Hizbut Tahrir Malaysia
Laman rasmi Hizbut Tahrir Malaysia, sebahagian daripada sebuah parti politik Islam antarabangsa yang bertunjangkan mabda' (ideologi) Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah mabda'nya dalam misi mengembalikan kehidupan islam.

Kronologi

Fatwa ke atas Hizbut Tahrir dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor

17/09/2015

HTM mengadakan sidang media khas perjelas isu fatwa

04/12/2015

HTM mengadakan sidang media khas perjelas isu fatwa

Anggota HTM ditangkap JAIS

04/12/2015

Anggota HTM ditangkap JAIS

HTM serah jawapan rasmi ke jabatan mufti

28/06/2016

HTM serah jawapan rasmi ke jabatan mufti

HTM failkan semakan kehakiman

29/11/2016

HTM failkan semakan kehakiman

Laman sesawang Hizbut Tahrir disekat

17/01/2017

Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan responden memfailkan bantahan awal

25/01/2017

Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan responden memfailkan bantahan awal

Jurucakap dan tiga anggota HTM didakwa pihak berkuasa agama Selangor

28/02/2017

Muat turun fatwa kedudukan Hizbut Tahrir (PDF)
Muat turun bantahan fatwa terhadap Hizbut Tahrir (PDF)

BANTAHAN TERHADAP

FATWA KEDUDUKAN HIZBUT TAHRIR

OLEH JAWATANKUASA FATWA NEGERI SELANGOR

Allah SWT berfirman:

(إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ)

“Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah, tidak akan beruntung” [TMQ Yunus (10):69].

****

Kami telah mengkaji fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor (selepas ini dirujuk sebagai “Jawatankuasa Fatwa”) bertarikh 11 September 2015 mengenai kedudukan Hizbut Tahrir. Kami merasa sangat hairan dengan apa yang kami baca dan orang hampir tidak percaya bahawa fatwa sebegini boleh dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa! Jawatankuasa Fatwa wajib bersikap amanah dalam menukil tentang Hizbut Tahrir (Hizb), namun apa yang berlaku adalah nukilan tentang Hizb yang amat jauh berbeza dari realiti yang sebenar. Jawatankuasa Fatwa juga seharusnya merasa takut kepada Allah ketika membuat tuduhan ke atas orang, yang perniagaan dan jual beli tidak pernah melalaikan mereka daripada mengingati Allah. Jawatankuasa Fatwa telah mengeluarkan fatwa tanpa memeriksa realiti Hizb sedangkan ini merupakan peringkat yang paling awal yang harus dilalui dalam mengeluarkan apa jua fatwa! Lebih parah berbanding perkara lain, Jawatankuasa Fatwa langsung tidak menyebutkan dalil syarak berupa hukum-hakam dan langkah yang diambil di dalam fatwanya. Dengan kata lain, fatwa tersebut tersasar begitu jauh dari hukum syarak yang tiangnya adalah ketakwaan kepada Allah SWT dan rasa takut kepadaNya. Sebaliknya, ia lebih mendekati fatwa politik, penuh tipu daya dan kezaliman ke atas hamba Allahsyabab Hizbut Tahrir – yang memikul dakwah siang dan malam untuk mengajak kepada Allah dalam rangka mengembalikan kehidupan Islam, dengan jalan menegakkan Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwwah, dengan izin dan taufik daripada Allah SWT.

Mengenai realiti Hizbut Tahrir, Hizbut Tahrir adalah sebuah parti yang bersih dan jernih dari sebarang kesesatan. Tentu sahaja kami tidak mensucikan sesiapa pun di hadapan Allah SWT. Hizb sangat kuat berpegang teguh pada Islam, baik dalam persoalan akidah mahupun sistemnya. Kitab-kitabnya juga telah tersebar luas dan amat dikenali. Akidah yang diyakininya juga tertulis di dalam kitab-kitabnya dengan jelas dan nyata. Ia merupakan akidah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Hukum syarak yang menjadi pedoman Hizbut Tahrir juga dirincikan di dalam kitab-kitabnya dan digali melalui proses istinbat [ijtihad] yang sahih, dari berbagai dalil syarak.

Hizb menerima, bahkan mengajak sesiapa sahaja yang ingin mendiskusikan akidah dan hukum syarak secara terbuka agar hujah boleh bertembung dengan hujah, pemikiran dengan pemikiran, sehingga boleh menghidupkan orang yang hidup, dengan hujah, dan menewaskan orang yang rosak pemikirannya, juga dengan hujah.

Mengenai dalil syarak dan proses penggalian hukum syarak dari dalil tersebut, ia tidak termanifestasi di dalam fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa. Dalil syarak yang seharusnya dijadikan sandaran di dalam semua dakwaan yang telah disebutkan di dalam fatwa berkenaan, tidak wujud. Bahkan, fatwa tersebut merupakan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas dan jauh dari hukum syarak yang benar, sejauh Barat dan Timur. Penjelasannya adalah seperti berikut:

(1) Fatwa berkenaan menyatakan: (Fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir adalah bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah kerana mengandungi elemen-elemen seperti yang berikut:). Fatwa tersebut kemudiannya menanggapi elemen-elemen tersebut dengan mencampuradukkan antara persoalan akidah dengan hukum syarak. Ini menunjukkan bahawa Jawatankuasa Fatwa pada hakikatnya memerlukan ilmu syarak yang cukup sebelum memberikan fatwa. Bagaimanapun, kami akan meninggalkan isu ini, dan akan menjawab dakwaan ke atas Hizb satu persatu.

Jawatankuasa Fatwa menyatakan bahawa Hizb berpendapat: (Bahawa pemerintah, ahli parlimen dan para ulama Islam kesemuanya kafir serta harus diperangi kerana menerima sistem kufur; dan bahawa negara-negara Islam semuanya negara kafir kerana berhukum dengan sistem kufur dan haram menyertai sistem kerajaan sekarang).

Kami hendak bertanya kepada Jawatankuasa Fatwa, di manakah anda membaca di dalam kitab-kitab Hizb, bahawa Hizb mengkafirkan mereka, apatah lagi harus diperangi? Apakah anda tidak mempunyai rasa takut kepada Allah? Apakah anda tidak tahu, bahawa membuat tuduhan bohong terhadap hamba Allah merupakan dosa besar dalam Islam? Hizbut Tahrir tidak pernah mengkafirkan sesiapa pun orang Islam, meskipun dia fasik, kecuali dia mengengkari akidah Islam atau mengengkari hukum-hukum yang alma’lum min ad-din bi adh-dharurah. Lalu, bagaimana anda boleh membuat dakwaan tersebut tanpa berfikir terlebih dahulu? Bukankah ucapan lisan manusia itu boleh menghantarkannya ke neraka, sebagaimana dalam Hadis Nabi SAW:

«وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ فِي النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ أَوْ عَلَى مَنَاخِرِهِمْ إِلَّا حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ»

Bukankah orang-orang itu wajah dan hidungnya akan dijerumuskan ke Neraka, tidak lain disebabkan oleh hasil lisan mereka?” [HR at-Tirmidzi dalam Sunan at-Tirmidzi. Beliau berkomentar, hadis ini statusnya hasan sahih]

Tambahan lagi, di manakah anda membaca dalam kitab-kitab Hizb, bahawa Hizb menyatakan yang negara-negara Islam adalah negara-negara Kafir? Dakwaan anda ini semakin menguatkan apa yang telah kami sampaikan di atas, “Sehingga orang hampir tidak percaya, bahawa fatwa seperti ini dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa!” Nampaknya Jawatankuasa Fatwa tidak mampu mendalami makna kalimat, kerana apa yang kami nyatakan adalah bahawa negara-negara ini tidak memerintah berdasarkan apa yang Allah SWT turunkan. Kami tidak mengatakan bahawa ia adalah negara-negara Kafir. Di manakah anda membaca di dalam kitab-kitab kami, bahawa kami menyatakan negara-negara Islam itu merupakan negara-negara Kafir. Di mana? Tolong sebutkan?

Lalu, mengapa wahai Jawatankuasa Fatwa, anda memesongkan kalimat itu dari hakikat sebenarnya, sehingga anda sanggup menukil tentang kami apa yang tidak pernah kami perkatakan? Bukankah justeru wajib bagi Jawatankuasa Fatwa untuk memahami penunjukan kalimat (madlul al-kalam), baik dari aspek susunan (mabna) mahupun maknanya? Bukankah semestinya demikian?

