28 Rajab 1342H Khilafah Diruntuhkan: Umat Islam Wajib Menegakkannya Semula

Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) yang bakal diadakan pada 9hb Mei ini akan menentukan sama ada kerajaan Barisan Nasional (BN) akan dapat meneruskan legasi pemerintahannya atau mungkinkah sejarah akan terlakar dengan parti pembangkang memperoleh kemenangan dan ditabalkan sebagai kerajaan yang baru. Kita juga mungkin akan menyaksikan parti-parti yang menang bekerjasama untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan sekiranya tiada mana-mana pihak sama ada BN atau Pakatan Harapan yang memperolehi undi majoriti. Semuanya akan terjawab selepas PRU14. Apapun, inilah sebahagian daripada fungsi pilihan raya demokrasi iaitu memilih pemerintah yang baru setelah tamat tempoh pemerintahan sebelumnya. Dalam masa yang sama, mereka yang terpilih ini akan turut menjalankan fungsi legislatif iaitu menggubal undang-undang mengikut kerangka sistem sekular-demokrasi. Pilihan raya hari ini tidak dirangka untuk berfungsi sebagai tatacara bagi mengubah sistem sekular-demokrasi sedia ada kepada sistem Islam atau sistem yang lain, sebaliknya, ia merupakan salah satu cara untuk terus mengekalkan kelangsungan sistem tersebut. Penerapan sistem sekular-demokrasi merupakan salah satu kejayaan paling besar bagi penjajah Barat dalam menghalang umat Islam daripada mengembalikan sistem pemerintahan Islam. Sistem Khilafah telah memayungi dan membawa kesejahteraan hidup kepada umat Islam selama lebih kurang 1300 tahun lamanya sebelum ia diruntuhkan secara rasmi oleh Mustafa Kamal Attartuk pada tanggal 28 Rajab 1342 H bersamaan 3 Mac 1924 di Turki. Sejak itu, umat Islam telah kehilangan pelindungnya dan mula menjadi mangsa utama dalam pelbagai konflik antarabangsa.

إِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ

Sesungguhnya al-Imâm (khalifah) itu adalah perisai, di mana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan) nya” [HR Bukhari, Muslim, Ahmad].

Antara bahana keruntuhan Khilafah adalah konflik yang terus berlaku di tanah Palestin yang diberkati. Al-Aqsa, tempat berlakunya peristiwa Israk Mikraj Baginda Rasulullah SAW pada 27 Rajab, kini dijajah oleh rejim Zionis. Sudah terlalu banyak darah umat Islam membasahi tanah Palestin yang diberkati. Kini, jutaan kaum Muslimin hidup sebagai pelarian akibat kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis. Dari Barat sehinggalah ke Timur, umat Islam tidak putus-putus menjadi mangsa pelbagai kezaliman. Umat Islam di Arakan diburu dan dibunuh dengan sewenang-wenangnya oleh rejim Myanmar. Umat Islam di Syria dihapuskan tanpa belas kasihan dengan ribuan bom serta gas kimia oleh rejim Bashar al-Assad dengan bantuan Rusia dan sekutunya. Begitu juga dengan nasib umat Islam di Afghanistan, Iraq, Kashmir, Selatan Thai, Selatan Fipilina, Xinjiang dan Chechnya; mereka terus dilanda pelbagai konflik dan kezaliman.

Wahai kaum Muslimin! Pernahkah kalian berfikir mengapakah semua ini berlaku ke atas umat Islam? Bukankah mereka (umat Islam seluruh dunia) merupakan saudara se-akidah kita? Hakikatnya, kita semua bersaudara dengan ikatan kalimah tauhid Laa Ilaha Illallah, Muhammad Rasulullah! Namun, lihatlah bagaimana belenggu sempadan negara bangsa yang telah diciptakan oleh Barat menghilangkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam!

Allah SWT berfirman,

Sesungguhnya setiap orang mukmin itu bersaudara” [TMQ al-Hujurat (49):10].

Sedarlah wahai kaum Muslimin, tiada seorang pun daripada kalangan para pemimpin kalian yang ketika ini bangkit mempertahankan umat Islam sepertimana yang pernah dilakukan oleh Khalifah Al-Mu’tasim dan Salahuddin Al-Ayubi. Tiada lagi seruan jihad bagi membebaskan tanah Palestin yang diberkati dan tiada lagi kedengaran laungan jihad untuk menghancurkan musuh-musuh Allah SWT yang secara berterusan menzalimi umat Islam di seluruh belahan dunia! Lebih buruk lagi, para pemimpin umat Islam hari ini tanpa rasa malu dan bersalah, bersekongkol dengan kuffar Barat dalam memerangi umat Islam sendiri. Di hadapan umat Islam mereka berpidato berapi-api untuk mempertahankan Islam, namun, keesokan harinya mereka berpelukan mesra dan bersalaman dengan tangan-tangan musuh-musuh Islam yang masih lagi basah dengan darah kaum Muslimin. Begitulah sikap hipokrit dan pengkhianatan para pemimpin umat Islam. Hakikatnya mereka adalah boneka Barat yang tidak boleh dipercayai.

