University of Ghent di Belgium pada tanggal 16/3/2011 dengan tajuk: “Explaining the Persistence of Hizb-ut-Tahrir” (Menjelaskan Kegigihan Hizbut Tahrir).

Bruno memulai artikelnya dengan sebuah catatan hasil penelitiannya tentang Hizbut Tahrir, di mana dia mengatakan bahawa Hizbut Tahrir sebagai kelompok fundamentalis yang mungkin paling banyak dilarang secara rasmi di kawasan Asia Tengah dan di tempat-tempat lain. Namun, walau pun Hizbut Tahrir mendapatkan tekanan dan kekangan di banyak tempat, Hizbut Tahrir masih aktif melakukan berbagai aktiviti dan kegiatan besar.

Dalam hal ini, Bruno sangat yakin bahawa rahsia kegigihan Hizbut Tahrir dalam beraktiviti terletak pada akidah (ideologi) yang diyakininya. Hizbut Tahrir berusaha menciptakan rasa tidak puas hati serta keinginan yang tinggi pada diri umat. Jelasnya, Hizbut Tahrir mencerminkan sebuah institusi dan sistem alternatif global.

Ketika menggambarkan Hizbut Tahrir, Bruno mengatakan bahawa Hizbut Tahrir merupakan sebuah gerakan yang sering diperkatakan. Namun untuk memberitakan serta membicarakan tentang Hizbut Tahrir dan Khilafah yang akan didirikannya masih banyak pihak yang malu dan kurang terbuka. Tambahnya lagi, agak sukar untuk menentukan jumlah yang tepat anggota Hizbut Tahrir di dunia, atau sejauh mana penyebarannya di negeri-negeri Islam, khususnya di negara-negara seperti Uzbekistan dan Libya ketika ini. Hanya saja, ia mengakui bahawa ada penerimaan yang luar biasa terhadap idea-idea Hizbut Tahrir. Bahkan Hizbut Tahrir mampu dan tetap teguh meski pun berulang kali menghadapi berbagai tekanan dan penindasan.

Selanjutnya Bruno mengatakan tentang alasan dan sikap Hizbut Tahrir yang berusaha menciptakan ketidakpuashatian serta keinginan yang tinggi pada diri umat, bahawa apa yang diperjuangkan Hizbut Tahrir ini merupakan penyelesaian yang hakiki terhadap berbagai masalah ekonomi, politik dan sosial yang terjadi di dunia. Bahkan ia menilai solusi yang ditawarkan oleh Hizbut Tahrir ini sebagai solusi yang terbaik berbanding solusi yang ditawarkan oleh pelbagai organisasi hak asasi manusia.

Berkenaan hal tersebut, Bruno memetik buku “The Emerging World Order and The Islamic Khilafah State” (Munculnya Kekuatan Besar dan Negara Khilafah Islam) yang ditulis oleh salah seorang aktivis Hizbut Tahrir di laman sesawang “khilafah.com”. Bruno mengatakan bahawa dalam setiap perbahasan di dalam buku tersebut selalu diperkuat dengan ungkapan ayat-ayat dari al-Quran dan al-Hadits, serta ucapan ahli falsafah Barat, di samping berbagai data statistik. Penulis buku itu memfokus kepada pembentukan geostrategi di negeri-negeri kaum Muslim dan pembahagiannya dari aspek sumber daya alam, berbagai potensi ekonomi, industri, kekuatan ketenteraan, faktor penduduk (demografi) dan ideologi  yang akan membentuk kekuatan besar dalam “new world order” (kuasa besar dunia). Berdasarkan pemahaman Hizbut Tahrir, kekuatan besar itulah yang akan menghentikan dan mengakhiri hegemoni Barat yang telah lama merosakkan negeri-negeri kaum Muslimin.