Adapun mengenai Hizbut Tahrir tidak terlibat di dalam sistem kerajaan sekarang, jika yang dimaksudkan oleh Jawatankuasa Fatwa ialah “sistem pemerintahan”, maka jawapan kami sudah pun jelas: Sesungguhnya pemerintahan yang diwajibkan oleh Allah SWT adalah pemerintahan berdasarkan apa yang Allah SWT turunkan. Jika tidak, maka tidak boleh bergabung dengannya. Allah SWT berfirman:

(وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ)

“Dan hendaklah kamu memerintah di antara mereka berdasarkan apa yang Allah turunkan” [TMQ al-Maidah (5):49].

Jawatankuasa Fatwa turut mengatakan bahawa Hizbut Tahrir menafikan istilah al-Qadha’ wa al-Qadar. Subhanallah! Bagaimana mungkin Hizbut Tahrir mengatakan demikian, walhal al-Qadha’ wa al-Qadar merupakan pembahasan mendasar dalam kitab-kitab Hizbut Tahrir. Kami ulangi lagi soalan kepada Jawatankuasa Fatwa: Di manakah anda membaca perkara ini? Dalam kitab manakah daripada kitab-kitab Hizb yang anda telah baca, sehinggakan anda begitu berani menyebutkan dakwaan palsu ini? Kami ulangi lagi, apakah anda tidak takut kepada Allah? Apakah anda tidak bertakwa kepada Allah? Apa yang kelak akan anda jawab kepada Dzat yang Maha Pencipta, Maha Kuat dan Perkasa, di saat harta dan anak-anak tiada lagi berguna, kecuali orang yang menghadap kepada Allah dengan hati (keimanan) yang bersih? Andai sahaja Jawatankuasa Fatwa mempunyai niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah, dan mengambil pedoman Rasulullah SAW dengan benar, pasti Jawatankuasa Fatwa tidak akan sanggup membuat dakwaan palsu ini. Tambahan lagi, buku-buku Hizbut Tahrir amat mudah sekali untuk diperolehi dan ditelaah, di mana pembahasan al-Qadha’ wa al-Qadar sangat jelas di dalamnya, malah dibahas secara terperinci. Hizbut Tahrir telah pun membahas pembahasan tentang makna istilah “al-Qadha’” sahaja, makna istilah “al-Qadar” sahaja, dan makna istilah “al-Qadha’ wa al-Qadar” secara bersama-sama. Sila rujuk kitab kami, asy-Syakhshiyyah al-Islamiyyah, Juz I, Bab al-Qadha’ di mana isinya sebagai berikut:

{Qadha’ secara bahasa, jika diucapkan Qadha-Yaqdhi-Qadha’[an] asy-syai’a (memutuskan sesuatu dengan keputusan), maksudnya sona’a bi ihkam wa qadrihi (dia membuatnya dengan kadarnya dan tepat). Qadha baina al-khasmain (memutuskan di antara dua pihak yang bersengketa), maksudnya hakama wa fasola (memutuskan). Wa [qadha] al-amra (memutuskan perkara), maksudnya amdhahu (memutuskannya). Kata “Qadha’” dinyatakan dalam banyak ayat al-Qur’an. Allah SWT berfirman:

(وَإِذَا قَضَى أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ)

“Dan apabila Dia berkehendak (untuk memutuskan) suatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya, ‘Jadilah’. Lalu jadilah ia” [TMQ al-Baqarah (2):117].

Maksudnya, jika Dia memutuskan sesuatu perkara, maka ia pasti ada dan akan berlaku, tanpa boleh dihalangi dan dihentikan.

Allah juga berfirman:

(هُوَ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ طِينٍ ثُمَّ قَضَى أَجَلًا وَأَجَلٌ مُسَمًّى عِنْدَهُ ثُمَّ أَنْتُمْ تَمْتَرُونَ)

“Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Dia tentukan ajal (kematian kamu) dan ada lagi suatu ajal yang ditentukan (untuk berbangkit) yang ada pada sisi-Nya (yang Dia sendirilah mengetahuinya), kemudian kamu masih ragu-ragu (tentang hari berbangkit itu)” [TMQ al-An’am (6):2]

Dengan kata lain, Allah menjadikan makhluk yang diciptakan dari tanah ini, ajal (tempoh masa) antara hidup dan kematiannya. Allah SWT berfirman:

(وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ)

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Dia” [TMQ al-Isra’ (17):23].

Juga, dengan kata lain, Dia telah menetapkan perkara yang pasti, iaitu hendaknya kalian tidak menyembah kepada yang lain, selain Dia. Allah juga berfirman:

(وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ)

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka (pilihan yang lain) tentang urusan mereka” [TMQ al-Ahzab (33):36].

Dengan kata lain, Dia telah memerintahkan suatu perintah, dan memutuskan suatu keputusan.}

Di dalam kitab yang sama, Hizbut Tahrir juga telah pun menjelaskan makna perkataan al-Qadar. Penjelasan di dalam kitab tersebut adalah seperti berikut:

{…kerana itu, dengan mendalami ayat-ayat yang menyebut tentang Qadar, baik yang menyebut pembahasan Qadar dengan menggunakan kata Qadar dengan jelas, atau dinyatakan dengan kata “Kitabah” (Catatan), semuanya memberikan satu makna, iaitu tidak ada satu pun baik di muka bumi mahupun di langit, kecuali Allah SWT telah menulis dan mencatatnya di sisi-Nya. Maka, tidak ada satu pun yang ada di dunia ini, kecuali telah dicatat dan ditulis oleh Allah SWT. Sedangkan apa yang telah dicatat dan ditulis oleh Allah, pasti akan terjadi. Ia tidak boleh terlepas, kecuali pasti terjadi. Tidak mungkin ada sesuatu yang terjadi, kecuali Allah SWT telah mencatat dan menulisnya. Inilah makna yang dinyatakan oleh ayat-ayat yang menjelaskan tentang Qadar. Di antara ayat-ayatnya ialah:

(وَكَانَ أَمْرُ اللَّهِ قَدَرًا مَقْدُورًا)

Dan (ingatlah) perintah Allah itu adalah satu ketetapan yang ditentukan berlakunya” [TMQ al-Ahzab (33):38].

(قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا)

Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu” [TMQ at-Talaq (65):3].

(قُلْ لَنْ يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا)

Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami” [TMQ at-Taubah (9):51].

(إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ)

Melainkan (semuanya) tertulis di dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz)” [TMQ al-An’am (6):59].

(مَا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ)

“Tiadalah Kami tinggalkan sesuatu pun (tidak tercatat) di dalam al-Kitab (Lauh Mahfuz)” [TMQ al-An’am (6):38]

(كَانَ ذَلِكَ فِي الْكِتَابِ مَسْطُورًا)

Yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz)” [TMQ al-Isra’ (17):58].

Dan terdapat banyak lagi ayat-ayat yang serupa, semuanya mempunyai satu makna iaitu Qadar. Dengan menelitinya, dan dengan begitu banyak dinyatakan oleh ayat-ayat tersebut, adalah jelas bahawa Qadar ini merupakan kinayah (perlambangan) dari ilmu Allah SWT.

Keberadaan semua ayat tersebut adalah untuk menjelaskan bahawa Allah SWT Maha Mengetahui tentang perkara-perkara tersebut, sebelum ia terjadi. Apa yang Dia ketahui akan terjadi, maka pasti terjadi. Sesuatu tidak akan terjadi, kecuali seperti apa yang telah Dia ketahui. Maka, tidak ada satu pun yang terjadi, kecuali sebelumnya telah diketahui oleh Allah, dan dicatat dalam Kitab-Nya (di Lauh Mahfuz). Dengan kata lain, sebelum sesuatu perkara itu berlaku, Allah sudah mengetahuinya. Jadi, Qadar ini merupakan kinayah tentang ilmu Allah. Sebagaimana Kitab (catatan di Lauh Mahfuz) merupakan kinayah tentang ilmu-Nya. Oleh kerana itu, Qadar, secara syar’i bermakna apa sahaja yang terdapat dalam ilmu Allah. Inilah makna Qadar, sebagaimana yang dinyatakan dalam nas al-Qur’an dan as-Sunnah. Ia tidak mempunyai makna lain.}

Hizbut Tahrir turut menghuraikan istilah “al-Qadha’ wa al-Qadar” dengan huraian yang sangat jelas bagi sesiapa sahaja yang mempunyai hati, atau dianugerahi pendengaran, dan boleh melihat. Perhatikan dalam kitab Hizb, asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah, Juz I, Bab al-Qadha’ wa al-Qadar, masalah ini telah pun dihuraikan dengan jelas. Kami akan nukilkan sebahagian isinya:

{Penunjukan kata al-Qadha’ wa al-Qadar, atau dengan kata lain, masalah al-Qadha’ wa al-Qadar, adalah pembahasan mengenai perbuatan manusia (أفعال العباد) dan karakteristik benda (خاصيات الأشياء). Oleh itu, persoalannya ialah sekitar perbuatan manusia dan natijah daripada perbuatan ini iaitu karakteristik yang ditimbulkan oleh manusia terhadap benda. Persoalannya ialah – Apakah karakteristik (خاصيات) itu merupakan ciptaan Allah, yang mana Allah-lah yang menciptakan dan mewujudkannya? Atau adakah ia daripada manusia? Atau dengan kata lain, manusialah yang menciptakan dan mewujudkannya…?}

Kemudian, dibentang pula beberapa pandangan kelompok Islam yang membahas persoalan ini, lalu Hizbut Tahrir meneruskan pembahasan:

{Inilah masalah al-Qadha’ wa al-Qadar. Inilah kesimpulan dari sejumlah pandangan yang membincangkan masalah ini. Sesiapa sahaja yang menelaahnya dengan mendalam, pasti akan mendapati bahawa wajib mengenal pasti asas yang dijadikan dasar untuk membahas pembahasan ini, sehingga pembahasannya berada pada posisi yang betul, dan boleh menghasilkan natijah yang dituntut oleh dasar pembahasan ini, bukan hanya natijah semata-mata…..bahawa subjek pembahasan al-Qadha’ wa al-Qadar tidak boleh lepas daripada masalah pahala dan dosa bagi perbuatan. Dengan kata lain, apakah manusia dipaksa melakukan suatu perbuatan (sama ada baik atau buruk) ataukah manusia diberi pilihan? Apakah manusia diberi pilihan untuk mengerjakan atau meninggalkan perbuatan, atau tidak mempunyai pilihan?

Siapa sahaja yang meneliti dengan mendalam akan perbuatan manusia, pasti akan mendapati bahawa manusia hidup dalam dua lingkaran (دائرتين). Salah satunya ialah lingkaran yang manusia kuasai, dan itu merupakan lingkaran yang termasuk dalam wilayah kekuasaannya, sesuai dengan kehendaknya. Perbuatan yang manusia lakukan di dalam lingkaran ini merupakan pilihannya sepenuhnya. Sedangkan lingkaran yang satu lagi, iaitu lingkaran yang menguasai diri manusia, di mana perbuatan yang terjadi di dalam lingkaran ini tidak boleh di kawal oleh dirinya, baik yang terjadi (berasal) dari manusia itu sendiri, atau kejadian yang menimpa dirinya.

Adapun perbuatan yang terjadi dalam lingkaran yang menguasainya, tidak boleh dikawal oleh manusia dan manusia sama sekali tidak boleh mengendalikannya. Perbuatan yang terjadi di dalam lingkaran yang menguasai manusia itu terbahagi kepada dua bahagian: Bahagian pertama, tertakluk secara langsung kepada nidzamul wujud (hukum alam). Manakala, bahagian kedua pula tidak tertakluk secara langsung kepada nidzamul wujud. Meskipun begitu, tidak ada satu pun yang boleh terlepas dari nidzamul wujud. Adapun apa yang tertakluk kepada nidzamul wujud secara langsung, maka nidzamul wujud itulah yang menentukannya. Oleh itu ia pasti berjalan mengikuti nidzamul wujud secara fitrah, kerana ia mesti berjalan mengikuti alam serta kehidupan menurut sistem tertentu, dan tidak akan menyimpang darinya. Dengan itu, perbuatan manusia dalam lingkaran ini tidak akan menurut kehendaknya, kerana ia dipaksa dan tidak mempunyai pilihan. Sebagai contoh, manusia hidup di dunia ini tanpa dia kehendaki, dia meninggalkan dunia pun tanpa dia kehendaki, dia tidak boleh terbang di udara dengan tubuhnya secara fitrah, dia tidak boleh berjalan di atas air dengan keadaan fitrahnya, dia tidak boleh mencipta warna kedua biji matanya sendiri dan dia juga tidak boleh menentukan bentuk kepala dan ukuran badannya.

Yang menciptakan semua itu adalah Allah SWT, tanpa ada campur tangan manusia sedikitpun. Malahan, ia sama sekali tidak ada kaitannya dengan diri manusia itu. Ini kerana, Allah-lah Zat yang Maha mencipta nidzamul wujud dan menjadikannya sebagai pengatur terhadap apa yang ada. Allah menjadikan apa yang ada berjalan mengikutinya dan apa yang ada tidak boleh menyalahinya. Sedangkan untuk bahagian kedua, iaitu perbuatan yang tidak berada dalam kawalannya dan ia pun tiada kuasa untuk menolaknya, tetapi ia tidak ditentukan oleh nidzamul wujud, iaitu perbuatan/kejadian yang terjadi, baik berasal daripada manusia atau menimpanya dengan paksa, dan manusia tidak ada kuasa sama sekali mengelaknya. Contohnya ketika seseorang jatuh dari atas tembok­ dan menimpa orang lain, kemudian orang tersebut meninggal. Begitu juga, ketika manusia menembak burung, lalu terkena orang lain yang tidak ia ketahui, kemudian orang tersebut mati. Juga, sebagaimana kereta api, atau kereta berlanggar, atau kapal terbang terhempas kerana kecemasan secara tiba-tiba yang tidak boleh diatasi. Berlanggar dan terhempas ini kemudian menyebabkan terbunuhnya para penumpang dan sebagainya.

Maka, perbuatan yang terjadi, sama ada berasal daripada manusia atau yang menimpanya, jika ia tidak termasuk dalam apa yang ditetapkan oleh nidzamul wujud, tetapi ia terjadi dari manusia atau menimpanya di luar kehendaknya dan tidak berada dalam wilayah kekuasaannya, maka perbuatan/kejadian ini termasuk dalam lingkaran yang menguasainya. Semua perbuatan/kejadian ini, yang terjadi dalam lingkaran yang menguasai manusia, inilah yang disebut sebagai Qadha’ kerana Allah SWT-lah Zat yang memutuskan perbuatan atau kejadian tersebut dan manusia tidak memiliki kebebasan mengawal perbuatan atau kejadian tersebut. Manusia juga tidak mempunyai sebarang pilihan di dalamnya. Oleh kerana itu, Allah SWT tidak akan mempertanggungjawabkan (menghisab) manusia atas perbuatan atau kejadian tersebut, apa pun manfaat atau mudaratnya, samada ia disukai atau tidak disukai oleh manusia.

Dengan kata lain, apa jua kebaikan atau keburukan yang ada di dalam kejadian tersebut (kebaikan dan keburukan mengikut tafsiran manusia), sama sekali tidak akan dipertanggungjawabkan kepada manusia itu. Allah-lah satu-satunya Zat yang Maha Tahu kebaikan dan keburukan yang ada pada perbuatan atau kejadian tersebut. Ini kerana manusia sama sekali tidak mempunyai pengaruh terhadapnya, tidak pula mengetahuinya, juga tidak tahu bagaimana ia boleh terjadi. Manusia tidak mempunyai kuasa untuk menolak atau menukarnya sama sekali. Kerana itulah, maka manusia tidak akan diberi pahala ataupun seksaan kerana ia (manusia) tidak ada pengaruh sedikitpun ke atas perbuatan/kejadian tersebut. Inilah Qadha’ dalam istilah al-Qadha’ wa al-Qadar. Saat inilah dikatakan bahawa perbuatan/kejadian tersebut berlaku kerana Qadha’. Manusia wajib mengimani Qadha’ ini, bahawa ia berasal dari Allah SWT.

Berkaitan dengan Qadar pula (dalam istilah/pembahasan al-Qadha’ dan al-Qadar), ia merujuk kepada pelbagai kejadian yang terjadi, baik yang berada dalam lingkaran yang dikuasai manusia, atau lingkaran yang menguasai manusia, semuanya terjadi daripada sesuatu dan ke atas sesuatu, sama ada ia berupa alam (مادة الكون), manusia (الإنسان) mahupun kehidupan (الحياة). Kejadian ini menghasilkan suatu kesan atau dengan kata lain, kejadian ini mewujudkan suatu perkara tertentu. Persoalan seterusnya adalah, apakah perkara yang timbul hasil (kesan) daripada perbuatan manusia, berupa berbagai karakteristik yang ada pada sesuatu itu, dicipta oleh manusia ataupun dicipta oleh Allah SWT?

