Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

Bebaskan tanah suci Palestin dengan Khilafah

Tindakan Presiden Negara Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menjadikan Baitul Maqdis sebagai ibu negara haram entiti Yahudi merupakan satu tamparan yang hebat kepada seluruh umat Islam. Tamparan tersebut dapat dirasakan bergantung daripada perspektif mana isu Baitul Maqdis atau Palestin secara keseluruhannya dilihat.

Jika isu Palestin dilihat daripada perspektif kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa seliaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), maka tindakan Trump dilihat sebagai satu tindakan yang tidak berperikemanusian kerana menafikan hak rakyat Palestin untuk hidup aman dan damai seperti manusia biasa. Selain itu, tindakan tersebut juga dilihat sebagai satu bentuk pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa  dengan menafikan segala usaha yang telah dilakukan dengan sekian lama oleh masyarakat antarabangsa bagi mewujudkan keamanan di Asia Barat khususnya Palestin.

Kedua, melihat isu tersebut dari perspektif  aqidah Islam. Tanah Palestin merupakan tanah suci bagi umat Islam. Tempat di mana berlakunya Isra’ Mikraj Rasulullah SAW dan menjadi kiblat pertama bagi umat Islam. Jadi, apabila Presiden Negara Kuffar Amerika Syarikat mengisytiharkan bahawa Baitul Maqdis sebagai ibu kota negara haram entiti yahudi ianya merupakan satu bentuk penghinaan dan mencabar aqidah umat Islam. Pemimpin negara yang menjadi pembunuh ratusan ribu umat Islam di seluruh dunia, dengan angkuhnya ingin menyerahkan tanah suci umat Islam kepada entiti yahudi. Adakah ianya sesuatu yang memeranjatkan ? Sudah pasti tidak, kerana itulah sikap sebenar selama ini Amerika Syarikat ke atas umat Islam. Bagi Amerika Syarikat, Islam adalah musuh mereka. Hanya orang yang telah dibeli atau terpedaya dengan pemikiran dan propaganda kuffar barat sahaja tidak menyedari hakikat itu.

Oleh itu, bagaimana umat Islam khsususnya para pemimpin negara, para ulamak dan para cendikiawan memberikan respon terhadap tindakan Presiden Amerika tersebut bergantung bagaimana mereka melihat permasalahan Palestin. Jika mereka melihat daripada sudut pandang yang pertama, maka tindakan yang akan mereka lakukan sudah pasti terarah kepada menggunakan saluran undang-undang antarabangsa yang telah didesign atau diaturcara oleh Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa kuffar barat yang lain. Walaupun sudah sering kali umat Islam diperbodohkan dan dipermainkan oleh PBB yang menjadi kuda tunggangan Amerika Syarikat atas nama  undang-undang antarabangsa. Namun, malangnya masih ada umat Islam yang menaruh harapan dan berjuang bersungguh-sungguh membela kezaliman yang menimpa umat Islam menggunakan saluran PBB.

Sangat mudah sekali umat Islam dipermainkan dan diperbodohkan. Dengan hanya menunjukkan Amerika Syarikat ‘kalah’ dalam undian di PBB (Majoriti menolak keputusan Trump mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu kota negara haram entiti yahudi) sudah cukup untuk menghilangkan segala hipokrasi dan kezaliman PBB ke atas umat Islam selama ini. Walhal hakikatnya, ‘kekalahan’ Amerika tersebut hanyalah sandiwara biasa yang sering dilakonkan oleh badan dunia tersebut. Namun sandiwara sedemikian tetap sahaja dilakonkan kerana mereka tahu, para pemimpin umat Islam sendiri yang akan membantu menjayakan skrip sandiwara tersebut. Amerika Syarikat sejak daripada mula lagi campurtangan dalam permasalahan Palestin inginkan penyelesaian Two-State Solution (Penyelesaian Dua Negara), tidak pernah berganjak dan sentiasa berusaha ke arah tercapainya penyelesain tersebut.

Lihat sahaja apa yang telah terhasil dalam persidangan OIC di Istanbul pada 13 Disember 2017 yang lepas. Pemimpin umat Islam setelah berapi-api menunjukkan kemarahan mereka terhadap Amerika, akhirnya mereka telah mengeluarkan deklarasi yang salah satu kandungannya menerima penyelesaian dua negara (Two-State Solution)! Mengiktiraf penjajahan-penjajahan enititi yahudi ke atas tanah suci Palestin. Satu kemenangan yang terlebih dahulu dikecapi oleh  Amerika Syarikat sebelum menerima ‘kekalahan’dalam pengundian di PBB.

Umat Islam seharusnya secara ikhlas dan bersungguh-sungguh melihat permasalahan Palestin dari perspektif Islam. Tidak wajar sama sekali, bagi umat Islam yang menyedari bahawa permasalahan Palestin adalah perkara yang berkaitan dengan aqidah Islam, tetapi mengambil jalan penyelesaian yang tidak selari dengan tuntutan ajaran Islam. Umat Islam harus sedar bahawa penyelesaianya mestilah kepada akar atau punca masalah. Akar atau punca masalahnya ialah tanah suci Palestin telah dirampas atau dijajah oleh rejim zionis yahudi dengan bantuan kuasa-kuasa kuffar khususnya Amerika Syarikat. Maka penyelesaian, rejim zionis yahudi wajib dihalau keluar daripada tanah suci Palestin. Dapatkah mereka dihalau keluar dengan rundingan? Tidak sama sekali! Bahkan mereka akan menggunakan cara rundingan sebagai senjata mereka untuk terus menodai kesucian tanah suci Palestin dan membunuh umat Islam Palestin.

Sedarlah wahai umat Islam, hanya dengan jihad sahajalah tanah suci Palestin akan dapat dibebaskan daripada penjajahan dan kekejaman rejim zionis yahudi. Itulah cara yang telah dilakukan oleh Saidina Umar Al-Khattab dan Salehuddin Al-Ayubi ketika membebaskan tanah suci Palestin. Untuk itu, kita memerlukan sebuah negara Khilafah yang diperintah oleh seorang Khalifah berdasarkan hukum-hakam Islam secara keseluruhannya. Dengan adanya sebuah negara Khilafah sudah pasti jihad akan dilancarkan untuk membebaskan tanah suci Palestin.

إِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ

”Sesungguhnya al-imam (khalifah) itu perisai, dimana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan) nya.” (HR. Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud, dll).

Mus’ab
Pimpinan Pusat HTM