Sementara itu, masalah utama yang menghalang kemampuan potensi-potensi tersebut, adalah sebagaimana yang terdapat di dalam buku tersebut iaitu terpecahnya kaum Muslimin sehingga menjadi 56 negara kecil. Dan keadaan inilah yang menyebabkan munculnya penjajahan, pencerobohan, perpecahan serta penerimaan idea-idea sekuler seperti nasionalisme, sosialisme dan kebebasan. Sedangkan para penguasa di negara-negara ini adalah para penjahat, kerana mereka hanya melaksanakan polisi untuk melayani kepentingan Barat sahaja.

Kemudian Bruno mengatakan bahawa Khalifah dalam pandangan Hizbut Tahrir perlu dipilih oleh rakyat. Khalifah adalah pemimpin di dunia yang akan menerapkan Islam. Khalifah adalah manusia biasa yang mungkin sahaja melakukan kesalahan. Ini berbeza dengan pemahaman sebahagian besar orang bahawa Khalifah (yang akan dibai’at kelak) adalah Imam Mahdi.

Selanjutnya, Bruno mengakui bahawa berdirinya institusi besar yang terbentang dari Rabat sehingga Mindanao (kota terbesar di Filipina) ini merupakan sesuatu yang realistik. Justeru ia mempersoalkan dan menolak anggapan sebahagian orang yang mengatakan bahawa “ideologi Hizbut Tahrir ini tidak berpijak di bumi yang nyata”.

Dalam penelitiannya mengenai situasi yang berlaku di negara-negara Arab, ia mengatakan bahawa kegagalan rejim-rejim tersebut sangat berpengaruh dalam dunia Islam, di mana hal ini berbeza dengan apa yang diinginkan oleh Hizbut Tahrir. Ia menambahkan bahawa revolusi Arab yang sedang berjalan ini didorong oleh kegagalan dan ketidakadilan sosial, melebihi dorongan ideologi sehingga tidak banyak yang mengatakan bahawa revolusi ini akan membantu penyebaran agenda Islam. Meski begitu, Hizbut Tahrir melihat revolusi ini dengan gambaran yang berbeza dan menganggapnya sebagai perkembangan yang memberangsangkan dalam usaha melawan para rejim yang didokong Barat seperti Presiden Mubarak; dan melawan pihak yang menentang Islam seperti Gaddafi yang telah menzalimi kaum Muslim untuk waktu yang lama. Bahkan Hizbut Tahrir merasa bahawa hancurnya rejim-rejim ini bererti terbukanya berbagai peluang baru baginya untuk mendiskusikan idea Khilafah dengan cara yang lebih terbuka.

Dan dalam hal ini dapat difahami dengan jelas, bahawa munculnya rasa tidak puas hati sehingga tercetusnya revolusi ini adalah disebabkan oleh polisi neo-liberal. Sehingga konsep “westernisasi” dan “modernisasi” dipandang sebagai sebahagian daripada masalah, dan bukannya solusi.

Bruno mengatakan bahawa konsep Negara Khilafah Islam yang berkait erat dengan perjuangan Hizbut Tahrir, tidak menunjukkan bahawa Negara Khilafah Islam menolak pencapaian teknologi moden, akan tetapi ingin menempatkan pencapaian teknologi moden ini pada tempatnya, yang mana Hizbut Tahrir melihat ianya sebagai sebuah pembebasan daripada Barat, dan kemajuan di dunia Islam. Bahkan Hizbut Tahrir berusaha untuk menjernihkan kerangka ideologi global dan menciptakan kesedaran melalui penggunaan media moden dan teknologi komunikasi, di samping jaringan global, serta falsafah politik masa kini.