Siapa sahaja yang melihat dengan mendalam akan mendapati bahawa perkara yang berlaku sebagai akibat daripada benda ini, terhasil daripada karakteristik benda berkenaan, bukan kerana perbuatan manusia. Buktinya, manusia tidak mampu mewujudkan kesan daripada karakteristik pada benda tersebut, kecuali benda tersebut sememangnya mempunyai karakteristik seperti itu. Namun, pada benda yang tidak mempunyai karakteristik seperti itu, maka manusia tidak boleh menghasilkan apa yang dia (manusia) kehendaki. Oleh itu, perkara ini (kesan yang terhasil) bukan merupakan perbuatan manusia, tetapi merupakan hasil daripada karakteristik benda itu sendiri. Allah SWT telah mencipta benda berkenaan, dan menetapkan berbagai karakteristik padanya dan ia wujud di dalam objek tersebut dan tidak mungkin terdapat selain di dalam objek yang telah Allah tetapkan.

Sebagai contoh, karakteristik yang ada pada benih pokok kurma pasti akan menumbuhkan pokok kurma dan bukannya pokok epal. Seperti juga ketetapan air mani manusia, yang boleh melahirkan manusia dan bukannya haiwan. Jadi, Allah SWT telah menciptakan berbagai benda dengan mempunyai karakteristik tertentu. Dia telah menciptakan api dengan karakteristik yang boleh membakar, dan kayu dengan karakteristik yang boleh terbakar dan pisau dengan karakteristik yang boleh memotong. Dia juga telah menjadikannya tunduk mengikuti nidzamul wujud, dan tidak akan pernah meleset. Ketika karakteristik tersebut tampak meleset (tidak sebagaimana sepatutnya), maka Allah SWT sebenarnya telah menarik karakteristik yang ada pada objek berkenaan dan ia hanya terjadi di luar kebiasaan yang hanya boleh berlaku pada para Nabi dan merupakan salah satu mukjizat bagi mereka.

Sebagaimana Allah telah menciptakan berbagai karakteristik tertentu pada benda, Allah juga telah menciptakan naluri (ghara’iz) dan keperluan jasmani (hajatul udhawiyyah) pada diri manusia. Allah juga telah menciptakan karakteristik tertentu di dalam diri manusia, sepertimana Allah menciptakan karakteristik pada benda. Misalnya, Dia telah menciptakan karakteristik saling tertarik kepada lawan jantina di dalam naluri seksual (gharizah an-nau’). Allah juga telah menciptakan karakteristik untuk memiliki sesuatu di dalam naluri mempertahankan diri (gharizah al-baqa’) dan karakteristik lapar di dalam keperluan jasmani (hajatul ‘udhawiyyah). Allah juga menjadikan karakteristik ini sebagai suatu yang pasti ada dan berjalan mengikut ketentuan alam (sunnatul wujud) yang berlaku.

Karakteristik yang khas ini telah diciptakan oleh Allah SWT pada berbagai benda, di dalam naluri dan juga keperluan jasmani manusia, dan Allah telah pun menetapkan karakteristik berkenaan agar tetap ada di dalamnya. Sebagai contoh, syahwat boleh bangkit pada diri manusia ketika ia melihat, yang terjadi ketika dia membuka kedua matanya; batu pula akan melambung ke atas, ketika dilempar ke atas, dan akan jatuh ke bawah, ketika dilepaskan ke bawah. Apa yang terhasil itu bukan natijah dari perbuatan manusia, tetapi natijah daripada ketetapan Allah SWT. Dalam erti kata lain, Allah telah menetapkan benda berkenaan sememangnya akan mewujudkan hasil seperti itu. Allah telah menciptanya dan mencipta berbagai karakteristik tertentu di dalamnya. Semua karakteristik itu bersumber dari Allah SWT dan bukannya dari manusia. Manusia juga tidak mempunyai kuasa di dalamnya, bahkan sama sekali tidak mempunyai sebarang pengaruh di dalamnya dan ia disebut sebagai Qadar. Jadi, apa yang disebut sebagai Qadar dalam pembahasan al-Qadha’ wa al-Qadar adalah karakteristik segala sesuatu yang timbul hasil perbuatan manusia. Manusia wajib mengimani, bahawa Zat yang menentukan karakteristik benda berkenaan adalah Allah SWT.}

Jadi, tidakkah Jawatankuasa Fatwa telah melihat, bagaimana Hizbut Tahrir telah merincikan perkara ini dengan mendalam di dalam kitab-kitabnya? Hizbut Tahrir telah membahas maksud perkataan al-Qadha’ yang berdiri sendiri, maksud perkataan al-Qadar yang berdiri sendiri, dan maksud dari istilah al-Qadha’ wa al-Qadar yang digandingkan bersama. Malah pembahasan ini merupakan bahagian dari akidah Islam yang wajib diyakini. Tetapi anda telah mengeluarkan fatwa dan mendakwa bahawa Hizbut Tahrir menafikan istilah al-Qadha’ wa al-Qadar! Apakah anda sudah tidak mempunyai ketakwaan lagi kepada Allah?

Jawatankuasa Fatwa mengatakan, bahawa Hizb berpegang kepada fahaman Qadariyyah! Ini juga merupakan tuduhan yang tidak kalah kejinya berbanding tuduhan yang lain. Hizb telah menjelaskan pandangannya dalam perkara ini, bahawa pandangan Qadariyyah bercanggah dengan nas al-Quran yang sangat jelas. Dalam kitab yang telah disebut di atas, asy-Syakhshiyyah al-Islamiyyah, Juz I, Hizb telah pun menyatakan:

{Tetapi, setelah munculnya falsafah Yunani di tengah-tengah kaum Muslimin, datang sekelompok orang dari Kufah. Mereka mengatakan, “Tiada Qadar, atau tidak ada takdir, dan bahawa segala sesuatu boleh terjadi tanpa didahului takdir.” Mereka digelar “Qadariyyah”. Merekalah puak yang mengingkari Qadar. Mereka mengatakan, bahawa Allah telah menciptakan asas setiap perkara dan kemudian meninggalkannya. Dengan kata lain, Allah tidak mengetahui perkara juzuk yakni bahagian-bahagiannya. Sedangkan pandangan ini menyalahi apa yang terdapat dalam nas al-Quran yang jelas, bahawa Allah SWT adalah Pencipta segala sesuatu, baik yang kecil atau yang besar, asas atau cabangnya. Allah SWT telah pun menetapkan segala sesuatu sebelum kewujudannya lagi, yakni Allah SWT telah mencatatnya di Lauh al-Mahfudz. Maknanya, Dia Maha Mengetahui sebelum sesuatu itu diwujudkan. Allah SWT berfirman:

(وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ)

Dia telah menciptakan segala sesuatu. Dan Dia pula Maha Mengetahui segala sesuatu” [TMQ al-An’am (6):101].

(وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَا تَسْقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ)

Dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)” [TMQ al-An’am (6):59].}

Di dalam Kurrasah Hizb juga telah dinyatakan, bahawa fahaman “Qadariyyah Ghaibiyyah” juga berbahaya. Di dalam buku berkenaan kami telah mengkritiknya dan memberi makna yang benar tentang Qadar seperti berikut:

{…dengan makna Qadar seperti ini (Catatan), sebenarnya tidak ada ruang bagi sesiapa untuk mengatakan bahawa manusia dipaksa melakukan perbuatannya. Ini kerana ilmu Allah SWT tidak memaksa manusia untuk melakukan perbuatan. Begitu juga ilmu Allah tentang perkara tertentu yang akan terjadi, maka tidak bermakna kita berserah kepada ilmu Allah bahawa perkara berkenaan pasti terjadi sehingga kita tidak perlu melakukan berbagai usaha untuk merealisasikannya.

Alasannya kerana, ilmu Allah tidak pernah didedahkan kepada sesiapa pun yang membolehkan manusia tahu bahawa sesuatu itu akan berlaku atau tidak. Kerana itulah, maka pengetahuan tentang berlakunya sesuatu atau tidak, tidak akan diketahui oleh manusia, kecuali setelah manusia melakukan berbagai usaha untuk merealisasikannya dan setelah terealisasinya perkara itu, barulah hakikatnya terdedah dan manusia mengetahui bahawa ilmu Allah SWT telah merangkumi perkara tersebut sebelum ia terjadi.