Wahai kaum Muslimin!

Usaha untuk mendirikan semula sistem Khilafah harus dimulai dengan kesedaran bahawa hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah SWT wajib dijadikan undang-undang tertinggi dalam roda pemerintahan negara. Maha Suci Allah yang Maha Bijaksana telah mengajar kepada kita melalui kitab suci Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW bagaimana hukum-hakam ini boleh dilaksanakan secara kaffah (menyeluruh). Syariat Allah SWT akan hanya dapat dilaksanakan dengan menegakkan Daulah Khilafah Islamiyyah yang akan menjalankan sistem pemerintahan Islam secara menyeluruh. Daulah Khilafah merupakan ibu kepada terlaksananya pelbagai hukum syarak di dalam kehidupan manusia. Ketika Daulah Khilafah diruntuhkan pada 28 Rajab 1342H, sebahagian besar hukum syarak tidak dapat dilaksanakan. Apa yang tinggal hanyalah sebahagian kecil hukum dalam persoalan akhlak, ibadah dan urusan muamalah. Hakikatnya, apabila Daulah Khilafah, negara yang menjadi ibu kepada segala kefardhuan ini runtuh, maka kehidupan Islam yang telah wujud selama lebih 1300 tahun juga sirna dari sisi umat Islam. Oleh itu, menegakkan semula Khilafah adalah sebuah kewajipan yang besar dan merupakan satu tugas politik yang sangat mulia, kerana tanpa adanya Khilafah, hukum syarak tidak dapat dilaksanakan secara kaffah. Ini bertepatan dengan kaedah syarak Mâ lâ Yatimmu al-Wâjibu illâ bihi fa Huwa Wâjib (apabila suatu kewajiban itu tidak dapat disempurnakan kecuali dengan adanya sesuatu, maka sesuatu itu hukumnya menjadi wajib). Bagi menjalankan tugas yang sangat mulia ini, suri tauladan kita, Baginda Rasullullah SAW telah menunjukkan secara jelas metode untuk menegakkan sistem pemerintahan Khilafah. Jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW inilah yang wajib kita harungi dalam usaha kita untuk menegakkan kembali Daulah Khilafah. Jalan inilah yang akan membawa kepada perubahan yang hakiki – perubahan di mana hukum-hakam manusia akan diganti dengan hukum-hakam dari Sang Pencipta Allah SWT. Sesungguhnya, walau parti mana pun yang akan memerintah selepas PRU14, sekiranya sistem yang diterapkan masih lagi sistem sekular-demokrasi, maka realitinya, perubahan hakiki masih belum berlaku.

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya kemuliaan dan kesejahteraan umat Islam serta perubahan yang hakiki ini akan hanya dapat dikecapi apabila institusi politik agung umat Islam, Daulah Khilafah Islamiyyah, ditegakkan semula. Inilah yang telah dirasai oleh generasi terdahulu tatkala mereka hidup di bawah naungan Khilafah. InsyaAllah, inilah juga yang akan kita perolehi apabila institusi agung ini kembali dan menyatukan seluruh umat Islam. Al-Quran dan As-Sunnah akan kembali menjadi pengatur kepada segenap urusan kehidupan dan kenegaraan. Segala kemuliaan yang hilang selama ini akan kembali ke pangkuan kita, dengan izin Allah SWT. Cahaya kebaikan akan memancarkan sinarnya menembusi seluruh alam. Seluruh bumi akan diselimuti dengan keberkatan dan rahmat dari Allah Azza wa Jalla.

Wahai saudara-saudaraku, di tangan-tangan kalian ada kuasa yang diberikan oleh Allah Azza wa Jalla untuk melantik serta membai’ah seorang Khalifah yang akan mengatur urusan dunia ini dengan perintah dan larangan Allah dan seterusnya mengembalikan kemenangan dan kemuliaan kepada kalian. Justeru itu wahai saudaraku! Ayuh, bangkit dan bergabunglah bersama barisan pemuda Hizbut Tahrir. Sesungguhnya Hizbut Tahrir ada di kalangan kalian dan bersama dengan kalian. Hizbut Tahrir telah berjanji kepada Allah dan RasulNya untuk terus menggembeling tenaga dan usaha dengan bersungguh-sungguh bagi mengembangkan risalah Allah dan meminta nusrah (bantuan kuasa) agar kehidupan Islam dapat dikembalikan dengan mendirikan semula Daulah Khilafah ar-Rasyidah atas minhaj kenabian. Kepada Allah kami memohon dan hanya kepadaNya kami berlindung.

Hizbut Tahrir Malaysia

26 Rejab 1439H
13 April 2018

Download PDF