Tambahnya lagi, ketika memerhatikan pemahaman Hizbut Tahrir terhadap Islam dan pandangannya terhadap sistem sosial alternatif, maka akan ditemui bahawa Hizbut Tahrir melakukannya melalui analisis yang praktikal terhadap berbagai peristiwa yang terjadi. Bruno melontarkan sebuah catatan, bahawa ada seorang penulis kerana tidak dapat membezakan antara peradaban (hadharah) dan budaya (madaniyah), maka ia mengatakan bahawa Hizbut Tahrir itu anti dan melawan modernisasi. Padahal pada faktanya bahawa Hizbut Tahrir itu adalah sangat moden. Hizbut Tahrir begitu banyak menggunakan internet dan berbagai jaringan media komunikasi sosial, sehingga ini bukti bahawa Hizbut Tahrir itu anti dan melawan modernisasi sangat jauh dari kebenaran.

Bruno mengatakan bahawa konsep Khilafah yang diperjuangkan Hizbut Tahrir berbeza dengan apa yang ia fikirkan. Hizbut Tahrir memiliki pemahaman yang istimewa tentang perlunya kesatuan ekonomi yang nyata di dalam dunia Islam. Ini kerana kewujudan Liga Arab, Dewan Kerjasama Negara Teluk (GCC), dan Organisasi Kerjasama Ekonomi tidak mampu menghasilkan perubahan yang nyata, kerana mereka semua korup, dikendalikan oleh pemerintah dan rejim yang memusuhi Islam, serta rejim-rejim ini tunduk kepada agenda negara-negara besar. Kewujudan semua ini dinilai sebagai masalah utama di dunia Islam. Lebih dari itu, Hizbut Tahrir menyerukan penghapusan sempadan antara negara-negara dan masyarakat.

Sekali lagi, Bruno menegaskan bahawa Hizbut Tahrir bukanlah sesuatu organisasi yang naïf. Hal ini kerana Hizb menginginkan wujudnya kesatuan dan tujuan yang sama di dunia Islam dan ini merupakan perkara yang sangat diperlukan. Dan sebagai sebuah gerakan, Hizbut Tahrir tidak memiliki wilayah tertentu. Hizbut Tahrir menonjolkan dirinya dengan berbagai aktiviti. Hizbut Tahrir beraktiviti untuk menyatukan identiti, kesamaan tujuan dan penyatuan daerah dalam aktivitinya. Tambahnya lagi, dari sisi lain dan dari sudut pandangannya ia melihat bahawa Hizbut Tahrir tidak kelihatan melakukan aktiviti gerakan massa, dan bukanlah berusaha untuk mendirikan Khilafah dari “zero”, atau dari tiada apa-apa. Hizbut Tahrir sebagai sebuah gerakan ingin menggerakkan dan menyebarkan idea-ideanya di antara kelompok-kelompok sosial masyarakat dan pelbagai institusi. Bahkan Hizbut Tahrir dengan tegas mensasarkan elemen-elemen masyarakat yang mempunyai pengaruh, dan kekuatan yang berpengaruh yang diperlukan untuk menciptakan perubahan, seperti angkatan bersenjata, badan-badan perisik dan para ahli profesional.

Bruno menutup artikelnya dengan mengatakan bahawa Hizbut Tahrir mewujudkan suasana bahawa Negara Khilafah yang merupakan rujukan dan pemilik kekuatan akan berdiri kembali untuk melindungi dunia Islam. Pada masa yang sama, Organisasi Konferensi Islam (OIC) yang menurut sebahagaian besar dunia Islam memiliki kemampuan untuk melindungi dunia Islam, ternyata tidak memainkan sebarang peranan. Begitu juga ketika seorang pemimpin seperti Saddam Hussein dan Gaddafi cuba memainkan “nada muzik” Islam melalui rejim sekularnya untuk menggerakkan massa, kini telah jelas bahawa mereka hanyalah para oportunis. Oleh kerana itu, katanya, dari apa yang dilihat dalam Hizbut Tahrir dan konsep Negara Khilafah Islam yang diperjuangkannya, maka beliau yakin bahawa Hizbut Tahrir mencerminkan sebuah institusi dan sistem alternatif global.

Sumber pal-tahrir.info