Dari sini, maka tidak boleh sesiapapun menyerah kepada ilmu Allah, dan meninggalkan sebarang usaha dan ikhtiar. Dahulunya, perkara berkenaan turut membuat sahabat agak kabur, sehingga Rasulullah SAW memperingatkan mereka agar mereka tidak hanya berserah. Baginda SAW memerintahkan mereka agar berusaha. Dalam hadis ‘Imran bin Husain disebutkan:

« قَالَ: فَلِمَ يَعْمَلُ الْعَامِلُونَ؟ قَالَ: كُلٌّ يَعْمَلُ لِمَا خُلِقَ لَهُ أَوْ لِمَا يُسِّرَ لَهُ »

Berkata (seorang sahabat): Untuk apa orang-orang yang berusaha melakukan usaha?’ Baginda SAW menjawab: ‘Setiap orang wajib berusaha, untuk (mewujudkan) apa yang telah diciptakan untuknya, atau apa yang dimudahkan untuknya” [HR Bukhari].

Dalam hadis Ali, disebutkan:

« فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ الْقَوْمِ: أَلاَ نَتَّكِلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: لاَ، اعْمَلُوا , فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ، ثُمَّ قَرَأَ : فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى الآيَةَ »

Seorang lelaki dari kaum itu berkata, ‘Mengapa kita tidak berserah sahaja, wahai Rasulullah?’ Baginda SAW menjawab, ‘Tidak. Berusahalah, kerana semuanya itu dimudahkan’. Baginda SAW kemudian membacakan ayat: ‘Fa amma man a’tha wattaqa (adapun sesiapa sahaja yang memberi dan bertakwa… al-ayat”) [HR Bukhari].

Maka, jelas bahawa mengimani Qadar tidak bermakna menyerah (kepada takdir, tanpa usaha). Ini adalah kerana, Qadar dan Kitab (Catatan di Lauh Mahfudz) bermakna ilmu Allah. Sedangkan ilmu berkenaan tidak didedahkan kepada sesiapa pun makhluk-Nya. Lalu, atas dasar apa seseorang itu hanya mahu berserah diri? Kerana itu, maka Rasul SAW bersabda kepada orang yang bertanya kepada baginda, “Mengapa kita tidak berserah diri sahaja?” dengan mengatakan, “Tidak.” Maknanya, baginda SAW melarang orang berkenaan untuk berserah diri. Bahkan tidak setakat itu, baginda SAW juga memerintahkan kepadanya, “Berusahalah!”, maknanya, baginda SAW memerintahkannya untuk melakukan usaha. Larangan baginda SAW kepada orang itu daripada berserah diri dan memerintahkannya untuk berusaha adalah bukti yang nyata bahawa usaha tidak boleh diikat kepada Qadar (takdir).

Begitu juga ilmu Allah tentang perkara tertentu yang akan berlaku, tidak bermakna yang kita tidak perlu mengusahakan hukum sebab-akibat dan tidak bermakna bahawa tidak ada hubungan antara sebab dan akibat. Ini kerana, ilmu Allah tidak didedahkan kepada sesiapa, sehingga orang berkenaan boleh mengetahuinya, kemudian tidak melakukan “sebab” yang boleh menghantarkan pada “akibat” (keberhasilan) sesuatu usaha. Ini kerana Catatan (di Lauh Mahfudz) dan Qadar itu mustahil boleh diketahui oleh makhluk ciptaan-Nya, sehingga mereka boleh menghukumi bahawa sesuatu itu akan berlaku atau tidak berlaku. Oleh itu, tidak boleh meninggalkan hukum sebab-akibat, dengan alasan Qadar dan Catatan, kerana itu bermakna seseorang itu menghubungkan suatu kejadian dengan suatu yang ia tidak ketahui. Sebaliknya, wajib melakukan usaha berdasarkan hukum sebab-akibat, tanpa mengikatkannya dengan Qadar, yakni tanpa memikirkannya.

Qadar (Catatan) tidak memaksa manusia untuk melakukan perbuatan, sebaliknya manusia boleh memilih untuk melakukannya. Buktinya, Allah SWT akan mempertanggungjawabkan (menghisab) manusia atas amal perbuatannya. Sedangkan mereka yang berpegang kepada Qadariyyah Ghaibiyyah mendakwa bahawa ia (Qadar – Catatan) telah dipaksakan ke atas mereka. Buktinya lagi, Allah SWT memaafkan (tidak menghisab) manusia atas apa jua perkara yang dipaksakan ke atasnya. Qadar juga tidak memberikan justifikasi untuk kita berserah diri. Buktinya, Rasulullah SAW melarang kita untuk berserah diri kepada Qadar, malah baginda SAW memerintahkan kita agar berusaha. Perbuatan manusia tidak boleh diikat dengan Qadar dan tidak dibenarkan juga untuk meninggalkan usaha berdasarkan hukum sebab-akibat, atas alasan Qadar. Ini adalah hakikat Qadar dan oleh kerana itu, maka tampak dengan jelas bahawa fahaman Qadariyyah Ghaibiyyah ini bercanggah seratus-peratus dengan syarak!

Bahkan, syarak telah menyatakan larangan terhadap fahaman seperti ini, melalui larangan Rasulullah SAW agar tidak menyerah kepada Qadar, sebaliknya kita diperintahkan untuk berusaha. Maka, fahaman Qadariyyah Ghaibiyyah ini merupakan bentuk pemikiran bukan Islam yang merasuk ke dalam tubuh umat Islam, sama dengan masuknya berbagai pemikiran Parsi dan Yunani. Bahkan, ianya bercanggah dengan pemikiran Islam kerana adanya larangan yang tegas terhadapnya. Oleh kerana itu, fahaman ini wajib diperangi, dan dihancurkan kerana ianya merupakan fahaman yang paling membahayakan kehidupan umat Islam, bahkan membahayakan kehidupan semua bangsa dan umat.

Sesungguhnya fahaman Qadariyyah Ghaibiyyah ini adalah candu bagi masyarakat, kerana ia mengheret kepada penyerahan diri dan pasrah sepenuhnya kepada takdir, meruntuhkan cita-cita dan membunuh tekad. Sebaliknya meyakini Qadar justeru boleh membangkitkan keberanian dan kecekalan seseorang Mukmin, tanpa menghiraukan apa jua yang akan dihadapinya, sama ada berupa bahaya mahupun kesulitan. Orang seperti ini mengimani bahawa “Kita tidak akan pernah ditimpa oleh sesuatu, kecuali apa yang telah Allah SWT tetapkan kepada kita, dan bahawa setiap ajal sudah pun dicatat di Lauh Mahfudz dan bahawa tidak ada sesuatu pun yang akan berlaku, kecuali dengan takdir Allah”. Sekiranya kaum Mukmin mempunyai keyakinan seperti yang disebutkan di atas, maka orang seperti mereka, jika berazam untuk mewujudkan sesuatu, maka mereka akan mengusahakan sebab-akibatnya. Mereka akan terus melangkah dan tiada ancaman yang boleh menghalang mereka. Ujian dan bahaya tidak akan membuat mereka berdiam diri. Berbagai rintangan di hadapan mereka juga tidak boleh menghentikan usaha mereka. Ini kerana mereka meyakini bahawa apa yang Allah SWT tetapkan pasti akan berlaku. Kewajipan mereka hanyalah mengusahakan sebab-akibat.

Jadi, bagi mereka yang meyakini Qadar, mereka wajib berusaha melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah, iaitu mengambil hukum sebab-akibat dan memeriksa perkara tersebut dengan cermat, merenungkan dengan bijak untuk diambil tindakan yang paling sempurna. Akibatnya, pandangan tersebut benar-benar matang bagi kita dan kita menetapkan azam bahawa kita tidak perlu mengambil kira urusan yang lain selain urusan ini dengan keyakinan bahawa tidak akan pernah berlaku sesuatu di dunia ini, kecuali apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Inilah yang berlaku pada Rasulullah SAW dalam seluruh perbuatan baginda baik di saat Perang Badar, Hunain, ketika baginda SAW dikepung untuk dibunuh, mahupun saat baginda SAW mendatangi Abu Jahal untuk menuntutnya agar mengembalikan harta kepada pemiliknya. Pemahaman seperti ini juga dianuti oleh para sahabat, ridhwanu-Llah ‘alaihim ketika mereka terdorong melakukan berbagai penaklukan dan ketika mereka keluar ke seluruh pelusuk dunia untuk mengembang risalah Islam ke sana.

