Dakwaan “from ballots to bullets”: Menjelaskan kekeliruan terhadap perjuangan Hizbut Tahrir

Di penghujung bulan Ramadhan lalu, syarikat radio perniagaan, BFM telah menganjurkan sesi wawancara bersama dua orang jemputan iaitu Zainah Anwar yang dikenali sebagai pengasas badan bukan kerajaan (NGO) Sisters in Islam (SIS) dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim. Wawancara di bawah slot “The Breakfast Grille” ini dikendalikan oleh Sharaad Kuttan bagi membincangkan darihal keputusan Pilihan Raya Umum ke-14, isu berhubung masa depan nasionalisme kebangsaan Melayu, dan dialog sesama Muslim bagi membincangkan kepelbagaian pendapat dalam segenap spektrum politik yang ada. Rakaman wawancara tersebut (pengantar Bahasa Inggeris) boleh didapati melalui capaian rangkaian berikut: www.bfm.my

Dalam wawancara tersebut, Sharaad Kuttan telah melontarkan persoalan kepada Presiden ABIM mengenai Hizbut Tahrir dan sejauh mana kelompok yang memperjuangkan Khilafah semakin diterima masyarakat (bermula dari minit ke-15:10).

Sewaktu menjawab soalan tersebut, Raimi menjelaskan bahawa rata-rata generasi muda Muslim di seluruh dunia telah kecewa dengan kerajaan dan pilihan raya masing-masing dan ini menjadi sebab kepada kumpulan seperti Hizbut Tahrir dan lain-lain datang (kepada mereka). Mereka kecewa dengan kerajaan yang zalim di negara mereka, lalu dikaitkan dengan fenomena peralihan “from ballots to bullets”. Frasa tersebut memberikan gambaran perubahan daripada pendekatan pilihan raya di bawah sistem demokrasi (ballots) kepada pendekatan menggunakan kekerasan (bullets).

Beliau kemudiannya meneruskan lagi komennya dengan menyatakan generasi muda muslim tidak lagi percaya kepada pilihan raya, kepada demokrasi dan  mulai membawa idea yang bersifat utopia lalu menyeru untuk berjihad ke Syria, menyertai ISIS dan Boko Haram.

Di sini jelas terdapat kekeliruan berhubung thariqah (method) yang ditempuh oleh Hizbut Tahrir dalam mengembalikan semula kehidupan Islam. Hizbut Tahrir merupakan sebuah gerakan politik Islam yang ditubuhkan pada tahun 1953 oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dan sehingga kini telah berkembang ke lebih daripada 40 buah negara. Semenjak penubuhannya sehinggalah ke saat ini, Hizbut Tahrir tidak pernah mengubah thariqah (method) yang digunapakai. Hizbut Tahrir bergerak menggunakan pendekatan intelektual tanpa kekerasan dalam usaha untuk menegakkan semula Khilafah sekali gus menerapkan syariah Islam secara kaffah sebagaimana yang ditunjukkan oleh junjungan mulia Rasulullah SAW serta para sahabat radhiallahu ‘anhum.

Hizbut Tahrir juga menolak ‘Khilafah’ palsu yang diisytiharkan oleh ISIS, apatah lagi hendak menyokong tindakan kezaliman yang diperlakukan terhadap umat Islam oleh kelompok-kelompok militan ini, termasuklah Boko Haram yang bergerak di Nigeria. Bahkan ISIS telah membunuh salah seorang anggota Hizbut Tahrir, Mustafa Khayal pada penghujung 2014 kerana beliau menyatakan kebenaran di hadapan kelompok zalim tersebut [http://www.hizb.org.uk/viewpoint/isis-murders-abu-bakr-mustafa-khayal-member-of-hizb-ut-tahrir/].

Cubaan untuk mengaitkan Hizbut Tahrir dengan kelompok radikal ekstremis dan keganasan bukanlah suatu yang baru. Kuffar Barat dan sekutu-sekutu mereka telah berusaha untuk mengaitkan Hizbut Tahrir dengan keganasan dengan tujuan untuk memadamkan aspirasi perjuangan Islam yang didukung Hizbut Tahrir. Namun, ternyata mereka gagal menemukan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan yang berniat jahat tersebut. Tidak cukup dengan itu, Zeyno Baran, yang menulis mengenai Hizbut Tahrir dalam bukunya yang berjudul “Hizb ut-Tahrir: Islam’s Political Insurgency” masih berusaha mengaitkannya dengan keganasan apabila ia menyatakan bahawa Hizbut Tahrir merupakan ‘tali sawat kepada keganasan’ (conveyor belt to terrorism).

Sehingga kini, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menyekat Hizbut Tahrir, termasuklah dengan mengaitkannya dengan keganasan (di Rusia, China, dan negara-negara Asia Tengah), dan menyeru sentimen anti-semitisme (di Jerman). Manakala di Malaysia pula, Hizbut Tahrir difitnah sebagai membawa ajaran sesat sepertimana yang terdapat dalam fatwa yang diwartakan di Selangor [sila kunjungi capaian berikut bagi membaca hujah bantahan terhadap fatwa tersebut: /bantahan-fatwa/].

Ketahuilah bahawa sesungguhnya Hizbut Tahrir tidak akan pernah jemu dalam menyeru agar umat ini bersama-sama mengembalikan semula kehidupan Islam secara kaffah melalui penegakan semula Khilafah dan penerapan syariah Islam – meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran dan ancaman. Para anggota Hizbut Tahrir juga merupakan saudara seakidah kalian, yang mendambakan kehidupan di bawah naungan Khilafah yang akan menerapkan Islam dalam segenap aspek kehidupan. Perjuangan ini bukanlah demi menggapai sebuah utopia, bahkan dijanjikan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Wallahua’lam.