Oleh kerana itu, maksud Qadar berbeza dengan fahaman Qadariyyah Ghaibiyyah. Bahkan, bercanggah seratus-peratus. Malah, fahaman Qadariyyah Ghaibiyyah ini boleh membunuh umat sedangkan keimanan kepada Qadar justeru boleh menghidupkannya, mendorongnya maju dan melangkahkan kaki untuk mewujudkan perkara agung dan tujuan yang paling mulia.”}

Semuanya ini tertulis di dalam kitab-kitab Hizb. Lalu, bagaimana mungkin Jawatankuasa Fatwa berani membuat dakwaan bohong kepada Hizb? Adakah anda tidak lagi bertakwa kepada Allah? Apakah anda tidak ada lagi rasa takut kepada Allah?

Jawatankuasa Fatwa juga mengatakan bahawa Hizb menolak sumber akidah melalui hadis Ahad kerana hadis Ahad bersifat dzanni (mengandungi dugaan). Ucapan ini juga sungguh aneh dan menghairankan, seolah-olah Jawatankuasa Fatwa bukan daripada ulama umat Islam! Ini kerana perkara akidah yang tidak boleh diambil dengan dalil dzanni, bukanlah rekaan dari Hizbut Tahrir. Malahan, ia telah tertulis di dalam Kitab Allah. Apakah Jawatankuasa Fatwa tidak pernah membaca ayat-ayat al-Qur’an yang mana Allah SWT dengan jelas mencela orang-orang yang mengambil akidahnya dengan dzann (dugaan)? Apakah Jawatankuasa Fatwa tidak pernah membaca Firman Allah SWT:

(إِنْ هِيَ إِلَّا أَسْمَاءٌ سَمَّيْتُمُوهَا أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ بِهَا مِنْ سُلْطَانٍ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَمَا تَهْوَى الْأَنْفُسُ وَلَقَدْ جَاءَهُمْ مِنْ رَبِّهِمُ الْهُدَى)

Itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan bapa-bapa kamu ada-adakan; Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun untuk (menyembah)nya. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka dan sesungguhnya telah datang petunjuk kepada mereka dari Tuhan mereka” [TMQ an-Najm (53):23].

(إِنَّ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ لَيُسَمُّونَ الْمَلَائِكَةَ تَسْمِيَةَ الْأُنْثَى * وَمَا لَهُمْ بِهِ مِنْ عِلْمٍ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا)

Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, mereka benar-benar menamakan malaikat itu dengan nama perempuan. Dan mereka tidak mempunyai sesuatu pengetahuan pun tentang itu. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan sedang sesungguhnya persangkaan itu tiada berfaedah sedikit pun terhadap kebenaran” [TMQ an-Najm (53):27-28].

(وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ إِلَّا ظَنًّا إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا)

Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti, kecuali persangkaan sahaja. Sedang sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikit pun berguna untuk mencapai kebenaran” [TMQ Yunus (10):36].

(الَّذِينَ يُجَادِلُونَ فِي آيَاتِ اللَّهِ بِغَيْرِ سُلْطَانٍ أَتَاهُمْ كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ وَعِنْدَ الَّذِينَ آمَنُوا)

“(Iaitu) orang-orang yang memperdebatkan ayat-ayat Allah tanpa alasan yang sampai kepada mereka. Amat besar kemurkaan (bagi mereka) di sisi Allah dan di sisi orang-orang yang beriman” [ TMQ Ghafir (40):35].

(وَكَيْفَ أَخَافُ مَا أَشْرَكْتُمْ وَلَا تَخَافُونَ أَنَّكُمْ أَشْرَكْتُمْ بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ عَلَيْكُمْ سُلْطَانًا)

“Bagaimana aku takut kepada sembahan-sembahan yang kamu persekutukan (dengan Allah), padahal kamu tidak takut mempersekutukan Allah dengan sembahan-sembahan yang Allah sendiri tidak menurunkan hujjah kepadamu untuk mempersekutukan-Nya” [TMQ al-An’am (6):81].

Dan banyak lagi ayat-ayat lain yang senada dengannya…

Ayat-ayat ini dengan jelas dan tegas mencela sesiapa sahaja yang mengikuti dzann (dugaan), juga mencela sesiapa sahaja yang mengikuti sesuatu tanpa sulthan (bukti yang kukuh), iaitu tanpa dalil qath’i (pasti). Celaan dan kecaman kepada mereka itu merupakan dalil larangan yang keras untuk mengikuti dzann dan larangan mengikuti apa yang tidak dibangunkan berdasarkan dalil qath’i dalam perkara-perkara akidah. Semua ini menunjukkan dengan jelas bahawa akidah wajib dibangun berdasarkan dalil qath’i. Jika tidak dibangun berdasarkan dalil qath’i, maka tidak boleh dianggap akidah. Oleh itu, dalilnya tidak boleh dalil dzanni. Ayat-ayat di atas membuktikan dua perkara: Pertama, larangan berakidah dengan dalil dzanni. Itulah yang ditunjukkan oleh ayat-ayat dzann di atas. Kedua, wajib menggunakan dalil qath’i dalam membangun akidah, sehingga menjadi sebuah keyakinan. Itulah yang ditunjukkan oleh ayat-ayat as-sulthan al-mubin (bukti yang kukuh dan nyata). Ini berkaitan dengan masalah akidah.

Adapun yang berkaitan dengan hukum syarak, maka dalilnya diperbolehkan dalil dzanni dan tidak ada syarat dalilnya mesti qath’i. Telah ditetapkan berdasarkan nas Al-Quran al-Karim, bahawa keputusan (qadha) boleh diambil dengan kesaksian dua orang. Rasulullah SAW juga pernah membuat keputusan dengan kesaksian seorang saksi dan sumpah si pemilik hak. Sebagai contoh, baginda SAW pernah menerima kesaksian seorang wanita dalam kes persusuan. Semua ini merupakan hadis Ahad, walhal, keputusan seseorang Qadhi bersifat mengikat. Jadi, menarik hukum (istidlal) dengan menggunakan hadis Ahad, seperti menerima kesaksian dan keputusan yang menjadi natijahnya, semuanya ini berlaku dalam pelbagai kes hukum syarak. Para sahabat RA telah menerima sabda Nabi SAW, yang bersifat Ahad, ketika mereka menjelaskan tentang sesuatu hukum seperti perintah menghadap Kaabah dan mengenai keharaman arak. Semuanya itu tidak menyebabkan adanya syubhat (kekaburan), bahawa dalil dzanni itu boleh digunakan untuk istidlal (menarik hukum) syarak.

Ada satu perkara lagi yang tampaknya Jawatankuasa Fatwa tidak faham – apakah Jawatankuasa Fatwa tidak membaca kitab fuqaha’ dan para mujtahid? Apakah Jawatankuasa Fatwa tidak menemukan, bahawa sesuatu hadis itu sahih menurut Imam Abu Hanifah, lalu beliau mengambilnya, tetapi Imam Syafie tidak mengambilnya dan begitulah seterusnya. Bahkan, para tokoh hadis (rijal al-hadis) juga berselisih tentang pelbagai hadis Ahad. Ibn Hibban, misalnya, menyatakan hadis tertentu sahih, tetapi ianya dilemahkan oleh al-Hakim. Imam Ahmad menyatakan hadis tertentu sahih, tetapi ianya dilemahkan oleh al-Albani. Bahkan, kitab hadis yang paling sahih sekalipun tidak terbebas dari dilemahkan oleh sebahagian ulama yang lain. Kalau hadis dzanni boleh digunakan dalam perkara akidah, pasti seorang Muslim akan mengkafirkan saudaranya Muslim yang lain, kerana mereka berselisih dalam mengambil hadis ini dan itu, atau kerana berbeza dalam menghukumi hadis ini sahih, sementara bagi yang lain dihukumi dhaif. Pasti orang yang menyatakan hadis Bukhari sahih akan mengkafirkan orang yang menganggap hadis Bukhari lemah. Tidakkah Jawatankuasa Fatwa memahami dan menyedari perkara ini?

Justeru merupakan nikmat Allah kepada kita, bahawa Allah SWT telah melarang kita mengambil akidah dengan dalil dzanni, serta menjadikan akidah berdasarkan dalil qath’i, sehingga umat ini boleh bersatu di atas akidah ini tanpa sebarang perselisihan. Kerananya, akidah ini merupakan akidah yang bersih dan jernih, sehinggalah seorang Muslim tidak akan mengkafirkan saudara Muslimnya yang lain, kerana perbezaan mereka mengenai hadis dzanni dalam akidah. Ini kerana, perselisihan dalam perkara akidah boleh menjadi jalan kekufuran. Berbeza dengan hukum syarak yang bersandar kepada hadis Ahad, perselisihan dalam hukum syarak tidak semestinya menjadi jalan kekufuran. Contohnya, seperti orang yang berpendapat tentang bolehnya akad Muzara’ah, kerana terdapat beberapa hadis Ahad sahih yang memperbolehkannya. Dia tidak akan mengkafirkan orang yang menolak akad Muzara’ah, kerana orang itu juga mempunyai hadis Ahad sahih yang menolaknya, dan begitu juga dengan kes-kes yang lain. Berdasarkan pembahasan ini, maka dibenarkan menggunakan dalil qath’i dan dzanni dalam hukum syarak, sebaliknya, tidak dibenarkan menggunakan dalil dzanni dalam perkara akidah kerana akidah wajib diambil dari perkara yang meyakinkan (qath’i).

Tambahan pula, tidak diambilnya hadis Ahad dalam perkara akidah telah pun dinyatakan oleh para fuqaha’. Imam Abdurrahim bin al-Hasan bin ‘Ali al-Isnawi as-Syafie, Abu Muhammad, Jamaluddin (w. 772 H) telah menyatakan dalam kitabnya, Nihayatu as-Sul Syarah Minhaj al-Wusul:

واعلم أن التعبير بالأدلة مخرج لكثير من أصول الفقه كالعمومات، وأخبار الآحاد، والقياس والاستصحاب، وغير ذلك، فإن الأصوليين وإن سلموا العمل بها فليست عندهم أدلة للفقه بل أمارات له، فإن الدليل عندهم لا يطلق إلا على المقطوع به

Ketahuilah bahawa penyebutan “dalil” banyak digunakan dalam usul fiqh, seperti masalah umum, hadis Ahad, qiyas, istis-hab dan lain-lain. Para ulama usul fiqh, meskipun mereka menerima penggunaannya, tetapi menurut mereka semuanya itu bukan merupakan dalil fiqh, namun hanya menjadi amarat (petanda). Ini kerana menurut mereka, “dalil” tidak digunakan, kecuali untuk dalil yang terbukti keqath’iyyannya.

Jadi, para ulama usul tidak menganggap dalil fiqh (yakni dalil hukum syarak) sebagai “dalil”. Mereka hanya menganggapnya sebagai amarat (petanda) bagi hukum syarak. Alasannya, kerana dalil dzanni itu, menurut mereka, tidak diakui sebagai “dalil”, namun, hanya disebut amarat. Ini kerana bagi mereka, “dalil” itu hanya terpakai untuk dalil yang terbukti keqath’iannya. Sumber dalam perkara usuluddin (pokok agama) wajib berupa dalil qath’i.

Perkara yang sama juga dikemukakan oleh Ibrahim bin Musa bin Muhammad al-Lakhami al-Gharnathi, yang dikenal dengan as-Syathibi (w. 790 H) dalam kitabnya, al-Muwafaqat:

إن أصول الفقه في الديـن قطـعـية لا ظنية، والدليل على ذلك أنها راجعة إلى كليات الشريعة، وما كان كذلك فهو قطعي… ولو جاز جعل الظـنـي أصلاً في أصول الفقه، لجاز جعله أصلاً في أصول الدين، وليس كذلك باتفاق. فكذلك هنا لأن نـسـبـة أصـول الفقه من الشريعة كنسبة أصول الدين

“Usul Fiqh dalam agama ini merupakan perkara qath’i, bukan dzanni. Dalilnya boleh dikembalikan kepada perkara syariah yang bersifat kulliyat (global). Selagi demikian, maka ia wajib qath’i. Kalaulah yang dzanni dibenarkan sebagai dasar dalam Usul Fiqh, pasti perkara yang sama boleh dijadikan dasar dalam Usuluddin. Walhal tidak demikian, menurut kesepakatan (para ulama). Begitu juga di sini kerana penisbatan Usul Fiqh dalam perkara syariah ini seperti penisbatan Usuluddin”.

Ini membuktikan, bahawa Usul Fiqh merupakan perkara yang qath’i, dari segi kedudukan usul Fiqh ini seperti Usuluddin. Sedangkan perkara Usuluddin telah pun disepakati wajib qath’i. Perkara Usuluddin itu sendiri adalah akidah. Ramai ulama yang berpendapat, sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn al-Hajib dan al-Amidi, bahawa hadis Ahad tidak menghasilkan ‘ilm (keyakinan). Pandangan ini juga menjadi pandangan al-Qadhi Abu Bakar al-Baqillani.

Adapun Imam Abu Ishaq Ibrahim bin ‘Ali bin Yusuf as-Syirazi (w. 476 H) juga berpandangan yang sama, sebagaimana pandangan al-Qadhi Abu Bakar al-Baqillani, bahawa hadis Ahad itu tidak boleh menghasilkan ‘ilm (keyakinan), baik dengan atau tanpa qarinah. Dalam kitabnya, at-Tabshirah fi Usul al-Fiqh, beliau menyatakan:

«…أخبار الآحاد لا توجب العلم »

“Hadis-hadis Ahad itu tidak boleh menghasilkan ilm..”. Maksudnya tidak mampu menghasilkan keyakinan.

Syaikh Muhammad Jamaluddin bin Muhammad bin Sa’id bin Qasim al-Hallaq al-Qasimi (w. 1332 H) dalam kitabnya, Qawa’id at-Tahdis min Funun Musthalah al-Hadis, mengatakan:

فالذي عليه جماهير المسلمين من الصحابة والتابعين فمن بعدهم من المحدثين والفقهاء وأصحاب الأصول، أن خبر الواحد الثقة حجة من حجج الشرع يلزم العمل بها، ويفيد الظن ولا يفيد العلم

“Pandangan yang menjadi pandangan majoriti kaum Muslimin di kalangan para sahabat, tabiin dan ahli hadis, fuqaha’ dan ulama usul setelah mereka, bahawa hadis Ahad yang tsiqqah merupakan salah satu hujah syarak yang mesti digunakan. Ia menghasilkan dzann, dan tidak boleh menghasilkan ilm (keyakinan)”.

Maksudnya, boleh diambil untuk digunakan dalam hukum syarak, tetapi tidak boleh diambil dan digunakan dalam akidah, kerana ia tidak menghasilkan ilmu (keyakinan).

Syed Qutb Ibrahim Husain as-Syaribi (w. 1385 H) dalam kitabnya, Fi Zhilal al-Qur’an, ketika menafsirkan Al-Quran surah al-Falaq dalam kaitannya dengan hadis dari Labid bin al-A’sham al-Yahudi, berkata:

ومن ثَمَّ نستبعد هذه الروايات: وأحاديث الآحاد لا يؤخذ بها في أمر العقيدة، والمرجع هو القرآن والتواتر شرط للأخذ بالأحاديث في أصول الاعتقاد

“…dengan demikian, kita harus meninggalkan riwayat ini sejauh-jauhnya: Hadis Ahad tidak boleh diambil dalam perkara akidah. Sumber rujukan (dalam perkara akidah) adalah al-Qur’an, sedangkan Mutawatir merupakan syarat (boleh dan tidaknya) menggunakan hadis dalam perkara dasar-dasar keyakinan”.

Begitu juga, bagi sesiapa sahaja yang mempunyai dua mata pastinya akan melihat, bahawa sumber hadis ahad tidak diambil dalam perkara akidah dinyatakan oleh sejumlah ulama besar, bukan hanya dinyatakan oleh Hizbut Tahrir.

Mengenai kemaksuman para anbiya’ ‘alaihi salam, terbukti ia berlaku sesudah kenabian, atau setelah diturunkan wahyu, kerana Allah SWT berfirman:

(وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى * إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى)

Dan tiadalah apa yang diucapkannya itu (al-Quran)menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain kecuali hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)” [TMQ an-Najm (53):3-4].

(إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَى إِلَيَّ)

“Aku tidak mengikut kecuali apa yang diwahyukan kepadaku” [TMQ Yunus (10):15].

(قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ)

“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu. Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” [TMQ Ali ‘Imran (3):31].

Rasulullah SAW menuruti apa sahaja yang diwahyukan kepadanya. Oleh itu, kemaksuman ini berlaku sesudah diturunkan wahyu. Kita mengikuti Rasulullah SAW berdasarkan wahyu yang telah diwahyukan kepada baginda SAW, bukan sebelumnya. Inilah pendapat yang kami anggap paling benar, sehingga kami memegang pendapat ini. Untuk makluman, masalah ini sebenarnya telah dibahas oleh para fuqaha sebelumnya. Ada yang berpendapat, bahawa kemaksuman itu berlaku sebelum penurunan wahyu, dan ada yang berpendapat setelah wahyu diturunkan. Namun, mereka tidak pernah menjadikan perbezaan pendapat ini sebagai alat tohmahan sebagaimana yang dilakukan oleh Jawatankuasa Fatwa. Ini adalah kerana mereka adalah ulama yang berhujah dengan dalil dan memahaminya dengan mendalam, tidak untuk mengatakan sesiapa yang berpendapat begini ditohmah dengan tohmahan bersifat politik dan penuh tipu daya.

Di antara ulama yang berpendapat bahawa kemaksuman Nabi itu berlaku setelah wahyu diturunkan adalah Imam ar-Razi, yang nama lengkapnya Muhammad bin ‘Umar bin al-Husain, seorang Ahli Kalam, Ahli Usul dan sangat terkenal (543-606 H). Beliau telah menulis kitab, ‘Ishmatu al-Anbiya’, yang kemudian menjadi sandaran ramai ulama dalam menentukan pendapat dalam masalah berkenaan, serta berhujah untuk membuktikannya. Beliau telah pun menulis banyak pembahasan dalam masalah ini. Beliau menyebutkan beberapa pandangan ulama berkaitan dengan masalah ini. Beliau akhirnya memilih dan menerima pakai pendapat, bahawa kemaksuman Nabi itu berlaku pada masa kenabian mereka, bukan sebelumnya. Al-Amidi dan al-Baqillani, di antara ulama Usul, juga menyatakan pandangan yang sama. Perkara yang sama juga dikemukakan oleh Ibn Hazm.

Di antara mereka yang berpendapat bahawa kemaksuman Nabi itu berlaku sebelum kenabian adalah Syi’ah Imamiyyah. Majoriti mazhab Muktazilah berpendapat yang sama dengan Syi’ah, kecuali berbeza dalam perkara cabang.

Jawatankuasa Fatwa turut menyatakan bahawa Hizbut Tahrir menganggap: Akidah Siyasiyyah lebih penting daripada Akidah Ruhiyyah.

Kami sekali lagi ingin bertanya, di manakah Jawatankuasa Fatwa menjumpai hal ini dalam kitab-kitab Hizb? Selain itu, kami ingin jelaskan bahawa di sini tampaknya Jawatankuasa Fatwa tidak mampu pun memahami makna, juga susunan kata, “Akidah Siyasiyyah” dan “Akidah Ruhiyyah”.

Sesungguhnya “Siyasah” (politik) dalam Islam merupakan hukum syarak untuk menguruskan urusan umat. Ertinya, dalam Akidah Siyasiyyah itu juga terdapat aspek keruhanian. Ini kerana di dalamnya berisi berbagai penyelesaian masalah manusia dalam kehidupan dunia ini berdasarkan apa yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya SAW. Di dalam Akidah Siyasiyyah itu ada masalah keimanan, solat, zakat, haji dan puasa. Di dalamnya ada pemerintahan dan ekonomi. Di dalamnya ada sistem sosial dan politik luar negeri. Di dalamnya juga ada jihad. Maknanya, di dalam Akidah Siyasiyyah itu ada negara, Khilafah, penerapan Islam di dalam negeri dan mengembangkan Islam ke luar negeri melalui dakwah dan jihad.

Adapun “Akidah Ruhiyyah” yang telah disebutkan, adalah akidah yang berkaitan dengan urusan ibadah, bukan hukum-hukum syarak yang lain. Maknanya, ini adalah akidah yang berkaitan dengan aspek ketuhanan, bukan berkaitan hukum syarak yang menyelesaikan seluruh urusan manusia yang lain. Jadi, manakah di antara dua perkara yang lebih penting, wahai Jawatankuasa Fatwa? Adakah Akidah Siyasiyyah atau Akidah Ruhiyyah?

Dengan menelaah apa yang telah dijelaskan di atas, tampak bahawa Jawatankuasa Fatwa, dalam fatwanya, telah membuat dakwaan terhadap Hizbut Tahrir akan apa yang tidak pernah diperkatakan oleh Hizbut Tahrir. Sebahagian dakwaan yang terkandung dalam fatwa tersebut mengenai pandangan Hizb, telah dipesongkan dari kebenaran.

(2) Terakhir, sebagai sebahagian dari nasihat, sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW:

«الدِّينُ النَّصِيحَةُ» قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: «لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ»

Agama adalah nasihat” Kami bertanya, “Untuk siapa?” Baginda SAW menjawab: “Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin kaum Muslimin dan orang-orang Islam pada umumnya” [HR Muslim dari Tamim ad-Dari].

Maka, kami ingin menyampaikan kepada Jawatankuasa Fatwa sambil memberi nasihat, agar anda mengisytiharkan kesalahan fatwa anda. Anda juga harus memohon ampun kepada Allah, bertaubat kepada-Nya, dan meminta maaf kepada Hizbut Tahrir yang telah anda dakwa dengan dakwaan yang zalim, dusta dan penuh permusuhan. Semoga Allah berkenan menebus sebahagian kesalahan anda kepada Hizb, sebagaimana yang telah kami jelaskan di atas…..Jika pun penjelasan singkat ini belum cukup bagi anda, maka kami menjemput anda untuk beradu hujah secara terbuka mengenai dakwaan yang anda sebutkan, serta berbagai pembohongan dan pemesongan yang terdapat di dalam fatwa anda. Kami ulangi lagi: Kami menjemput anda, dan akan tetap menjemput anda, untuk beradu hujah secara terbuka, agar terzahir kebenaran dan sirnalah kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu pasti akan sirna. Allah SWT pasti akan menolong orang-orang yang soleh.

Sebagai penutup, harap maklum bahawa kami telah menangguhkan jawapan ini untuk beberapa bulan, setelah fatwa anda keluar, sebelum kami memberikan bantahan atas berbagai dakwaan batil tersebut. Penangguhan ini kami lakukan bukan kerana kami takut kepada anda atau kekuasaan anda. Sebaliknya, justeru kami mengkhuatiri anda. Kami sebenarnya berharap anda menarik balik fatwa anda yang batil dan penuh pemesongan itu dan memohon ampun kepada Allah. Dengan begitu, ia akan menjadi penebus kesalahan atas dakwaan anda yang zalim dan penuh kebencian terhadap Hizbut Tahrir. Namun sayangnya anda tidak melakukan perkara tersebut. Jika anda mengira bahawa anda akan memperolehi keuntungan daripada fatwa anda dengan berbagai kebohongannya ke atas kami, maka jelas anda keliru. Hizbut Tahrir telah pun berpengalaman menghadapi berbagai dakwaan bohong seperti ini, bahkan berbagai tindakan yang lebih jahat daripada ini, tetapi Ahli al-Haq (pemilik kebenaran) akan terus menghadapi Ahli al-Batil (pengikut kebatilan), kekejian dan kekejamannya yang zalim dan penuh permusuhan. Semuanya itu sudah pernah dilakukan oleh mereka yang jauh lebih keras, kuat dan ramai pendukungnya, tetapi mereka tidak pernah mendapatkan sedikit pun kebaikan kerana kebenaran itu sangat jelas dan kuat, sedangkan yang batil itu amatlah rapuh.

Kami memohon kepada Allah SWT agar memberikan petunjuk kepada anda, sehingga anda boleh menemukan jalan yang lurus dan anda menginsafi kebohongan yang telah anda lakukan. Dan anda juga hendaklah memohon keampunan kepada Allah SWT atas apa yang telah anda lakukan, serta memohon maaf kepada Hizb atas apa yang telah anda dakwakan. Semua manusia, anak Adam pasti akan melakukan kesalahan. Sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan adalah mereka yang bersedia untuk bertaubat, dan meninggalkan kesalahan itu merupakan satu kemuliaan. Orang yang waras akalnya adalah orang yang bertaubat dan kembali kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman:

(وَإِنِّي لَغَفَّارٌ لِمَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا ثُمَّ اهْتَدَى)

Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal amal soleh, kemudian tetap di jalan yang benar” [TMQ Thaha (20):82].

Terimalah salam kami,

23 Ramadhan 1437 H (28/06/2016 M)

Saudaramu,

HIZBUT TAHRIR MALAYSIA